Perkongsian cerita jalan hidup Dr. Saidatul Husna atau lebih dikenali sebagai Dr. Sai Munger di Facebook memang menarik. Bukanlah berasal daripada keluarga berada. Malah ibu bapanya sanggup menggadai tanah demi melihat anaknya itu berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.

Tidak pernah keluar dari tanah kelahirannya, Kelantan, namun beliau berjaya melalui kehidupan selama 6 tahun di perantauan demi berjaya dalam pengajian. Beliau ialah salah seorang daripada 12,000 penuntut yang dibawa pulang ke tanah air ketika Mesir dalam keadaan darurat akibat rusuhan pada kejatuhan Presiden Mubarak dulu.

Ads

Sebagai doktor muda, Dr Sai Munger meraih perhatian di laman sosial dengan perkongsian yang bukan sahaja mengenai sakit puan, namun mengenai motivasi-motivasi yang sangat santai.

Antara perkongsian beliau di laman sosial ialah mengenai jati diri kewanitaan. Ini kerana beliau sendiri pernah melalui kehidupan yang amat sukar kerana fitnah. Tidak sanggup melalui kehidupan yang penuh getir, pernah tertekan sehingga hampir meragut nyawa sendiri.

Tekanan demi tekanan sedikit pun tidak melelahkan. Dia bangkit setelah puas berdoa kepada ALLAH sehingga ditemukan dengan motivator yang merobah mentalitinya. Kini, dia berjaya bergelar doktor dan ingin menjadi manusia bermanfaat kepada lebih 10,000 pengikutnya di Facebook serta seluruh masyarakat.

Ads

Baru-baru ini beliau memuat naik 20 formula asas wanita berjaya. Ternyata formula asas itu lebih kepada bagaimana wanita lebih mudah positifkan diri untuk mencapai kejayaan dalam hidup sekali gus lebih bahagia melalui kehidupan di muka bumi ini.

20 FORMULA ASAS WANITA BERJAYA
1.Jelas dengan tujuan hidup.
2.Segera membayar hutang.
3.Berhenti salahkan orang.
4.Mengaku kesalahan diri sendiri.
5.Agihkan baju yang tidak terpakai kepada orang miskin.
6.Buat kebaikan dan cuba sembunyikan dari pengetahuan orang lain.
7.Kurangkan bercakap, banyakkan mendengar.
8.Bersenam 30 minit setiap hari.
9.Kerja keras bukan untuk sempurna, tapi untuk cemerlang.
10.Tepati masa. Jangan beralasan.
11.Hentikan pergaduhan, selesaikan masalah.
12.Buat baik sekalipun tidak dibalas baik.
13.Ambil masa untuk bersendirian, hargai diri sendiri.
14.Semai akhlak yang baik. Sentiasa rendah diri.
15.Terima hakikat yang hidup ini tidak adil. Tapi hukum karma tetap ada.
16.Kunci mulut pada waktu yang tepat.
17.Hidup sepanjang hari tanpa mengumpat sesiapa.
18.Belajar dari pengalaman, merancang lebih baik untuk masa depan.
19.Hal remeh tolak tepi.
20.Nikmati hidup sekarang.

Ads

 

1) Pada hari ini, wanita perlu tekun menetapkan matlamat untuk hidup berjaya. Pada pendapat doktor, apakah penanda aras kejayaan bagi seseorang wanita?

Definisi kejayaan berbeza bagi sesetengah bangsa dan masyarakat. Wanita yang berjaya pada pendapat saya adalah mereka yang sekurang-kurangnya lengkap dengan dua jenis kriteria ini iaitu:

1) Patuh pada perintah agama.
2) Bijak menempatkan diri dalam masyarakat dan menambah nilai kepada keluarga serta orang luar.

Wanita yang berjaya tidak hanya berada di dalam rumah. Skop tugasan mereka sebenarnya luas. Mereka bijak berdikari, mengurus masa, kewangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan mak ayah atau pasangan.

Tanggungjawab kepada karier dan keluarga perlulah seimbang di samping berkhidmat kepada masyarakat.

Peranan yang besar dan berat tidak menyebabkan dia lupa untuk mencintai dan menghargai diri.

Wanita berjaya adalah hero untuk dirinya sendiri dan orang sekeliling.

2) 20 Formula Asas Wanita Berjaya ini perlu diamalkan setiap hari untuk berjaya. Saya tertarik dengan formula kunci mulut pada waktu yang tepat. Boleh doktor jelaskan?

Setiap wanita tidak akan terlepas daripada pelbagai jenis ganguan perasaan. Emosi yang tidak stabil akan menghasilkan tindakan yang kurang rasional. Jadi mereka perlu lebih bijak mengawal emosi pada masa hadapan.

Ada kalanya frasa kunci mulut atau diam itu lebih baik daripada bersuara kerana dibimbangi percakapan kita banyaknya datang daripada emosi dan perasaan, bukan daripada rasional dan lojik.

3) Jika gagal, jangan salahkan orang. Apa yang doktor boleh jelaskan mengenai sikap sikit-sikit salahkan orang ini?

Walaupun payung tidak mampu menghalang hujan dari jatuh ke bumi, sekurang kurangnya ia mampu menghalang kepala kita daripada kebasahan.

Begitulah analogi hidup. Hujan itu kita anggap sebagai ujian, manakala payung pula sebagai penyelesaian.

Setiap kejayaan dalam hidup pasti akan menempuh pelbagai jenis jatuh bangun. Justeru penting kita mencari punca kepada setiap masalah. Menuding jari dan menyalahkan mana-mana individu tidak akan menyelesaikan masalah.

Cuba berfikir secara rasional dan bertindak secara bijak. Bantu rakan sekerja atau pasangan menyelesaikan kemelut yang melanda adalah lebih baik daripada melepaskan mereka sendiri dan terus menyalahkan sebelah pihak.

Jika perkara sebegini berlaku kepada kita, sewajarnya kita refleksi di mana salahnya dan cuba betulkan. Namun sekiranya kita dituduh salah sedangkan kita di pihak yang benar, anggaplah tohmahan itu seperti batu bata. Sakit bila dilempar, namun bermanfaat jika batu bata itu kita susun menjadi tapak asas kepada kekuatan diri sebelum membina sebuah bangunan yang gah.

 

4) Mind set kena jelas. Nak berjaya tak boleh malas. Macam mana nak kikis sifat malas dalam diri seseorang?

Saya teringat satu frasa dalam bahasa Inggeris, There is no elevator to success, you have to take the stairs. Maksudnya lebih kurang begini. Tiada lif menuju ke arah kejayaan, kamu perlu menaiki tangga. Ini bermakna kejayaan yang relevan dan berterusan memerlukan perjuangan ‘mendaki tangga’ yang bertingkat dan bertahap.

Maka, dalam proses kita mendaki ke atas, pasti ada sifat-sifat lemau, malas yang memperlahankan perjalanan. Hasilnya kita jadi kurang bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita inginkan. Cara untuk atasi semua ini, ada 3 pesanan yang boleh saya kongsikan iaitu

1) TETAPKAN MATLAMAT YANG JELAS. Seeloknya tampal segala jenis visi misi, siapa kita dalam 10, 30 dan 50 tahun akan datang. Lakarkan dalam bentuk peta minda. Boleh mulakan lakaran impian kita dengan ‘WH Questions’ seperti dengan Siapa, Apa, Bagaimana, Di mana, dan Bila kita akan menikmati suasana kejayaan yang diimpikan.

2) KENALI POTENSI DIRI. Kita semua istimewa. Elbert Einstein pernah berkata,

” Kita semua adalah genius. Tetapi jika ikan di dalam kolam disuruh memanjat pokok, pasti ikan itu tidak mampu. Cuba kita minta dia berenang sejauh mana yang mungkin, pasti berjaya. Itulah yang ingin saya fokuskan, kenali dan kaji apa potensi diri.

Ramai di antara kita yang minat menulis, melukis, menjahit, berpotensi membuat ucapan yang berpengaruh, bersukan, memasak, berseni, dan sebagainya.

Bakat itu ada, cuma kita jarang beri peluang kepada diri untuk meneroka lebih lagi. Kita cenderung untuk berjaya jika apa yang kita usahakan adalah berdasarkan minat dan keghairahan.

3) CARI GURU ATAU MENTOR. Walaupun guru bisu datangnya daripada pengalaman, kita masih memerlukan guru yang boleh berkata kata, supaya bila mana motivasi jatuh dan kurang produktif, guru atau mentor ini boleh bantu untuk jalan terus.

 

5) Setiap wanita boleh berjaya sama ada bujang mahupun isteri orang ataupun janda. Bagaimana suri rumah turut boleh buktikan mereka boleh berjaya walau hanya dengan duduk di rumah?

Suri rumah atau wanita berkerjaya, kedua-duanya adalah karier. Suri rumah juga bekerja dan berkhidmat untuk keluarga. Jadi wajar kita senaraikan ia sebagai satu daripada pilihan pekerjaan.

Ramai suri rumah di luar sana yang berjaya mengekalkan prestasi yang baik sebagai ibu, isteri, malah ada yang mula bergiat dalam dunia bisnes.

Ramai suri rumah sepenuh masa yang memegang status jutawan ketika masih muda. Kagum bukan. Berjaya dalam usia belia. Inilah wanita luar biasa yang boleh dijadikan inspirasi untuk suri rumah khasnya dan semua wanita umumnya. Apa yang penting, status bukan ukuran, tetapi azam, tekad dan usaha penentu bagaimana kita berakhir.

Sumber: Facebook https://www.facebook.com/SyarifahSayeda

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI