Buat Sendiri Tepung Pelita Versi Kacau, Sekali Kacau Dapat 25 Bekas. Puas Makan!

Share

Kuih tepung pelita ini memang popular bulan Ramadan. Merata penjual kuih ini. Tapi sekarang harganya pun makin mahal. RM3 dapatlah 5 ketul, silap hari bulan harga Ramadan tahun ini naik lagi.

Kalau dah begitu elok juga kita belajar buat sendiri. Jika ikut perkongsian Mas Cotek

ini sekali boleh buat 24 bekas. Kuantiti ini boleh makan 2 hari.

Untuk buat tepung pelita ini pun taklah susah. Bahan kebanyakan ada di rumah, cuma kena tambah tepung beras dan santan saja.

Tepung Pelita versi kacau

Bahan lapisan bawah (hijau):
1 cawan tepung beras
1 cawan gula
5 cawan air pandan (kisar 7 helai pandan dan tapis)
1 sdt air kapur
Sedikit pewarna hijau

Cara membuat: 
1. Satukan kesemua bahan, kacau sebati sampai tiada bintil tepung.

2. Gunakan api perlahan, masak sehingga adunan meruap, pekat dan meletup-letup.

3. Tutup api kemudian tuang ke dalam bekas kecil. Ketepikan.

Bahan lapisan atas (kepala santan):
1/2 cawan tepung beras
4 cawan santan
Garam secukup rasa

Cara membuat:
1. Cara masak sama seperti lapisan hijau. Satukan kesemua bahan/sebatikan (tiada bintil tepung).

2. Masak sehingga meruap, pekat dan meletup letup. Sentiasa dikacau ya.

3. Tutup api. Tuang adunan ke atas lapisan hijau tadi.

4. Sejukkan kemudian bolehlah dimasukkan ke dalam peti sejuk

Nota: Adunan ini dapat 25 bekas dadih 4oz

Selamat mencuba

Sumber: Mas Cotek

Published by
VK