Buat Sendiri Fishcake, Hasilnya Kenyal Macam Beli. Dah Tentu Terjamin Halal & Bersih

Share

Ramai yang setiap kali mahu membeli fishcake terlintas kerisauan tentang penghasilannya. Bersih ke tidak, halal ke bahannya. Sebab kita maklum untuk mencari fishcake buatan Muslim memang tak banyak.

Jadi jika selalu ragu-ragu, rasanya elok kalau kita belajar buat fishcake sendiri. Dah tentu tiada waswas lagi.

Cara membuat dan bahannya pun mudah saja. Boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Tahrunnisah Jali. Hasilnya kenyal sama seperti fishcake yang kita beli.

Buat sendiri fishcake kenyal macam beli

Saya kongsikan resepi fishcake, ia sangat kenyal dan seperti dijual. insyaallah semua yang saya kongsikan bersih, suci halal dan sangat menjimatkan kita.

Artikel berkait: Cara Buat Fishball Homemade Lebih Sedap, Lebih Rasa Ikan

Bahan-bahan

500gm isi ikan tenggiri segar
3 sudu kecil (menggunung) tepung jagung
1 sudu kecil garam
Sedikit serbuk perasa (jika suka)
1 sudu kecil serbuk lada sulah
1 cawan air sejuk (dari air batu)

Info: Boleh juga ganti ikan dengan fish fillet tapi abaikan penggunaan air, kerana fillet dah ada kandungan air.

Cara membuat:

1. Ambil isi ikan tenggiri, kulit tak perlu. Kisar halus guna food prosessor/blender.

2. Kemudian masukkan sedikit air ais, kisar lagi masukkan garam serta serbuk lada putih, serbuk perasa.

3. Masukkan 3 sudu tepung jagung dan kisar lagi (boleh rasa masin atau tidak waktu mengisar).

4. Sebelum itu panaskan periuk kukusan dan loyang 4 segi. Loyang pastikan muat periuk kukusan, boleh juga guna bekas yang tahan panas.

5. Masukkan adunan ikan tadi dalam bekas/loyang yang dialas plastik terlebih dahulu supaya senang dikeluarkan nanti. Rata dan padatkan.

6. Ambil minyak sapu dijari dan ratakan pada permukaan ikan tadi untuk melicinkannya. Kukus hingga masak. Masa dalam 15 minit atau sehingga masak.

7. Terbalikkan isi ikan yang sudah masak tadi, potong sepertimana bentuk fishcake.

8. Panaskan minyak dan goreng terendam sekejap hingga ia kekuningan. Angkat dan toskan minyak.

Siap.

Selamat mencuba.

Sumber: Tahrunnisah Jali

Published by
VK