Campur 2 Rempah Ini Jika Masak Kari Daging, Sedapnya Memang Lain Dari Yang Lain

Share

Jika masak kari daging apa kata guna resipi yang dikongsi oleh Ida Shahida ini pula. Rasanya sangat istimewa dan yang pasti sedap.

Ujar Ida ramai rakan yang telah memuji keenakan kari daging ini dan dia tak lokek berkongsi caranya. Rahsianya campur dua jenis rempah!

Cara masak kari daging yang sedapnya lain dari yang lain

Kari ini sangat istimewa rasanya sebab resipi, saya lain dari yang lain. Jangan bimbang pasti sedap. Rempah kari daging campur rempah nasi beriani cuba bayangkan rasanya.

Kalau masak jamu kawan kawan makan mesti akan dipuji. Saya guna serbuk rempah kari daging Allagapas. Makan dengan nasi sangat sedap, makan dengan ketupat lemang pun sedap. Semua sedap…cubalah!

Bahan-bahan

1 kg daging -dipotong kecil
2 kotak kecil santan (200ml x2)
10 biji bawang merah
7 ulas bawang putih
2 inci halia -dihiris halus
2 batang kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
Bunga cengkih
3 biji pelaga
10 biji lada hitam
1 inci lengkuas -diketuk
3 batang serai -diketuk

Bahan rempah

300g rempah daging atau 6 bungkus kecil (serbuk Allagapas daging)
2 sudu besar rempah nasi beriani
1 sudu besar serbuk cili Allagapas (jika nak pedas)
* Rempah ini dibancuh kental dengan sedikit air.
5 sudu besar- kerisik
1 1/2 cawan air
4 biji ubi kentang -dipotong 4
2 cawan minyak atau lebih (untuk rempah masak)

Cara membuat
  1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang hingga layu kemmudian masukkan serai, lengkuas dan halia.

2. Bila wangi masukkan rempah 4 sekawan dan kacau. Masukkan rempah kari, terus kacau jangan tinggal kerana rempah mudah hangus.

3. Bila rempah sudah masak, masukkan daging. Guna api sederhana. Kacau selama 20 minit sampai air daging keluar semuanya dan keringkan sedikit kuahnya. Pekatkan.

4. Masukkan air 1 1/2 cawan, kacau sebati kemudian masukkan 1/2 kotak santan. Masukkan juga ubi kentang , gula, garam dan kiub ayam atau serbuk perasa. Guna api sederhana.

5. Terus kacau kuah dan biar mendidih 2 -3 kali selama 20 minit atau sampai daging lembut.

6. Kemudian baru masukkan santan yang separuh lagi. Kacau dan biar mendidih 2 kali baru dimasukkan satu kotak santan yang lagi satu. Biarkan mendidih sekali.

7. Bila daging dan ubi lentang dah empuk dan sedap baru dimasukkan kerisik. Dikacau kacau sekejap. Sekarang kuah akan jadi pekat. Rasa dan tambah apa yang kurang.

8. Biarkan selama 5 minit kemudian baru ditutup api dapur. Selepas masukkan kerisik kuah kari akan jadi pekat likat, sesuai sangat dicicah dengan pulut atau ketupat.

TIP

  • Jika nak kuah banyak tambah air satu cawan lagi iaitu sebelum dimasukkan kerisik.
  • Jika ubi kentang dah masak lembut tapi daging belum empuk lagi, sila keluarkan ubi kentang dahulu. Bila daging dah empuk baru masukkan semula ubi kentang.
  • Minyak kena banyak supaya rempahnya masak sempurna baru gulai akan jadi sedap. Nanti bila dah masak boleh buang minyak sedikit. Minyak ini boleh buat goreng ikan, lagi sedap.
Published by
VK