Ada Anak Berusia 7 Hingga 13? Ini Tip Kuatkan Memori Mereka

 

 

Melalui facebook, seorang penulis, Khairul Hakimin Muhammad berkongsi mengenai tip untuk menguatkan memori bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 13 tahun. Hal ini sebenarnya amat penting untuk membina jati diri bagi seseorang individu.

Jom kita lihat 10 tip yang dikongsikan.

1.CUKUP TIDUR

Kanak-kanak mesti ada tidur yang cukup, 8-10 jam sehari. Boleh minta mereka dapatkan masa tidur sekejap pada waktu tengah hari (30-45 minit) kemudian tidur malam seperti biasa pada 9 malam hingga 6 pagi esok. Tidur siang (waktu tengah hari tersebut) akan memberi cas tenaga yang kuat kepada mereka.

2.MAKAN MAKANAN YANG BETUL

Untuk menguatkan minda dan otak, makanan yang bagus ialah badam, kekacang, buah beri, kismis, kurma, sayuran hijau dan buah-buahan. Dikatakan, sekiranya ia memberikan daya mengunyah kepada anak-anak semasa makan, terutama menjamah buah-buahan, ia akan meningkatkan oksigen ke kepala dan membantu menaikkan fokus dan perhatian.

3.RUANG BERMAIN DI LUAR RUMAH

Wajib memberikan waktu mereka bermain di luar setiap hari dengan minimum 30 minit per sesi. Sekiranya anak-anak tidak bergerak dan sentiasa duduk atau baring melihat tab atau telefon bimbit, pergerakannya terbatas dan menyebabkan mindanya tidak aktif untuk memproses data untuk diingat.

Dr. Eelco V. Van Dongen dari Radbound University mengatakan pergerakan anak-anak akan menyebabkan sel otak bergerak dan sentiasa menjana dunia kreatif dan aktif. Ia akan membantu otak bekerja untuk membuka kompartment memori dengan lebih banyak.

4.PERLU TENANG

Beri anak-anak masa yang tenang semasa mahu ke sekolah, bersukan, makan, menonton tv, belajar, dan semasa mahu tidur. Tak boleh biarkan anak-anak melalui semua aktiviti itu dengan stress atau dalam keadaan baru dimarahi. Jika tidak, otaknya akan cedera dan mereka akan hilang fokus.

5.LUANG MASA UNTUK ANAK

Sentiasa duduk dengan anak minimum 30 minit sehari untuk buka semua buku yang beliau belajar pada hari tersebut sekadar untuk ulangkaji dan ulang semula apa yang dipelajari di sekolah.

6.PERMAINAN HURUF DAN NOMBOR

Feeding anak-anak dengan pembacaan dan permainan yang ada huruf dan nombor supaya mereka ingat perkataan dan kira-kira. Perbanyakkan game seperti membaca plat kereta apabila di dalam kenderaan dan membuat matematik mudah seperti mengira berapa jumlah orang yang menyeberangi jalan dan sebagainya.

7.ELAK MARAH DAN MEMBEBEL

Jika anak-anak membuat silap, tegas dan didik supaya dia tidak ulangi. Jika hanya marah dan membebel membabi buta, anak akan lupa dan akan buat lagi dan lagi. Buat simulasi dan beri dia peluang belajar supaya perkara itu jadi pelajaran besar buatnya.

8.BACA DAN DENGAR SUARA SENDIRI

Sesekali (2 kali seminggu), minta anak-anak kita membaca dengan mendengar suara sendiri. Ia akan mengasah otak supaya bekerja dengan relaks dan kool. Apabila kita sendiri mendengar apa yang kita baca, ia akan lebih mudah diingati.

9.BEREHAT DAN TIDUR JIKA PENAT

Sekiranya anak-anak penat, minta dia tidur. Tak perlu paksa untuk dia lawan. Biasanya melawan arus akan menjadikan memorinya terjejas dan dia akan berterusan penat hingga akhirnya merosakkan keupayaan dia untuk berfikir kreatif.

10.BERCAKAP DENGAN BAHASA YANG DIFAHAMI

Bercakap dengan bahasa yang dia faham, dan biasanya mereka ini perlu diberi gambaran. Sekiranya dia tidak faham, maka penjelasan kepadanya perlu visual, ringkas dan padat. Tak perlu guna perkataan bombastik untuk beri anak-anak daya fikir yang luar biasa. Anak-anak adalah sama sahaja, yang membezakannya ialah bagaimana kita layan, kita berkawan dan cara kita menjawab soalannya.

Semua yang di atas adalah dari:
– Jennifer Heisz, McMaster University.
– BrainLab.
– Amanda Morin, Understood.org.

Sumber: Khairul Hakimin Muhammad