Antara hidangan menggunakan taucu yang sedap adalah ikan masak taucu. Paduan rasa masin, manis dan pedas boleh buat kita terus makan sampai lupa tentang diet. Lauk ini kena ada kuah lebih sikit baru terasa keenakannya.
Satu lagi jika nak ikan masak taucu ini jadi lebih sedap ada satu lagi bahan yang kena letak iaitu sos ikan. Tip ini diturunkan oleh Nana Sabrina Sarsan dan beliau juga berkongsi cara membuatnya.
Cara buat ikan masak taucu jadi lebih sedap
Ini cara saya buat ikan masak taucu. Saya tambah 1 bahan ni agar ikan taucu jadi lagi sedap, aroma memikat hingga lupa diet.
Bahan-bahan
-Ikan perap dengan garam dan kunyit, kemudian goreng bagi garing, ketepikan.
-Bawang merah, bawang putih & halia -dikisar
-Air asam jawa
-Air secukupnya
-Sos ikan (ini bahan penyedap ikan masak taucu)
-Garam, gula dan serbuk perasa
-Kicap lemak manis (sedikit saja)
-Taucu (basuh dahulu supaya tak terlalu masin)
Bahan hiasan
-Bawang holand, cili merah dan hijau, serta daun bawang yang dihiris.
Cara membuat:
1. Tumis bahan kisar hingga naik bau, kemudian masukkan taucu.
2. Seterusnya masukkan air asam jawa dan air. Jika suka berkuah lebihkan air, kalau suka pekat, kurangkan.
3. Kemudian masukkan sos ikan (sedikit sahaja), garam, gula dan serbuk perasa dan kicap. Biarkan mendidih seketika.
4. Masukkan bahan hiasan, kacau sebati dan akhir sekali masukkan ikan, biar sebati dengan kuah seketika kemudian boleh tutup api. Siap!
Selamat mencuba: Nana Sabrina Sarsan