Cinnamon roll memang sedap jadi hidangan waktu petang. Memang boleh buat sendiri tapi mengenangkan nak membuatnya kena uli doh bagai ramai yang lebih suka membelinya.
Tapi sebenarnya ada saja cara mudah buat cinnamon rolls ini tanpa buat atau uli doh. Sebaliknya cuma guna roti paratha saja. Lagi senang dan cepat siap. Nak lagi mudah bakar dalam air fryer saja.
Rasa cinnamon rolls ekspres ini tetap sedap, lemak, manis dan lebih rangup. Nak cuba? Boleh ikut perkongsian Wan Ramlah Wan Rahimi ini.
Cara buat cinnamon roll ekspres guna roti paratha
Bahan-bahan:
4 keping roti paratha
3 sudu mentega
2 sudu Nestum
2 sudu susu tepung
1 sudu cinnamon powder/ serbuk kayu manis
1/2 cawan gula perang
Cara membuat:
1. Gaul sebati mentega, Nestum, susu tepung, gula perang dan serbuk cinnamon atau serbuk kayu manis.
2. Susun 2 keping paratha. Pastikan bertindan sikit di tengah.
3. Sapu bahan yang digaul sebati tadi pada bahagian atas paratha nipis-nips.
4. Gulung perlahan-lahan dengan kemas.
5. Potong 8 bahagian gulungan tadi.
6. Susun potongan cinnamon rolls pada loyang yang telah digris mentega.
7. Panaskan air fryer 200 darjah Celsius selama 5 minit.
8. Bakar cinnamon rolls pd suhu 200 darjah Celsius selama 10 minit.
Selamat mencuba.
Sumber: Wan Ramlah Wan Rahimi