Dulu punya 6 anak mungkin biasa tapi sekarang ia dianggap ramai. Malah jarang ditemui ibu yang produktif seperti ini.
Dengan anak enam berderet dah tentu nak keluar rumah pun susah inikan pula nak pergi bercuti.
Soalan ini juga yang selalu singgah buat ibu ini. Namun ia tak halang wanita bernama Nordiana Din ini memenuhi impiannya kembara ke luar negara melihat dunia.
Caranya? Baca perkongsian menarik daripada ibu yang juga seorang pengurus agensi Takaful Ikhlas
Pesepsi Kembara Ibu Anak Enam
Hari ni teringin nak kongsikan persepsi ibu anak enam yang selalu mengembara lihat dunia. Sejak ada media sosial fb banyak gambar percutian boleh dikongsikan. Bagaimanapun bukan semua berjalan lancar sebagaimana yang dilihat. Setiap percutian ada harganya.
Bagi yang tahu pastinya tahu sejak tahun 2000, 2002, 2004, 2006, 2008 selang dua tahun sekali ku tak berhenti mengandung. Syukur alhamdulillah diberikan zuriat penyambung saham akhirat. InshaAllah.
Tahun 2009 hingga 2012 pula ada lopong empat tahun dan ketika itulah bermulanya aktif ke sana ke mari kembara hati kembara iman lihat dunia luar. Waktu tu ku nikmati sepenuhnya setelah sepuluh tahun berturut-turut bersabung nyawa untuk zuriat tersayang.
Bermula dengan ke Gold Coast 2009, Bandung 2009, Bali 2009, Melbourne 2010, Umrah 2010, New Zealand 2011, Vietnam 2011, Bali 2011, Bandung Jakarta 2011, Bandung 2012, Vietnam 2013, Phuket 2015, Yogyakarta 2015, India, 2015 Umrah 2015…seterusnya Padang, Korea dan Morocco.
Kebanyakan percutian ditanggung sepenuhnya
Kebanyakan percutian itu sepenuhnya ditanggung oleh syarikat takaful yang menjadi kerjayaku sekian lama. Makan minum termasuk penginapan. Syarikat berikan sebagai penghargaan pencapaian. Disebaliknya ada usaha, rintangan dan cerita. Hanya empunya diri yang tahu.
Kebiasaannya semasa atau selepas kembara selalu juga dapat mesej…Asyik bercuti je. Cubalah duduk rumah. Anak siapa jaga? Daripada pergi negara mat saleh baik pergi Umrah.
Hihihihi…kadang kala persepsi orang luar macam lebih tahu tentang diri kita. Mereka serba tahu perjalanan hidup kita. Kehidupan mereka yang terbaik.
Apapun ku kena hormat dengan persepsi mereka. Perbezaan pandangan terjadi berdasarkan latar belakang, cara dibesarkan, pendidikan dan persekitaran kita.
Jangan samakan pandangan individu sebagai surirumah sama dengan ibu kerjaya. Ini kan pula bab rasa makanan cukup garam ke tidak pun berbeza begitu pula hal yang lain.
Duduk rumah dengan anak, cuti mesti ada
Jika kita tengok gaya hidup berbeza dengan kita janganlah pula kita mudah menghakimi hidup orang tu. Persepsi berbeza hormatinya.
Jangan ada rasa hidup aku lebih baik daripada orang lain.
Aku duduk di rumah dengan anak- anak…bercutipun mesti semua ada…tak akan tinggalkan anak2. Apalah sampai hati seronok suka tapi kat
rumah macam manalah.
Hidup kita berbeza. Semasa setiap tahun mengandung dan bersalin ada tak kamu rasa sama sepertiku? Bersalin 4 kali belah perut adakah kamu rasa juga. Kena bedrest sepanjang mengandung adakah kamu rasa juga. Bergerak sedikit bleeding. Serba tak kena.
Lepas bersalin kena jaga diri dan anak disusukan. Yang tak boleh menyusu kena pam susu setiap tiga jam sekali. Adakah kamu rasa? Itulah yang ku lalui setiap kali mengandung. Setiap kali mengandung memang 100% kehidupanku akan 360 darjah berubah.
Slow down kerana perlu bedrest
Keutamaanku adalah nyawa manusia di dalam rahim ini. Biarlah terpaksa slow down kerjaya, kena bedrest sepanjang masa sebab bergerak sikit bleeding. Pernah satu masa kandungan dah enam bulan terpaksa masuk wad kerana masak nasi lemak je.
Semasa tu teringin sangat nak berjalan. Itupun nak ke Bukit Tinggi, Pahang. Awalnya masak menu untuk berjalan dengan keluarga. Tak sedar semasa dhuha lagi di rumah, telekung dah penuh dengan darah. Memang rasa penat walaupun ketika normal setakat masak apalah sangat.
Sebelum sampai ke Bukit Tinggi berhenti sebentar dan semasa tu terkejut bila tengok penuh darah di seluar. Terus batalkan percutian…bercuti di hospital. Alhamdulillah baby tu kuat…Aleem Amsyar nama diberi.
Memang waktu mengandung hendak tak nak ku kena jadi orang lain. Bukan malas sengaja buat tak larat…tapi realiti badan setiap perempuan mengandung tak sama. Enam anak semua corak yang sama. Tak boleh aktif langsung. Kalau tidak pendarahan akan berlaku. Jadi hormati setiap situasi jangan terus jadi hakim jika semasa mengandung badan anda sihat dan ceria.
Bukan senang-senang tinggalkan anak
Sebelum bercuti kebiasaannya kelengkapan anak dah siap sedia ikut hari pergi. Bukan senang-senang tinggalkan anak dengan pembantu rumah. Syukur dapat pembantu rumah yang amanah. Jangan samakan sikap pembantu rumah kita sama dengan orang lain. Rezeki masing-masing.
Rezeki juga dapat anak yang tahu kenapa Mamanya bercuti. Anak-anak faham walaupun teringin nak ikut. Prinsip ku Mama dapat hasil kerja…anak-anak Mama juga perlu usaha untuk dapatkan yang diingini. Tiada jalan mudah untuk dapatkan apa yang kita mahu. Cipta impian dari sekarang.
Jadi eloklah bercakap benda yang elok-elok tentang kehidupan orang lain sebab itu akan berbalik pada empunya diri semula. Pengalaman hidup mematangkan supaya tak terus berikan persepsi peribadi dalam kehidupan orang lain. Kita tak sempurna mana jadi hargai kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Jaga hati fikirkan yang baik-baik. Jika tengok orang lain bahagia jaga hati…Jika tengok orang lain derita jaga hati juga. Kehidupan kita tak sama…ujian juga tak sama. Hanya Dia yang berhak menghakimi.
Siapalah kita insan kerdil yang esok lusa pun tak tahu akan berada di mana. Hidup ataupun mati. Aku hanya hamba Allah yang ingin melihat dunia melalui kaca mata sendiri bukan melalui bacaan…dengar cerita orang…berikan ruang dan masa sementara ada.
Aku ingin melihat apa yang tidak pernah ku lihat, ingin mendengar apa yang tidak pernah didengari dan ingin merasakan hal yang tidak pernah dirasakan.
Sumber: Facebook Nordiana Din