Kalau tengok cerita Upin Ipin mesti akan ada part makan ayam goreng kegemaran ni. Memandangkan anak-anak kita pun suka ayam goreng jom lah kita buat ayam goreng Upin Ipin ini.
Nampak macam goreng biasa saja tapi rasanya memang boleh buat bukan saja anak, mak ayah pun ketagih. Cara membuatnya dikongsi oleh Jimmy Aisy.
Resipi ayam goreng Upin Ipin
Bahan-bahan
– Peha Ayam
– 4 ulas bawang putih di tumbuk halus
– 1/2 inci halia ditumbuk halus
Gaul ayam dengan dua bahan ini dan letak tepi dulu.
Bahan untuk tepung salutan
– 3 sudu makan tepung gandum
– 2 sudu makan tepung beras
– 1 sudu makan tepung ubi
– 1 sudu kecil baking powder
– 1 sudu kecil white pepper
– 1 sudu kecil black peppercorns
– 1 sudu kecil ketumbar *
– 1 sudu kecil jintan manis *
– 2 sudu kecil jintan putih *
– Pink Salt Himalayan secukup rasa
– Perasa secukup rasa
Cara membuat:
1. Sangai bahan yg bertanda dan kisar halus. Kemudian masukkan kesemua tepung dalam satu bekas dan gaulkan sehingga rata. Masukkan juga bahan sangai yang dikisar tadi.
2. Seterusnya masukkan baking powder, garam, perasa, white pepper, black peppercorns dan gaul rata. Jika nak pedas boleh tambah chilli powder.
3. Ambil sesudu makan tepung yang sudah dibancuh dengan bumbu kemudian gaul dengan peha ayam. Biar basah sikit, selepas itu baru gaul dengan tepung yang banyak. Biarkan ayam disalut rata macam tepung gomak ok.
4. Sediakan kuali atau peiruk dan goreng ayam guna minyak yang banyak sehingga ayam tenggelam.
Pastikan minyak kena betul-betul panas, baru tepung terus lekat, api kena perlahan supaya bahagian dalam ayam masak.
5. Jangan balik-balikkan ayam ketika menggoreng. Goreng ayam dalam 8 ke 10 minit, lepas 4 minit baru balikkan dan goreng satu bahagian lagi selama 4 minit lagi.
6. Dah garing angkat dan tos minyak. Ayam ini akan rangup sampai ke petang.
Info: Lebihan tepung boleh simpan, masuk dalam belas bertutup rapat.
Selamat mencuba.
Sumber: Jimmy Aisy
#KitaBersama Inisiatif Syarikat Barangan Pengguna Untuk Bantu Rakyat Terkesan Pandemik Covid-19
Dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih lagi berleluasa di Malaysia dan serata dunia, semakin ramai rakyat yang terkesan dalam meneruskan kehidupan
harian. Ada yang kehilangan ahli keluarga, ada yang kehilangan sumber pendapatan.
Dengan niat untuk membantu secara berpanjangan, initiatif #KitaBersama hari ini dilancarkan sebagai pemangkin untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna bekerjasama dalam membuat kebajikan.
Initiatif ini merupakan gabungan antara syarikat Baba Products (M) Sdn. Bhd., Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd., Sime Darby Oils, dan Kumpulan Syarikat Etika, bersama dengan Food Aid Foundation (FAF), sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Sebagai permulaan, syarikat-syarikat tersebut telah pun berjaya membuat penghantaran pertama produk-produk BABA’S, MAMEE, ALIF, dan SUSU GOODDAY berjumlah melebihi RM90,000, baru-baru ini.
FAF akan segera mengedarkan makanan dan minuman yang diterima kepada mereka yang
memerlukan, terutamanya penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan
Diperketatkan (PKPD) sekitar Lembah Klang.
Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Pengguna Baba Products (M) Sdn. Bhd., Farhan Hafetz berkata bahawa initiatif #KitaBersama dimulakan dengan niat untuk menggalakkan syarikat-syarikat barangan pengguna untuk menghulurkan bantuan.
“Kebanyakan syarikat sudahpun membuat aktiviti amal secara bersendirian, tetapi lebih baik jika dibuat bersama-sama. Apabila kita semua bekerjasama, lebih ramai yang dapat dibantu secara berterusan.”
Penolong Pengarah Hal Ehwal Islam dan Pengurusan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn. Bhd., Ahmad Syukry Ibrahim mengalu-alukan inisiatif sebegini dan menyatakan bahawa gabungan bersama ini merupakan susulan dari program Mamee Prihatin yang ditubuhkan sejak tahun 2011.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diperkenalkan pada bulan Mac 2020, FAF telah mengedarkan lebih daripada 2 juta kg makanan kepada yang memerlukan. Walau bagaimanapun, sejak PKP 3.0, peningkatan permintaan naik secara mendadak, khususnya dari komuniti B40.
“Kami tidak mampu untuk memenuhi keperluan masyarakat sepenuhnya. Oleh itu
kami mengalukan-alukan sumbangan terutama daripada syarikat pengeluar makanan agar kami dapat meningkatkan jumlah bantuan”, kata Rick Chee, pengasas FoodAidFoundation.org.
Senarai ‘First Aid Kit Raya’ Wajib Bawa Balik Kampung Terutama Jika Ada Anak Kecil
First aid kit raya ini penting ya terutama jika pulang ke kampung dengan anak kecil. Ini kerana ketika musim perayaan banyak klinik dan farmasi turut menutup operasi.
Lagi pula ketika ini cuaca panas, boleh saja anak terkena demam, batuk dan sebagainya. Jadi, sebaiknya siapkan beberapa alatan asas penjagaan kesihatan untuk dibawa bersama.
Perkongsian dari Kamarul Ariffin Nor Sadan, ini senarai First Aid Kit Hari Raya yang disarankan dibawa bersama.
1. Tisu basah / Baby wipes . Antara benda penting ni! Rasanya semua orang yang ada anak ada benda ni di rumah.
2. Nappy rash cream. Musim raya ni, kita makan macam-macam, kadang anak yang menyusu badan pula yang kena cirit birit sampai melecet bontot. Benda ni sangat membantu elakkan kulit menggelupas akibat kerap basah.
3. Paracetamol / ubat demam. Dos dia 15mg/kg (setiap kilo berat badan, darab 15mg). Contoh: anak 10kg, maka 10kg x 15mg/kg = 150mg (miligram tau bukan ml).
4. Ubat batuk. Boleh beli ubat batuk komersil atau di farmasi. Sila ikut sukatan yang disyorkan pada kotak produk. Baca betul-betul. Jangan salah. Baca juga mana sesuai untuk kanak-kanak, mana yang tidak. Ada yang menyebabkan ngantuk, jadi hati-hati.Oral aid: semasa raya ni kita atau anak-anak mudah kena ulser mulut. Boleh beli gel macam Bonjela, Keno atau apa-apa jenama di farmasi.
5. Syringe / picagari. Ini untuk beri ubat pada anak-anak kecil. Nak buat cuci luka pun boleh. Nak main tembak-tembak air dengan sepupu pun boleh. Haha.
6. Cawan: dah makan ubat, mesti nak minum, kan? Standby je satu cawan plastik. Manalah tahu diperlukan.
7. Nasal Aspirator: Kalau hidung anak berhingus dan tersumbat, boleh sedut hingus guna bendalah ni. Picit, masuk lubang hidung, dan lepas.
8. Nasal Aspirator. Ini versi kena sedut pakai mulut. Bila sedut, hingus masuk tabung kecil tu, tak masuk mulut anda. Cuma virus/bakteria dari anak boleh masuk mulut anda.
9. Nasal Aspirator. Ini jenis pam elektrik. Paling senang. Tapi mahal. Duit raya anak anda yang tahun lepas, anda buat lah beli benda ni. Hehe
10. Saline spray. Ini spray untuk legakan hidung berhingus. Boleh guna untuk bayi dan anak-anak kecil. Boleh beli di farmasi.
11. Oral aid. Semasa raya ni kita atau anak-anak mudah kena ulser mulut. Boleh beli gel macam Bonjela, Keno atau apa-apa jenama di farmasi.
12. Paracetamol tablet. Ni pun beli siap-siap. Sakit kepala. Sakit tangan lenguh kacau dodol. Sakit hati je tak boleh. Kalau sakit hati cepat-cepat minta maaf. Bila lagi nak minta maaf kalau bukan Hari Raya.
13. Methyl Salicylate. ubat sapuan panas untuk lenguh otot-otot. Makbapak kita suka ni.
14. Calamine Lotion. Kalau gatal-gatal, ruam-ruam biasa, bolehlah sapu ni. Lega, boleh tidur nanti.
15. Vaseline. ni untuk lembapkan kulit, tapi tak nak kulit basah. Kalau kulit basah selalu, nanti berkedut dan mudah menggelupas. Pakai tau!
16. Losyen. kalau tak nak pakai Vaseline jenis jelly, boleh pakai jenis losyen. Kulit mesti jaga.
17. Swab Alkohol. Ini alkohol dalam bentuk swab. Koyak paket dia, keluarkan tisu beralkohol, dan lap kawasan yang kita nak sterilkan. Ada jual di farmasi.
18. Plaster aid (Handyplas). ni semua orang kenal. Tampal dekat pipi, nampak macam rapper terkenal. Saya lupa nama dia. Haha.
19. Crepe bandage. Ini bukan crepe yang isi durian tu. Ni pembalut kalau ada apa-apa kecederaan. Berguna benda ni.
20. Gunting. Pastikan gunting ni bukan gunting yang anda potong cili kering, potong ikan, potong kain raya. Guna gunting bersih dan tak berkarat. Beli satu khas untuk first aid kit.
21. Tweezers. Tak silap saya, dalam bahasa jawa, namanya ‘catut’. Boleh guna untuk cabut selumbar ke, apa ke. Cabut uban nenek anda pun boleh juga.
22. Termometer (jangka suhu). Beli termometer. Mudah. Cuma jangan beli yang ada bebuli merkuri. Kalau pecah bebuli dia nanti, susah nak bersihkan. Beli yang eletronik. Yang baca dahi ke, telinga ke, tak kisah.
23. Plaster (micropore). Ini untuk tampal gauze atau bandage. Ini jenis plaster yang benarkan kulit bernafas. Kalau pakai selotape, berkuap nanti.
24. Gauze. Kain kasa. Boleh guna untuk cuci luka. Tutup luka sebelum balut dengan bandage. Beli yang steril lebih baik. Dalam paket. Ada pelbagai saiz. Pilihlah yang mana sesuai.
25. Flavin/ ubat kuning. Kalau ada luka, cuci bersih-bersih pakai saline water, kemudian pakai ni. Tutup dengan gauze, dan balut.
26. Glucometer. Kalau ada kemampuan, beli satu untuk mak abah yang ada kencing manis. Senang dia nak pantau paras gula dalam darah.
27. Sphygnomanometer. Untuk periksa tekanan darah. Beli juga untuk mak abah. Mesti mereka sayang kau lebih baik dari tahun sebelumnya.
28. Ubat cirit-birit. Hari Raya adalah pesta makanan dan minuman, jadi keberangkalian terkena cirit-birit adalah tinggi. Boleh beli ubat cirit-birit dari farmasi awal-awal. Tanya siap-siap pada ahli farmasi, mana boleh beri kanak-kanak, mana yang tak boleh. OK?
29. Oral Rehydration Salt (ORS) : kalau cirit-birit, maka banyak hilang garam mineral, jadi kena ganti semula kehilangan itu. Bancuh ORS dan minum setiap kali tercirit.
30. Bekas. Gunalah bekas apapun, asalkan bersih. Susun barang-barang di atas elok-elok. Simpan dalam tempat kering dan suhu bilik. Kecuali ubat. Ubat kena simpan ikut apa yang disyorkan oleh pengeluar. Kalau nak balik kampung, bawa kotak ni sekali! Kalau tengah jalan nanti ada apa-apa berlaku, kan dah senang.
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan
7 Ilmu Tentang Oven & Fungsinya, Wajib Tahu Supaya Kek Dan Kuih Menjadi
Ramai yang suka buat kek dan biskut tapi sering kali juga dengan keluhan tak menjadi didengar. ‘Saya dan ikut resipi sebijik-sebijik tapi kek mendap, kenapa ya’ ini antara keluhannya.
Salah satu puncanya mungkin kerana kurang ilmu. Bukan kurang ilmu memasak tapi ilmu tentang ketuhar atau oven yang digunakan.
Di dalam proses membuat kek, biskut, pastri dan roti, bukan sahaja kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan hasil yang terbaik tetapi oven juga memainkan peranan yang amat penting.
Soalan yang selalu diajukan terutama bagi yang baru belajar memasak adalah ketuhar mana yang sesuai dan adakah kita perlu menyediakan berlainan ketuhar untuk berlainan kek, roti dan pastri?
Bagi memberi pencerahan tentang perkara ini VK kongsi info tentang ketuhar dan fungsinya yang diambil dari Facebook Jom Belajar Buat Kek. Semoga bermanfaat untuk anda yang suka memasak.
Jenis dan fungsi Ketuhar
1. Ketuhar Jenis Bina Dalam (Built in oven)
Ketuhar jenis ini memang cukup sesuai untuk semua jenis pembakaran. Ia boleh membakar roti, kek, pastri dan biskut. Bergantung kepada jenama yang anda beli, ada sesetengah ketuhar jenis begini, kepanasannya tidak begitu rata jika anda membakar dua atau dua tingkat (2 tier baking).
Kalau anda membakar biskut cara begini, anda harus rajin memusing dan menukar loyang kuih anda supaya mendapat kepanasan yang lebih rata (rotate the trays to get even baking results). Tetapi apabila membakar kek,lebih baik jika membakar satu tingkat sahaja.
2. Ketuhar Berkipas (Oven with fan)
Ketuhar yang mempunyai kipas bina dalam selalunya membakar biskut dan pastri dengan cukup baik kerana kipas itu memutar angin panas dengan rata jika kita membakar dua atau tiga tingkat (2 or 3 tier baking). Tetapi apabila digunakan untuk membakar kek, kipas ini akan mengeringkan kek.
Jadi, jika ada pilihan butang untuk tidak membuka kipasnya atau switch off (tutup kipas) apabila membuat kek, itu adalah pilihan lebih baik (sesetengah oven ada butang kipas).
Tetapi jika tidak boleh memilih untuk menutupnya (tiada butang kipas) adalah lebih baik jika anda mengurangkan sedikit masa membakar kek itu.
Contohnya, jika kek itu memerlukan masa 45 minit untuk membakarnya dalam ketuhar biasa, kurangkan masanya dalam 5 minit lebih awal jika menggunakan ketuhar yang berkipas ini supaya kek tidak terlalu kering.
3. Ketuhar Microwave (Microwave Oven)
Ketuhar jenis ini adalah seperti ketuhar 2 IN 1 iaitu boleh digunakan untuk fungsi microwave dan juga untuk membakar biskut, brownie atau kek-kek cawan.
Ketuhar begini sesuai bagi mereka yang jarang membuat kek yang besar. Jika kita membakar kek yang agak besar, ada kalanya bahagian tengah kek tidak masak dengan betul.
Selalunya, kita lebih menggunakan fungsi microwave sahaja. Jadi bagi mereka yang suka membakar roti, pastri dan kek-kek perayaan, jenis ketuhar sebegini mungkin kurang sesuai dan kek-kek yang dibakar dalam ketuhar microwave sebegini selalunya kelihatan agak pucat dan padat.
Fungsi-fungsi Pada Ketuhar
Sebenarnya inilah yang ramai tidak tahu. Jom semak fungsinya supaya boleh menggunakannya dengan betul. Kebanyakan ketuhar bina dalam (built in oven) mempunyai fungsi yang agak sama iaitu :
Top and Bottom Heat
Ini cukup sesuai untuk membakar semua jenis kek, biskut pastri dan roti. Jika membakar kek yang agak besar, letakkan kek itu di rak agak bawah sedikit tetapi jika membakar roti dan pastri, lebih sesuai jika kita meletakkannya di rak tengah sahaja.
Top Heat Only
Ramai yang keliru apabila melihat fungsi ini. Mereka sangka top heat sesuai untuk membakar kek lapis! Sebenarnya top heat lebih sesuai digunakan apabila membakar cheese cake. Jika digunakan untuk membakar kek lapis, ia akan menjadi terlalu kering dan ada kalanya garing.
Bottom Heat Only
Fungsi Bottom Heat ini cukup sesuai jika ingin menggaringkan roti yang berinti seperti pizza. Adakalanya, inti pizza itu sudah masak tetapi bahagian bawah rotinya pula masih kurang garing atau lembap. Di sinilah kita menggunakan fungsi bottom heat ini untuk memasakkan roti itu tanpa mengeringkan dan memasakkan inti pizza yang diatasnya itu.
Grill
Inilah fungsi utama apabila kita membakar kek lapis. Dengan menggunakan grill, setiap lapisan kek lapis pasti menjadi dengan cantik dan tidak kering. Api grill ini juga cukup sesuai jika ingin mengaringkan hanya bahagian atas ayam atau daging untuk sekejap sahaja.
Steam Injection
Tidak kesemua ketuhar ada fungsi ini. Fungsi ini cukup sesuai jika ingin membakar sesetengah jenis roti seperti roti perancis. Ia akan menggaringkan dan meranggupkan permukaan roti itu.
Suhu (Temperature)
Pastikan anda tahu jenis suhu ketuhar anda untuk jenis masakan yang anda lakukan agar ianya tidak menghasilkan rasa hangit atau hangus pada kuih semasa proses pembakaran dilakukan. Setiap saiz ketuhar itu mempunyai suhu kepanasan yang berbeza. Dapatkan nasihat daripada pakar penjual sebelum membuat belian terlebih dahulu.
Semoga tip yang diberi berguna untuk para ibu menyediakan masakan terbaik untuk keluarga. Selamat memasak!
Sumber : Facebook Jom Belajar Buat Kek