Merindui masakan ibunya yang telah pergi, seorang rakan berbangsa India meminta rakan sepejabatnya memasak kari telur yang pernah dirasa sebelum ini. Katanya, ia sama dengan masakan mendiang ibunya.
Dengan harapan terubat rindu rakan kepada ibunya, De Norms Latorel menyediakan kari telur sambil berkongsi resipi bila kisahnya viral tidak lama dulu. Ini resipinya bagi yang nak mencuba.
Kisah di sebalik kari telur. Kawan pejabat sis berbangsa India pangkat adik bagi duit RM10 mintak tolong buatkan kari telur. Dia kata lama dulu, sis pernah bagi dia makan kari telur sis masak.
Katanya sebijik macam masakan mendiang mak dia. Rindu agaknya dengan masakan mendiang.Takpe dik, akak tolong buatkan untuk awak. Tak yah la duit, amik balik. Esok sis bawakkan ya..
Harap rindumu terubat!
Bahan-bahan
Telur – 10 biji rebus
Kentang – 5 biji (kupas, belah empat, basuh & tos)
Daun kari – 10 batang (dibuang batang dan cuci)
Bawang besar – kisar
Bawang putih – kisar
Halia – kisar
Pati ayam – 1 kiub
Minyak masak – 1 cawan
Serbuk kari ayam (Babas) – 5 sudu makan
Serbuk kari ikan (Babas) – 3 sudu makan
4 Sekawan (kayu manis 4, bunga lawang 4 kuntum kecil, bunga cengkik 4 biji, buah pelaga 4 biji. Bilas dan tos)
Asam keping 2
Santan kotak (200 gm) – 11/2 kotak
Cara memasak
1. Panaskan minyak masak dan tumis 4 sekawan.
2. Masukkan 8 sudu makan bawang besar kisar, bersama 4 sudu makan bawang putih kisar serta 1 1/2 sudu makan halia yang dikisar.
3. Tumis dalam 5 minit dengan api yang kecil.
4. Masukkan daun kari, tumis hingga bau kari naik semerbak. Kacau sesekali dalam 10-15 minit.
5. Kemudian masukkan serbuk kari ayam dan serbuk kari ikan. Tuang sedikit air untuk sebatikan, biar rempah likat bukan cair ya. Kacau rata.
6. Tambah minyak masak dalam 2-3 sudu makan. Sentiasa kacau hingga pecah minyak, elakkan jadi hangit. Ketika ini guna api sederhana. Memang ambil masa sedikit untuk tunggu kari pecah minyak. Sambil itu kacau.
7. Masukkan kentang dan kacau guna sudip kayu leper supaya kentang tak hancur. Masukkan asam kepiing dan kacau rata.
8. Bila kari pecah minyak, masukkan santan. Kacau sesekali sehingga santan pecah minyak.
9. Perasakan dengan garam dan tunggu hingga mendidih lalu masukkan telur rebus. Waktu ini kentang pun dah empuk tapi tak pecah.
10. Siap, boleh tutup api.
Selamat mencuba.
Sumber: De Norms Latorel