Masih hangat lagi diperkatakan isu tentang penggunaan minyak yang banyak dalam sambal antara pempengaruh Khairul Aming dan juga seorang pakar perubatan. Masing-masing punya pandangan tersendiri dalam hal ini. Antara nak sedap atau nak sihat, semuanya atas pilihan kita.
Tidak terkecuali memberi pandangan adalah ahli kimia, Fatimah Salim. Bukan berpihak kepada mana-mana indvidu tapi beliau memberi penjelasan kenapa masak sambal perlukan minyak yang banyak dari sudut sains.
Hangat mengenai isu sambal tumis banyak minyak. Jujur, memasak sambal memang perlukan banyak minyak. Tujuannya adalah untuk pastikan bahan sambal masak sempurna, sambal berasa sedap dan sambal tahan lebih lama. Bukan apa, kandungan air yang lebih daripada minyak, akan menyebabkan kuman mudah membiak dan sambal cepat basi.
Mudah saja sebenarnya, kepada yang kurang minat minyak yang banyak, boleh saja asingkan minyak daripada sambal setelah sambal siap masak atau semasa dimakan. Minyak bersifat kurang tumpat, ia akan terapung atas masakan, maka mudah lah untuk diasingkan.
Rumah saya sentiasa ada stok sambal dalam peti sejuk. Biasa saya pakai minyak zaitun untuk tumisan yang pakai minyak banyak. Ada dua sebab, 1) untuk gunakan minyak yang lebih sihat, 2) untuk mengelakkan minyak membeku dalam peti sejuk.
Kepada yang tidak tahu sebab minyak membeku, boleh baca di sini
https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4504538866246893/?mibextid=S66gvF
Ada yang risau pasal titik asap minyak zaitun? Jom baca pasal minyak zaitun di sini
https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4687767367924041/?mibextid=S66gvF
Tapi kan, bukan kita makan sambal hari-hari. Dan jumlah yang diambil juga sedikit. Banyak lagi makanan lain yang tinggi kandungan minyak, maka kita harus bijak untuk menyeimbangkan pengambilan minyak dan lemak harian daripada makanan.
Baiklah, alang-alang bercakap pasal minyak, mari kita ulangkaji pasal beberapa jenis minyak dan cara penggunaan yang betul.
Untuk menggoreng (deep fry) memang minyak sawit (sumber tumbuhan) paling stabil kerana tinggi kandungan lemak tepu, maka tinggi titik asapnya. Boleh juga digunakan minyak sumber haiwan seperti minyak sapi, namun minyak daripada sumber haiwan SAHAJA mengandungi kolesterol.
Pun begitu, kajian menunjukkan kolesterol daripada makanan hanya sedikit memberikan kesan kepada badan. Ini kerana badan kita mempunyai mekanisma menghasilkan kolesterol sendiri. Maka, usahlah takut sangat dengan makanan yang mengandungi kolesterol.
Boleh baca mengenai salah faham tentang kolesterol oleh ahli nutrisi, Pn Syaza sini https://www.facebook.com/groups/3804488832918570/permalink/4496737523693694/
Untuk menumis dengan suhu sederhana boleh guna minyak masak yang sederhana titik asapnya seperti minyak zaitun, jagung, canola, kelapa.
Untuk dimakan begitu saja aka dressing, boleh ambil minyak yang rendah titik asapnya dan rendah kandungan lemak tepu. Minyak sebagai dressing membantu badan menyerap nutrisi larut lemak seperti vitamin A, D, E, K daripada komposisi salad.
Usah takut mengambil dan menggunakan minyak sebab selain memberikan rasa kepuasan dalam makan, ianya juga membekalkan tenaga, membantu dalam penyerapan nutrien tidak larut air. Komponen minyak juga membantu badan melawan keradangan, mengekalkan kesihatan otak, pemulihan sel-sel badan, melawan jangkitan kuman, dan untuk pertumbuhan badan.
Cuma jika dibandingkan dengan nutrisi lain, minyak mengambil masa lebih LAMA untuk dihadam. Komponen minyak iaitu lemak trans pula dikaitkan dengan peningkatan kolesterol jahat (LDL) dalam badan.
Namun ingatlah, bukan komponen minyak saja yang boleh menaikkan kadar LDL dalam badan. Tekanan (stress), pengambilan gula yang berlebihan, minuman beralkohol, merokok, gaya hidup tidak aktif dan berat berlebihan juga punca kepada tingginya LDL dalam badan.
Maka, seperti yang selalu dipesan, BERSEDERHANA lah dalam apa juga makanan. Ingat, segala yang berlebihan boleh membawa mudarat. Kenali diri dan ambil tahu keperluan badan sesuai dengan aktiviti harian, jantina dan umur.
Dah jangan gaduh-gaduh, baik pengikut yang menegur dan ditegur buang yang keruh, ambil yang jernih. Pendekatan masing-masing, sesuai dengan bidang. Namun tujuan sama iaitu berkongsi ilmu.
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Gambar: Sambal ikan bilis saya