
Orang tua dulu-dulu selalunya ada banyak petua yang diguna dan diturunkan kepada anak cucu. Malah petua-petua mereka ini banyak juga yang logik dan berkesan untuk diamalkan.
Antaranya petua ketika dalam bercucuk tanam. Berikut ini adalah lima petua orang tua lama yang boleh kita amalkan sewaktu menanam pokok.
1. Letak daun atau rumput kering dalam lubang sebelum tanam
Seeloknya waktu kita korek lubang untuk tanam pokok carilah daun daun kering atau rumput kering masukkan dalam lubang tersebut kemudian barulah masukkan biji benih atau pokok yang ingin kita tanam kemudian kambus tanah tersebut.
2. Rendam biji benih dalam air bawang putih
Bagi biji benih pula sebelum ditanam seeloknya rendam semalaman dalam air bawang putih yang telah dikisar untuk menggelakkan biji benih di makan serangga kecil dalam tanah.
3. Semai pokok waktu hampir Maghrib
Jika nak semai pokok melalui keratan petang lakukan waktu lewat petang (hampir Maghrib). Ini kerana ketika sudah hampir malam dan cuaca tidak panas. Jika semai pokok ketika ini pokok kekal segar, takkan layu kerana tidak terkena pancaran matahari.
4. Tanam pokok ikut hari
Orang tua lama juga mempunyai hari-hari tertentu untuk menanam pokok. Boleh juga ikut petua ini;
Ahad : Pokok berbuah kecil seperti limau, rambutan, ciku dan sebagainya.
Isnin : Pokok ubi, ubi kayu, keledek dan sebagainya
Selasa: Sayur sayuran, jagung dan sebagainya.
Rabu : Bunga-bungaan
Khamis : Biji-bijian, kacang, padi
Jumaat : Pokok berbuah besar seperti durian, nangka dan manggis
5. Bakar daun kering bawah pokok
Supaya pokok berbuah lebat, bakar daun-daun kering di bawah pokok, biarkan asap mengenai daun dan ranting pokok. Sebaiknya buat waktu petang. Ini sebenarnya satu cara untuk hindarkan serangan lalat buah dan juga serangga perosak yang aktif pada waktu senja.
Sumber: Berkebun D Rumah
Buat Sendiri Serbuk Kunyit, Tiada Pengawet & Pewarna. Lelaki Ini Kongsi Caranya Dari Tuai Sampai Jadi Serbuk

Kalau di rumah ada menanam pokok kunyit dan subur membiak sampai tak tahu nak buat apa, boleh ikut perkongsian Akmal Al Yahya ini yang berkongsi cara menghasilkan serbuk kunyit.
Dah tanam buat sendiri pulak serbuk kunyit untuk penyediaan makanan keluarga memang sihat sungguh. Tiada pengawet atau pewarna. Kalau nak cuba boleh ikut panduan yang dikongsi.
Cara tuai kunyit sampai jadi serbuk kunyit
1. Ini hasil tuaian kunyit. Kalau tak salah, ada juga dalam 8-12 bulan baru sesuai di tuai hasilnya.
Perlu diingatkan, jika tuan/puan suka menuai daun kunyit maka rizom yang terhasil akan lebih kecil berbanding dengan pokok kunyit yang tidak selalu dituai daunnya.
Rizom yang telah mengeluarkan daun kami keratkan dan asingkan untuk disemai semula bagi tanaman akan datang.
2. Ini pula proses untuk membuat serbuk kunyit. Pertama, bersihkan rizom kunyit dari tanah yang melekat, sebersih bersihnya. Kami gunakan berus gigi tau, licin semuanya di kerjakan.
3. Langkah seterusnya adalah rizom kunyit tadi direbus/dikukus dalam jangka masa 45 minit. Kemudian dipotong halus-halus bagi memudahkan proses jemuran kelak.
Mengapa perlu rebus/kukus? Jika kita tanam sendiri maka kita tahu baja yang kita gunakan. Proses rebusan atau kukus ini bertujuan untuk melucutkan segala macam jenis kandungan baja yang tertinggal.
Jika baja kimia mungkin tak berapa kita geli. Tetapi kami khuatir jika baja tersebut daripada baja urea, baja tinja ayam, kambing atau lembu yang diproses masih ada pada rizom.
Jika tuan/puan nak skip bab rebus/kukus ini boleh sahaja. Terpulang lah ye.
4. Kunyit yang telah dipotong tadi, dijemur pula. Elakkan dari jemur terus di bawah sinaran matahari, paling baik di bawah pokok atau garaj kereta.
5. Setelah 5 hari, ini lah rupa kunyit yang telah dikeringkan. Masukkan ke dalam pengisar, kisar sehingga betul-betul lumat.
6. Tapiskan dan ayak kunyit yang telah dikisarkan tadi. Serbuk kunyit yang terhasil adalah serbuk kunyit paling baik digunakan kerana tiada sebarang pengawet malah tiada sebarang pewarna tambahan juga pada serbuk kunyit ini.
Simpan serbuk kunyit tadi di dalam balang yang kedap udara, jika ada balang kaca jauh lebih baik dari balang plastik.
7. Ini pula rizom yang berdaun tadi. Kami lebih suka semai dahulu sementara menunggu batas untuk sedia untuk digunakan.
Semoga bermanfaat & selamat mencuba
Sumber: Akmal Al Yahya
Tata Cara Solat Dalam Kapal Terbang, Wajib Tahu Kalau Tempoh Penerbangan Lama

Travel menggunakan pesawat sudah jadi kebiasaan bagi kita pada masa kini. Justeru adalah perlu untuk kita memahami tatacara kewajipan bersolat dalam kapal terbang terutama jika tempoh penerbangan memakan masa yang lama.
Namun begitu untuk menunaikan solat dalam kapal terbang ada perkara yang wajib kita perhatikan supaya solat kita sempurna. Memetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berikut adalah tata cara solat ketika berada dalam kapal terbang.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Perkara pertama yang harus diambil kira sebelum menunaikan solat dalam kapal terbang adalah ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Sumber: Muftiwp
Cara Masak Asam Pedas Melaka Asli Dengan Kuah Pekat, Sedap & Padu

Teringin nak makan asam pedas, hirup kuah yang pekat sedap. Tapi masalahnya selalu masak tak menjadi.
Kalau dah begitu, ikut saja step by step buat asam pedas Melaka asli yang dikongsi oleh Liza Idris.
Cara masak asam pedas Melaka Asli, kuah pekat sedap & padu
Nah, resipi Asam Pedas Melaka Asli. Rahsia kuahnya pekat, sedap dan padu saya kongsikan. Makan je, terus terasa seolah berada di negeri Melaka Bandar Bersejarah.
Cara masak dan bahan ada pada setiap gambar.
Bahan-bahan
4 ketul ikan pari -dibersihkan
2 biji bawang besar saiz sederhana
3 biji bawang putih
2 inci halia
2 inci kunyit hidup
Sedikit belacan
1 sudu besar lada hitam
(Kisar semua bahan)
1 mangkuk cili kering yang dikisar asingkan
Cara membuat:
1. Panaskan minyak, goreng 1 sudu besar halba hingga kekuningan dan naik bau.
2. Masuk bahan kisar dan semangkuk kecil cili kisar. Tumis sampai pecah minyak.
3. Masuk 1 sudu kecil gula. Boleh juga ganti dengan gula Melaka, lagi sedap.
4. Letak 2 batang serai yang diketuk. Kemudian masukkan 1 sudu pes asam jawa. Kacau dan kacau.
5. Masuk 1 mangkuk air. Kacau-kacau biar didih sedikit.
6. Masukkan bendi diikuti daun kesum.
7. Didihkan lagi sampai bendi separuh lembut.
8. Dah boleh masuk ikan. Saya guna 4 ketul ikan pari. Tak kisah ikan apa nak guna.
9. Masuk pula bunga kantan yang dibelah dua. Masak sampai naik bau aroma daun kantan.
10. Perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau dan kacau lagi.
11. Akhir sekali masuk tomato dan tutup api.
Siap asam pedas asli Melaka. Kuah pekat, sedap, terangkat.
Sumber: Liza Idris.