Ayam masak kicap memang ada banyak versi dan biasanya mesti berkuah. Tapi rupanya yang tak berkuah atau kering katanya lagi sedap.
Nak tahu cara masak ayam kicap tak berkuah? Boleh ikut cara yang dikongsi oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan. Resipi beliau ini mendapat hampir 41k perkongsian di Facebook, punyalah ramai suka.
Tak ada orang tak tahu cara nak masak ayam masak kicap, tapi setiap orang cara masaknya berlainan. Saya suka ayam masak kicap yang tak berkuah. Lagi kering lagi suka! Jadi, ni cara saya.
Bahan-bahan: (2-3 orang makan)
½ ekor ayam
1 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah ros
1 inci halia
3-4 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos cili
Cara membuat
1. Bahan segar dipotong kasar, dan ditumis sehingga naik aroma.
2. Ayam kena potong kecil-kecil supaya cepat masak. Kalau nak lagi cepat, guna bahagian dada sahaja. Cuma kena ingat, bahagian paha, kepak, leher dan kakilah yang paling sedap. Tumis ayam.
3. Bila nampak ayam kuning, capai kicap lemak manis dan curah atas ayam. Agak-agak sahajalah. Kalau tak suka makan manis, guna kicap lemak masin. Saya gunakan api besar. Sentiasa gaul ayam.
4. Masukkan sos cili, sos tomato masukkan.
5. Gaul sampai ayam diyakini masak. Kalau tak masin, tambah garam. Ayam ni kita nak dia pekat dan kalau boleh sampai kering. Kuah dia semua nanti lekat pada ayam. Oh, saya letak sikit bawang Holland.
6. Bila dah kering, letaklah apa-apa daun. Biar nampak rupa sikit. Kalau tidak, gelap je kejadiannya. Kalau ada hijau sikit, merah sikit, baru menyelerakan. Siap! Dah boleh hidang.
Selamat mencuba.
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan