Membacakan buku kepada anak sebelum tidur bukanlah rutin masyarakat kita. Tapi jika ia perkara yang baik tiada salahnya untuk kita ikut dan jadikan amalan.
Perkara ini dikongsi oleh Najmi Nawawi , motivator dan penulis yang selalu berkongsi tip tentang penjagaan anak.
Belia berkongsi rutin membacakan buku kepada anak sebelum tidur yang jadi amalannya. Rupanya ada banyak kebaikan di sebalik aktiviti ini, termasuklah merangsang otak anak jadi bijak! Ikuti perkongsian daripada beliau.
Alhamdulillah Maryam Deen dah tidur. Jadi aku pun nak berkongsi satu lagi nota ringkas dan padat malam ini. Kenapa baca buku sebelum anak tidur bagus dijadikan amalan.
Membaca dan bercerita kepada anak pastinya membantu untuk perkembangan imaginasi sihat. Kita akan membantu anak untuk berfikir dan berimaginasi dengan baik. Bantu anak berfikir jalan solusi kepada masalah yang dihadapi dan ini sebenarnya turut membuatkan kehidupannya akan lebih berwarna-warni.
Ianya ialah memori yang tenang dan pasti tidak akan dapat dilupakan. Menjadi ibu bapa pastinya kita mahu anak kita ingat bahawa kita sudah curahkan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada mereka. Saat-saat seperti inilah akan memautkan hati anak kepada kita.
Apabila kita membaca untuk mereka, kita sebenarnya sedang menanam benih-benih perkataan dan membantu untuk mereka lebih mudah untuk ingat. Lagi banyak ulang lagi bagus.
Dalam penceritaan penuh perasaan yang kita sampaikan. Pastinya akan terbit pelbagai persoalan dalam fikiran anak-anak. Lagi banyak kita membaca, lagi banyak soalan yang mereka ada. Maka lagi banyak jawapan yang akan mereka tahu dan ini buat otak mereka berkembang dengan baik.
Pastinya teknik ini secara tidak langsung akan membentuk anak untuk jadi sangat pandai dan bijak. Mereka cinta dan suka untuk membaca. Maka ketahuilah membaca ialah jambatan kepada ilmu.
Sumber: Najmi Nawawi