Bersalin secara caesarean (czer) bukanlah sesuatu yang mudah. Ya, memang sama ada normal mahupun czer, kedua-duanya ada pahit getirnya yang tersendiri. Namun apabila bersalin secara czer, perut dibelah, kemudian dijahit, lukanya pula kena dijaga rapi. Tak boleh basah. Jika tidak, tanggunglah azab jika luka terbuka, berair malah bernanah.

Sekali czer pun sudah cukup perit, apatah lagi jika berkali-kali. Perkongsian pengasas produk Ellsee, Puan Sheda Said, 40 tahun, begitu bermanfaaat dibaca demi memberi pemahaman kepada wanita yang bersalin secara czer. Bukan sekali, bukan dua kali, malah empat kali wanita ini bersalin secara czer.

 

IKLAN

Czer kali pertama tanpa persediaan mental

Dua belas jam di bilik bersalin bukanlah tempoh yang singkat. Laluan sudah buka 4 cm namun sedikit pun dia tidak berasa sakit. Selepas melihat keadaan Sheda yang sudah tidak bertenaga dan bayi pun sudah terlalu lemah, doktor membuat keputusan untuk czer.

“Kali pertama czer pada 2003, saya memang tidak bersedia dari segi mental dan fizikal. Ditambah pula dengan tiada pengalaman bersalin. Jadi jiwa dan mental stres. Bila nurse kata kaki kena gerak-gerak sikit barulah darah jalan, saya cuba untuk buat macam tu. Perut yang sakit kena belah tu dah mula rasa sakit bila bius habis selepas 6 jam. Nak bangun pun seksa. Nak ke tandas pun saya siap meniti tepi dinding dengan kepala pening dan mata berpinar,” ceritanya.

Baby besar

Pada 2006, sekali lagi Sheda perlu melalui pengalaman czer kerana hasil imbasan doktor menyatakan bayinya besar. Selepas diukur tulang pinggulnya, doktor bimbang jika bersalin secara normal akan tersangkut bahu.

IKLAN

“Walaupun kita berdoa supaya boleh bersalin normal, namun mind set kena sentiasa bersedia hadapi sebarang kemungkinan. Saya lakukan persediaan minda dan emosi. Dan ianya mujarab untuk mengurangkan kesakitan dan rasa stres bila kena czer,” ceritanya lagi.

Trauma bersalin Czer kali ketiga

Apabila sudah dua kali bersalin czer, maka Sheda tiada pilihan untuk bersalin normal kerana memang wajib czer apabila hamil lagi  pada 2011. Dua kali dicucuk bius, barulah bius itu berfungsi memberikan kesan kebas kepadanya. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Sampai dia mengakui rasa seperti trauma.

“Sepatutnya selepas bersalin kali ketiga secara czer, orang tu dah tak boleh mengandung lagi demi keselamatan diri. Tapi disebabkan doktor tengok luka czer saya elok, dia benarkan seorang lagi. Anak ketiga saya lahirkan bayi perempuan.” katanya.

Diuji tak boleh berjalan kesan bius 3 kali

Menurut Sheda, ketika hamil anak keempat, dia tidak mampu berjalan. Pergerakannya perlu dipapah oleh suami. Sebagai seorang usahawan, sudah pasti masalah ini mengganggu pergerakannya untuk menguruskan bisnes.

“Saya bimbang sangat kalau lepas bersalin ni tiba-tiba lumpuh ke, apa ke. Maklumlah masa mengandung tu nak ke mana-mana memang suami kena papah. Kena naik kerusi roda. Kata doktor, ini semua ialah kesan bius tiga kali czer sebelum ini. Bila saya tanya doktor apa ubat untuk boleh berjalan masa mengandung ni, doktor kata ubatnya bersalin,” tambah Sheda.

Tumpah darah selepas czer kali ke-4

September 2016, selepas bersalin secara czer untuk kali keempat, Sheda dijaga rapi di hospital. Selepas selesai czer, dia diletakkan di sebuah bilik khas. Setiap jam ada nurse yang tukarkan pad. Sehinggalah suatu ketika, nurse yang menukarkan padnya tiba-tiba keluar secara tergesa-gesa lantas masuk kembali bersama seorang doktor.

IKLAN

“Ngeri apabila teringat doktor memasukkan tangannya ke dalam laluan peranakan. Darah keluar banyak disebabkan saya tumpah darah. Doktor seluk sebab nak keluarkan darah beku. Inilah pengalaman yang tak boleh dilupakan. Dan ini juga anak yang terakhir kerana saya dah ikat. Cukuplah empat orang anak saya dilahirkan secara czer,” katanya.

Suami beri sokongan moral

Tuan Borhan Mahmood, 47, bolehlah dikatakan sebagai suami contoh kerana mampu menjaga isteri yang bersalin czer empat kali. Sebagai anak bongsu daripada 12 beradik, dia mengakui mendapat ilmu menjaga wanita berpantang melalui pemerhatian apa yang dibuat oleh ibunya kepada kakak-kakaknya.

“Saya dan isteri sama-sama anak yatim piatu. Jadi apabila isteri bersalin, sayalah yang jaga. Nak harapkan siapa lagi? Sheda pulak satu-satunya anak perempuan dalam adik-beradik dia.

Memang renyah jaga isteri berpantang tapi bagi saya inilah masanya untuk bagi isteri betul-betul rehat. Kerja rumah, memasak, jaga anak semua saya buat. Isteri cuma pegang anak masa dia nak menyusukan anak je. Kena ikhlaskan hati untuk kita sendiri happy tengok isteri sihat betul-betul.

Orang bersalin czer ni lain. Dua minggu pertama lepas bersalin memang kena jaga betul-betul. Kita tak rasa. Isteri yang rasa. Kita kena jaga emosi dia jangan sampai terganggu,” ujar Tuan Borhan.

Air mandian, bertungku

Setiap kali mandi, Tuan Borhan akan sediakan air hangat untuk isterinya. Bertungku pula dilakukan sepanjang masa. Besi panas berbungkus diletakkan di bawah punggung, labu betis sepanjang masa. Tujuannya supaya isteri kekal dalam keadaan hangat dan melancarkan perjalanan darah.

“Ada yang bertungku hanya selepas mandi. Tapi saya pastikan isteri bertungku sepanjang masa. Saya celup besi tu dalam air panas, bungkus dengan kain. Bila suhu kurang, saya celup lagi dalam air panas. Cuma berurut je lah saya tak pandai. Saya panggil tukang urut.”

Menu Berpantang

Antara hidangan untuk dinikmati isterinya ketika berpantang:
1) Ikan haruan – sup, bakar
2) Daging rusa – sup, black pepper, halia
3) Ikan gelama – bakar
4) Ikan kerisi – bakar

“Nasihat saya pada suami yang isterinya sedang berpantang terutama yang bersalin czer tu, hargailah pengorbanan isteri kita. Jagalah sebaik-baiknya. Jaga emosi dia. Jangan bagi dia stres. Ikhlaskan hati ketika menjaga mereka yang sedang sakit. Mereka lahirkan zuriat kita, bertarung nyawa untuk itu semua. Bukannya lama, 40 hari je,” tambahnya.

 

Selain itu:  "Siti Menanti 11 tahun, Saya Tunggu 18 Tahun Untuk Dapat Anak Perempuan!"
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI