Cara Buat Kerutuk Ayam Dengan Kuah Pekat, Sedapnya…Kerutuk antara hidangan dari Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan. Kerutuk ayam atau daging ini macam gulai tapi bukan, macam rendang tapi rasanya lain.
Yang pasti hidangan kerutuk ini memang sedap dimakan dengan nasi putih dan nasi berperisa bersama acar dan sambal belacan. Tapi tak semua mahir membuat kerutuk ini sebab itu ia jarang dijual terutama di luar pantai timur.
Bagi yang nak cuba merasai keenakan kerutuk ini, boleh gunakan resipi perkongsian Muliadi Ramli. Yang ini resipi kerutuk ayam.
Bahan-bahan
Ayam 1 ekor (1.8kg dipotong 8 bahagian)
Bahan kisar halus
Bawang besar- 2 biji
Bawang merah kecil- 8 biji
Bawang putih- 3 ulas
Halia- 1 inci
Lengkuas- 2 inci
Kunyit besar- ibu jari
Rempah kerutuk
Rempah kerutuk- 6sb
Rempah masak cap bunga rose- 1sb
(Dicampurkan air dan gaul sekali)
Bahan tumis
Rempah 4 sekawan
Minyak masak untuk menumis
Bawang besar 1 biji & bawang merah 2 biji dimayang
Cili boh- 5 sudu besar
Bahan lain
Santan- 1 kotak kecil
Kerisik- 4 sb
Gula Melaka- 1/2 keping
Garam secukup rasa
Air Asam jawa
Lada besar merah dan hijau 4 biji (dibelah 2)
Bawang holland 1 biji (dibelah 6)
1. Tumis rempah empat sekawan hingga naik bau. Masukkan cili boh tumis hingga pecah minyak
2. Masukkan bawang yang dimayang dan bahan kisar halus. Tumis hingga naik bau dan masak cili serta pecah minyaknya.
3. Selepas itu masukkan rempah cap bunga rose, tumis hingga sebati dan pecah minyak.
4. Seterusnya masukkan 1 cawan air, tumis lagi hingga mendidih. Kemudian masukkan santan pekat, kacau sebati.
5. Masukkan gula melaka, dan air asam jawa. Masak hingga kuah pekat barulah masukkan ayam. Gaul rata, masukkan kerisik, garam secukup rasa.
6. Renehkan dengan api kecil dalam 20 minit hingga kuah pekat. Masukkan lada besar dan bawang holland, kacau. Siap.
Sumber: Muliadi Ramli