Bahagianya ibu bapa bila melihat anak begitu senang mendalami agama. Sejuk perut ibu mengandung.
Perasaan yang sama mungkin dirasai oleh Norman Hakim dan juga Abby Abadi bila anak sulung hasil perkahwinan mereka dulu dapat melanjutkan pengajian dalam bidang Hafazan di Turki.
Norman berkongsi berita gembira itu menerusi akaun Instagram (IG) beserta foto surat tawaran anaknya baru-baru ini.
“Alhamdulillah abg @danishhakim_243 terpilih antara 10 pelajar utk sambung pengajian kat Turki utk settlekan hafazan dia lagi 7 juzuk berdasarkan prestasi semasa.
“Perasaan saya bercampur-campur sebenarnya. SYUKUR,GEMBIRA,SEDIH,HIBA semua cukup.Ni anak pertama saya, darah daging saya merangkap kawan baik saya dunia akhirat yg boleh saya bawak berbual share mcm2.
“Saya tanya Danish,dia suka tak terpilih? Dia cakap inilah doa dia siang & malam utk sambung pengajian kat sana.
“Dulu pernah rasa mcm ni masa mula2 dia nak masuk asrama,skrg ni dia nak pergi jauh kat perantauan orang pulak tu. Saya cubalah cari kekuatan dgn izinNya, dlm masa sama kalau ada kawan2 kat sini yg pernah ada pengalaman mcm ni,mohon bagi saya kata2 semangat & motivasi ye,”ujarnya dalam status di Instagram.
Ternyata perpisahan antara mereka tidak langsung memberi kesan kepada anak-anak dari segi penjagaan dan juga pendidikan.
Tapi bagaimana Norman mendorong anak agar dekat dengan agama? Ini dapat dilihat daripada sikap Norman itu sendiri.
Muhammad Danish Hakim, 14, kini belajar di Madrasah Uthmaniyah Smart Tahfiz, Kajang, Selangor manakala Marisa Dania Hakim, 12, mengikuti pengajian di Darul Quran Wal Hadith As Sofa, Seremban, Negeri Sembilan.
“Kehidupan saya sekarang ini bagaikan dirahmati. Melihat anak-anak membesar dan menjalani kehidupan Islamik sebegitu menyebabkan saya turut sama terangsang untuk mengubah cara hidup.
“Saya juga teruja untuk memperbaiki kehidupan saya sekali gus menjadi contoh terbaik buat mereka.”
“Pada peringkat usia sebegini, saya sudah tak fikir tentang diri saya lagi. Keutamaan saya kepada anak-anak yang semakin membesar.
“Saya perlu bijak membahagikan masa dengan mereka. Sekarang ini, setiap hujung minggu ada saya program dengan anak-anak.
“Nak kena ambil anak di asrama, uruskan perniagaan dan hal-hal berkaitan membuatkan masa saya sentiasa diisi,”ujarnya memetik laporan dari Utusan Online.
Dalam pada itu hasil didikan agama yang diikuti anak sulungnya pelakon ini berkongsi satu cerita. Norman memberitahu, dia tidak dapat melupakan kejadian apabila Danish tergesa-gesa menunaikan solat sunat taubat gara-gara menikmati hidangan di sebuah restoran makanan segera.
“Semasa itu kami dalam perjalanan pulang ke rumah dari asrama Danish. Kebetulan ketika itu kami lapar kerana masih belum menjamah makanan sedangkan tak ada kedai makan yang dibuka pada waktu itu.
“Jadi nak tak nak terpaksalah kami makan juga di premis tersebut. Pada mulanya Danish memang tak mahu makan di situ dan apabila saya tanya, dia berikan alasannya mengapa dia tidak mahu makan di situ.
“Bagaimanapun saya terpaksa menerangkan kepadanya tentang situasi kami yang ketika itu ‘darurat’ dan semua orang sedang lapar dan mungkin akan menyebabkan masalah lain jika tidak makan.
“Saya nampak wajah Danish berubah waktu makan dan dia juga nampak risau dalam kereta sepanjang perjalanan. Sampai di rumah dia terus buat solat taubat. Saya memang terperanjat namun perkara itu memberi pengajaran kepada saya sebagai bapa,” cerita Norman.
Selain Danish, Marisa dan Maria, Norman mempunyai dua lagi anak menerusi perkahwinan dengan pelakon Memey Suhaiza iaitu Muhammad Darwishz Hakim, 4, dan Muhammad Dirkhriz Hakim yang kini berusia dua tahun.
Sumber: Utusan Online & instagram Norman Hakim