Kejadian kepala air yang sudah banyak meragut nyawa menyedarkan kita akan pentingnya berhati-hati dan mengawasi petanda kepala air setiap kali pergi ke sungai.
Ini kerana kejadian kepala air ini akan berlaku secara tiba-tiba dan tidak semestinya terjadi hanya di musim tengkujuh. Berikut adalah petanda kepala air yang perlu kita ketahui agar kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
Sebelum itu penting juga untuk kita maklum bagaimana kejadian kepala air ini boleh berlaku.
Kepala air boleh berlaku apabila gelombang aliran air mengejut dalam kuantiti yang besar mengalir dari hulu sungai atau air terjun ke sungai utama. Air yang tenang boleh berubah secara mendadak apabila kepala air membawa gelombang air, ranting kayu, batu batu, Selain itu, ia akan merempuh apa sahaja halangan di hadapannya termasuk manusia.
Fenomena kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal;
1. Langit gelap di hulu sungai, bersama bunyi guruh berdentum.
2. Perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman.
3. Aliran air tenang bertukar deras selain membawa bersama ranting, dahan kayu serta sampah-sarap yang berkumpul di satu tempat.
4. Akan kedengaran bunyi letupan kuat, dari tanah pecah, pokok tumbang dan dahan yang patah.
5. Air akan naik mendadak, kepala air ini boleh naik satu hingga dua meter dalam lima hingga 10 minit. Air daripada dua meter sesaat boleh naik sehingga 10 meter sesaat, sangat laju.
Jika mendapati ada petanda awal kepala air berlaku segera selamat diri kerana anda hanya ada 10-15 minit untuk keluar dari kawasan sungai!
Sumber: Buletin Utama & Harian Metro