Satu rutin yang memenatkan di rumah adalah membersihkan bilik air, terutama bahagian dinding yang melekat kotoran degil. Memang kena sental.
Tapi sebenarnya kalau tau cara yang betul, tak perlu guna tenaga yang banyak menyental. Dikongsi oleh ahli kimia Dr Fatimah Salim
Seorang rakan ‘tag’ saya pada post yang meminta cadangan cara membersihkan kaca bilik mandi yang dipenuhi noda setelah banyak petua dan cara yang dilakukan tidak berjaya. Saya tiada pengalaman membersihkan cermin kaca di bilik mandi. Yang biasa saya bersihkan ialah jubin dinding kamar mandi.
Namun disebabkan punca kotoran pada cermin adalah sama dengan dinding jubin kamar mandi iaitu sabun, kerak air dan juga aktiviti bakteria, maka mungkin cara saya ini boleh membantu. Cuma harus dipastikan bahan bina (material) dinding itu kaca sebenar. Kalau plastik, takut menggerutu pula sebab terhakis di permukaan.
AMARAN: Cara ini adalah untuk mereka yang berani dan cermat!
CARANYA:
Tuangkan cecair peluntur Clorox dalam bekas penyembur yang boleh menghasilkan droplet aerosol (seperti gambar di bawah) dan spray pada permukaan dinding tiles atau kaca yang kotor.
Lagi berkesan jika permukaan adalah kering. Kemudian, tinggalkan selama beberapa jam atau lebih baik semalaman.
Esok pagi bangun, masuk bilik mandi, pasti bersih berkilat. Jika masih lagi ada bau peluntur, boleh siram dengan air shower atau air paip, dan jika kurang berkilat, boleh lap dengan kain.
Cara ini sangat sesuai untuk mereka-mereka yang tidak suka MENYENTAL. Boleh juga digunakan untuk membersihkan tub mandi, sinki atau mangkuk tandas. Contoh untuk mangkuk tandas, spary keliling mangkuk tandas dan tinggalkan semalaman. Jika masih lagi berbaki noda, bolehlah disental sedikit dengan berus tandas.
PERHATIAN:
1) Cecair peluntur bersifat bes yang kuat, boleh merengsa/ menghakis kulit. Maka, berhati-hati semasa menggunakannya dalam keadaan pekat ini. Jika terkena kulit, segera basuh dengan air.
2) Sila tutup mulut dan hidung dengan kain atau topeng yang mampu menghalang bau cecair peluntur dihidu kerana ianya mudah meruap dan boleh menyebabkan komplikasi pernafasan. Pastikan buka tingkap atau pintu untuk membebaskan keluar gas cecair peluntur yang meruap. Pakai goggle atau cermin mata untuk mengelakkan titisan aerosol terkena mata.
3) Saya gunakan botol aerosol spray supaya senang kawal jumlah clorox yang digunakan, senang nak spray bahagian yang kita mahukan dan lebih jimat. Paling PENTING, jika bekas masih lagi berisi, letak label dan jauhkan daripada kanak-kanak. Kang mereka main ‘spray spray’ pula.
4) Elakkan melakukan cara ini dengan kerap, terutamanya pada permukaan yang diperbuat daripada porcelain kerana ada potensi terhakis. Ingat, ini adalah kaedah untuk menghapuskan kotoran degil!
Semoga bermanfaat
Sumber: ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Kalau nak lebih mudah beli terus Clorox jenis semburan https://invl.io/cliiq79