Jeruk ikan masin tenggiri yang digoreng bersama dengan hirisan bawang dan cili padi memang sedap. Makan dengan nasi panas atau lauk kari memang layan.
Bila teringin nak makan ramai yang pilih untuk beli jeruk ikan masin ini tapi ada rasa ragu ragu sama ada produk buatan muslim atau tidak, selain was was dengan tahap kebersihan semasa pembuatannya. Ada juga yang dah beli tapi terlalu masin pula.
Supaya tak ragu-ragu dan jeruk ikan masin tenggiri ini kena dengan selera kita boleh saja buat sendiri, homemade. Caranya dikongsi oleh pengusaha jeruk ikan masin sendiri iaitu Suria Abdullah
.Saya kongsikan cara nak buat jeruk ikan masih tenggiri yang dalam minyak.
Bahan-bahan
Ikan tenggiri (boleh juga guna ikan gelama dan senangin)
Bahan perapan:
Cuka makan
Asam keping
Garam kasar
Bekas kedap udara
Cara membuat:
1. Cuci bersih ikan, saya korek darah yang ada pada tulang tengah sekali.
2. Toskan ikan, keringkan dengan cara lap guna tisu makan (ini untuk makan sendiri).
3. Jemur sekejap (kurang setengah jam) dalam cuaca yang panas (ini cara saya, sebab saya buat dalam kuantiti lebih 50kg). Tapi jangan jemur terlalu lama nanti isi ikan akan kecut dan keras.
4. Dah siap dikeringkan, rendam sekejap dalam cuka makan. Rendam kurang seminit.
5. Tabur garam kasar dalam bekas kedap udara. Kemudian, letak ikan, tabur lagi garam kasar. Letak asam keping (jangan banyak sangat nanti masam dan tak sedap). Ulang hingga ikan habis.
6. Tutup rapat bekas berisi ikan. Biarkan selama 7 hari. Jika nak sedap, simpan dalam tempayan.
7. Cukup 7 hari buang air perapan kemudian bilas ikan. Bilas sedikit saja jangan cuci nanti isi ikan hancur.
8. Masukkan ikan dalam bekas lain kemudian tuang minyak masak yang baru. Biarkan ikan terendam lebih kurang sejam dah boleh goreng.
INFO : Ikan ini boleh simpan di luar terendam minyak tahan lebih 2 bulan. Jika simpan peti sejuk tahan lebih 6 bulan. Jika simpan dalam peti sejuk minyak akan beku, kena keluarkan awal jika nak makan.
Cara goreng
Sebelum goreng golek-golekkan ikan dalam tepung gandum supaya ikan tak hancur. Tak perlu letak air kemudian barulah digoreng.
Selamat mencuba.
Sumber: Suria Abdullah