
Sekarang musim durian, banyaklah menu makanan menggunakan raja buah ini dijual. Salah satu yang popular dan sedap adalah durian crepe.
Cuma harga durian crepe ini dah tak murah, makan seketul dua memang tak puas. Nak jimat dan puas makan memang kena buat sendiri.
Jika nak cuba boleh ikut cara yang dikongsi oleh Lalola Ezzany yang bertahun-tahun menjual durian crepe mengunakan resipi berikut.
Buat sendiri durian crepe
Bahan untuk crepe/ lempeng
1 cawan tepung gandum
2 sudu besar tepung ubi
2 sudu besar gula aising
1 biji telur
1 sudu kecil esen vanilla
1/cawan susu segar(tak kisah jenama)
Pewarna
3 sudu besar mentega chair
Air secukupnya
Bahan topping/isi
Non Dairy Whipping Cream Fresh Cream (jenama Value Pride)
Isi durian -dilenyek
Cara membuat
1. Kisar bahan lempeng hingga sebati.
2. Ini hasilnya tak pekat dan tak cair. Jika cair akan jadi lempeng kurang cantik.
3. Untuk menghasilkan topping krim, masukkan krim dalam bekas. Tak perlu campur gula. Lalu putar sampai kembang.
Nak tahu krim dan kental atau belum, cuba terbalikkan bekas. Kalau krim tak jatuh bermakna topping sudah menjadi. Ketepikan.
4. Ambil satu senduk adunan lempeng tuang dalam kuali non stik. Lenggang supaya lempeng nipis. Agak-agak dah masak bahagian bawah bolehlah angkat.
5. Sediakan isi durian yang dilenyek.
6. Ambil lempeng kemudian letak topping di tengah. Aturannya letak krim putar, durian dan krim putar lagi. Kemudian lipat dengan kemas.
Hasilnya…

Selamat mencuba.
Sumber: Lalola Ezzany
Cara Jimat Masa & Duit Guna Dryer Dobi Layan Diri. Kain Kering Sepenuhnya, Tiada Yang Lembap

Ramai kalangan kita yang setiap minggu menggunakan khidmat dobi layan diri. Selepas basuh baju kita akan terus keringkan pakaian menggunakan mesin dryer yang ada.
Tapi selalu terjadi selepas guna dryer baju tak kering sepenuhnya bila diperiksa selepas kita pulang ke rumah. Sudahnya kita kena jemur pulak.
Salah satu penyebabnya kerana kita menggunakan mesin pengering ini dengan cara yang salah. Nak pastikan pakaian yang kita masukkan dalam mesin ini kering sepenuh ada cara yang perlu kita lakukan.
Perkara ini dikongsi oleh Salkukhairi Sukor.
Tip guna dryer supaya kain kering sepenuhnya
Biasa tak anda menghadapi keadaan di mana kain yang dikering menggunakan mesin pengering (dryer) di dobi layan diri masih agak lembab dan tidak kering sepenuhnya, walaupun ianya telah di “spin” lebih daripada 30 minit.
Ini berkemungkinan disebabkan oleh cara pengeringan anda yang kurang betul. Misalnya saya dapati, ramai orang yang mencampakkan sahaja kain mereka terus ke dalam mesin pengering dengan keadaan kain yang masih basah dan berpuntal-puntal. (Sila rujuk Gambar 1)
Cara begini sebenarnya adalah SALAH.
Ini kerana, dengan cara mencampakkan kain terus ke dalam mesin, ia akan mengakibatkan kain anda tidak dapat kembang dengan baik sewaktu mesin pengering berpusing yang menyebabkan kain tidak dapat kering dengan sempurna, terutamanya kain yang agak tebal dan di bahagian pinggang dan kaki seluar.
Cara yang BETUL adalah seperti berikut:
1. Sila perah dan kibas kain anda terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk memastikan tiada lagi sisa-sia air pada kain tersebut dan menjadikan ia dapat kembang dengan baik dan tidak berpuntal-puntal apabila dimasukkan ke dalam mesin pengering nanti.
2. Sila masukkan kain tersebut ke dalam mesin pengering sehelai demi sehelai dengan keadaan ianya dikembangkan. Sila susun kain tersebut secara berlapis. (Sila rujuk Gambar 2).
3. Cara ini menjadikan adanya ruang di antara kain anda yang membolehkan kain anda dapat berpusing dengan baik di dalam mesin pengering dan menjadikan proses pengeringan lebih sempurna.
4. Ianya dapat mempercepatkan proses pengeringan dan menjimatkan masa dan wang anda. Ini kerana kain boleh kering dengan sempurna dalam masa 30 hingga 35 minit sahaja (untuk satu bakul penuh kain).
5. Bukan itu sahaja, kain anda juga tidak akan berkedut dan mudah dilipat sebaik sahaja dikeluarkan daripada mesin pengering. Kalau tak percaya silalah cuba!
Lakukan langkah ini setiap kali guna dryer dobi layan diri supaya dapat jimat masa kita, tak perlu jemur balik atau tambah duit untuk panjangkan masa pengeringan.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Sakukhairi n Sons
14 Kelebihan Senaman Panjat Tangga, Awas Kalau Sesak Nafas Lepas Naik Tingkat 2!

Bila cakap tentang bersenam ramai mengeluh mengenangkan kena peruntukkan masa keluar joging, beli alat senaman atau pun pergi gim.
Tapi hakikatnya nak amalkan gaya hidup sihat taklah perlu banyak modal dan masa. Ada saja cara mudah nak bersenam tanpa keluar rumah atau pejabat pun.
Caranya buat senaman panjat atau naik tangga saja. Kelebihan senaman mudah ini punyalah banyak. Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan telah senaraikan manfaatnya. Rugi sangat kalau tak buat.
Panjat tangga senaman ringkas sesuai untuk orang bandar
“Jika anda sesak nafas setelah naik tangga 2 tingkat, anda mungkin ada masalah jantung!”
Masalah orang zaman sekarang. Tak ada masa nak bersenam dan tempat nak bersenam. Terutamanya yang tinggal di bandar-bandar. Hasilnya ramai yang ada masalah kesihatan.
Jangan risau! Ada satu senaman ringkas yang sesuai untuk orang bandar macam kau orang ni! Panjat tangga!
1. Memanjat tangga diklasifikasikan sebagai senaman berat, dan membakar lebih banyak kalori setiap minit berbanding berjogging.
2. Memanjat tangga ada senaman yang sesuai untuk orang bandar sentiasa yang kesuntukan masa serta tempat untuk beriadah/bersenam.
3. Memanjat tangga tidak memerlukan kemahiran tinggi, kelincahan, atau sebarang latihan spesifik. Ia boleh dilakukan di mana-mana bangunan.
4. Memanjat tangga di tempat kerja tidak kelihatan janggal atau seperti membuang tabiat berbanding dengan berlari-lari anak di tempat kerja.
5. Memanjat tangga lebih menjimatkan masa berbanding menunggu lif, jika sesuatu bangunan itu mempunyai 5 tingkat atau kurang.
6. Memanjat tangga memerlukan 8-9 kali lebih tenaga berbanding duduk, dan membakar sekitar 7 kali lebih kalori daripada menggunakan lif.
7. Memanjat 20 anak tangga bakar sekitar 3 kalori, bersamaan 0.17 kalori setiap langkah menaiki anak tangga. 1 tingkat mempunyai 17-20 anak tangga.
8. Menuruni 20 anak tangga membakar kalori pada kadar lebih rendah iaitu sekitar 1 kalori, bersamaan 0.05 kalori setiap langkah menuruni anak tangga.
9. Menuruni anak tangga bakar kurang kalori, tetapi menguatkan otot berlainan dengan otot untuk memanjat tangga. Buat keduanya baru seimbang.
10. Memanjat tangga membakar lemak pada kadar selari dengan berat badan anda. Semakin tinggi berat badan, semakin banyak kalori dibakar.
11. Memanjat tangga dengan melangkau satu anak tangga pada setiap langkah tidak membakar lebih kalori berbanding memanjat setiap anak tangga.
12. Memanjat tangga 7-10 minit sehari menurunkan risiko masalah jantung, osteoporosis, kencing manis, darah tinggi dan obesiti.
13. Untuk faedah kesihatan yang optimum, buat senaman memanjat tangga 30 minit, 3 kali seminggu. Bersamaan 90 minit seminggu.
14. Memanjat tangga lebih mesra alam sekitar. Ia kurangkan pengeluaran karbon sebanyak 0.3-0.6kg CO2 sehari, melalui penjimatan tenaga operasi lif.
Ha! Dah tak ada alasan, kan?
Nota: Jika kalian ada masalah jantung atau sendi, jumpa dulu doktor sebelum nak cuba senaman panjat tangga.
Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
10 Tip Penjagaan Anak Berkhatan Supaya Tak Bentan & Luka Cepat Sembuh

Isi Kandungan
Toggle
Musim cuti sekolah ni ramailah anak-anak lelaki yang berkhatan. Ibu bapa pun ramai yang mengambil cuti untuk menjaga anak.
Bagi ibu bapa yang kali pertama menjaga anak yang berkhatan mungkin sedikit keliru dengan bermacam-macam tip yang dikongsi, tambah saspen bila ada yang bercerita tentang anak bentan lepas khatan jika tidak dijaga dengan betul.
Walau ada macam-macam tip yang didengar paling elok ambil dari pakar. Ibu bapa boleh ikut tip yang diberikan oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan ini tentang cara penjagaan yang betul agar luka khatan tak bernanah dan anak cepat sembuh.
Sekarang ni musim berkhatan, ramai ibu bapa mohon saya tips penjagaan selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Jadi hari ni saya nak beri sedikit penerangan tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
1.Jangan biar lebih 72 jam
Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
– Jangkitan/nanah
– Bengkak/bentan
– Jahitan terbuka
– Keruping melekat pada balutan
2. Cuci 2-3 hari sekali
Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
– Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
– Cuci luka dengan normal saline
– Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
– Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda.
3. Ubat doktor
Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
– Tahan sakit: diambil bila perlu
– Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
– Ubat cucian: lazimnya normal saline
– Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Jika anak mengadu ngilu
Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakaian longgar
Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Boleh berjalan
Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya
Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan
Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka akan sembuh 10-14 hari
Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
– Sakit/bengkak melampau
– Nanah yang banyak
– Demam tinggi
– Tak boleh kencing
10. Bawa untuk rawatan susulan
Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
– Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
– Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
– Gam: tak perlu jumpa doktor semula
– Mesih jahit: perlu jumpa tukang jahit.
OK, yang last tu bergurau je. Jangan kau minta tukang jahit jahitkan cara tulang belut, mata lalat apa semua.
Semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti FB Anda