Kita sangka selesema biasa, tapi selepas tiga empat hari disahkan kena influenza. Ada banyak kes begini berlaku memandangkan simptom demam selesema dan influenza ini sama saja.

Memandang wabak influenza semakin menular maka ramai yang gusar terutama sekali ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Adalah penting untuk kita membezakan dua masalah kesihatan ini supaya rawatan boleh diambil secepat mungkin jika disahkan mengalami influenza.

Untuk pengetahuan semua demam, sakit kepala, batuk, sakit tekak, hidung berair dan sakit-sakit badan, adalah simptom demam selesema biasa. Walau bagaimanapun, ia mungkin juga bukan. Sebaliknya, influenza (juga dikenali sebagai flu) berkemungkinan adalah penyebabnya.

IKLAN

Dua penyakit ini berkongsi simptom yang hampir sama, namun kedua-duanya adalah penyakit yang berbeza.  Influenza dan selesema biasa, kedua-duanya disebabkan oleh virus.

Virus adalah agen penyebab bagi kedua-dua penyakit ini. Namun, ia melibatkan virus yang berbeza.

Selesema

Bagi demam selesema biasa, virus utamanya adalah rhinovirus yang terdiri daripada 3 jenis utama A, B dan C. Terdapat sekitar 160 subjenis yang diketahui boleh menjejaskan manusia. Disebabkan jenis yang banyak, anda boleh mendapat jangkitan berulang kali.

Influenza

Influenza atau flu pula disebabkan oleh virus influenza. Ia terdiri daripada jenis A, B, C dan D. Virus A adalah agen utama dengan subjenis yang pelbagai mengikut 2 jenis protein (H dan N) di permukaannya. Daripada 2 protein ini, nama-nama subjenisnya diambil. Paling kerap ditemui adalah H1N1 dan H3N1. Bagaimana ingin membezakannya?

Cara untuk membezakan

Tanpa ujian makmal yang khusus, mustahil untuk membezakan antara kedua-duanya hanya melalui tanda dan simptom yang dialami.

Namun, secara amnya simptom influenza lebih teruk dan berlaku secara tiba-tiba. Berbeza dengan selesema biasa yang kebiasaannya ringan dan datang secara beransur. Beberapa perbezaan lain pula adalah:

  • Demam kebiasaannya flu, terutamanya jika suhu tinggi sehingga 37.8°C-40°C.
  • Influenza menyebabkan rasa letih sehingga berminggu-minggu.
  • Sakit tekak lebih kerap berlaku dalam selesema biasa.
  • Hidung berair juga biasanya berlaku dalam selesema biasa.
  • Mual, muntah dan cirit-birit adalah simptom influenza.
  • Komplikasi seperti pneumonia lebih kerap berlaku dalam influenza.


Tanda bahaya

  • Awasi tanda-tanda amaran. Jika berlaku, dapatkan bantuan perubatan segera kerana dikhuatiri komplikasi:
  • Sesak nafas.
  • Bibir dan kulit berwarna biru.
  • Ruam.
  • Terlalu penat sehingga tidak mampu bangun.

Mungkin bukan kedua-duanya, tetapi denggi

Demam, letih dan sakit sendi mungkin juga disebabkan oleh demam denggi. Memandangkan kes denggi sangat tinggi di Malaysia, lebih-lebih lagi di kawasan bandar, doktor mungkin akan mengesyakinya dan membuat ujian darah untuk menyingkirkan kebarangkalian demam denggi.

Apa pun penyakit yang mungkin menjangkiti badan anda, amalan gaya hidup sihat sentiasa menjadi langkah terbaik dalam mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Amalkan pemakanan sihat dan senaman berkala. Jangan lupa juga untuk mengambil vaksin influenza setiap tahun bagi mendapatkan perlindungan yang berkesan.

Sumber: Hello Doktor