Buat Sendiri Keropok Lekor. Kisar, Gaul, Gentel, Rebus Siap! Senang Sangat

Share

 

Selalu petang-petang makan keropok lekor, tapi sekarang manalah ada gerai yang menjual. Jadi apa kata buat saja sendiri. Boleh makan anak beranak. Kalau lebih boleh simpan untuk jadi hidangan petang esok lusa.

Cara buat keropok lekor ini pun senang saja rupanya. Ingatkan susah. Kisar ikan, gaul, rebus, siap! Kalau nak cuba boleh ikut cara yang dikongsi Ayu Hidayu 

ini.

Bahan-bahan:

20 ke 25 ekor ikan termenung /kembung (ambil isi)
2 cawan tepung ubi
1 cawan tepung gandum
Garam & serbuk perasa
1 sudu baking powder

Cara membuat:

1. Siang ikan, ambil isinya saja. Ikan tak perlu rebus (nak kekalkan rasa manis ikan)

2. Blend isi ikan dengan sedikit air (untuk boleh pengisar berjalan saja).

3. Gaulkan isi ikan yg telah dikisar dgn tepung ubi, tepung gandum, garam, serbuk perasa, baking powder. Tak perlu tambah air.

4.Uli sampai jadi doh. Kemudian letak sikit minyak bagi doh licin. Seterusnya boleh gentel jadi panjang, ikut bentuk yang kita nak (letak sikit minyak pada pelapik supaya tak melekat).

5. Rebuskan air dulu dalam kuali besar. Bila dah mendidih masukkan kerepok yang digentel tadi. Masak hingga keropok lekor terapung naik. Itu maknanya keropok dah masak elok.

6. Toskan dan sejukkan sebelum dipotong dan digoreng.

SIAP!

EKSTRA

Resipi sos pencicah

Bahan-bahan:

3 sudu cili kering yg dikisar
1 cawan air
1 sudu besar cuka
2 sudu gula
Garam dan serbuk perasa
Seketul gula merah
Sikit air asam jawa
1 sudu tepung jagung

Cara membuat:

Campurkan semua bahan dalam periuk kecuali tepung jagung. Kacau sampai mendidih.
Kemudian masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau sampai likat dan tutup api.

Selamat mencuba!

Sumber: Ayu Hidayu

Published by
VK