Cara Buat Sambal Garing Cili Kering Yang Sedap. Senang, Tak Perlu Tumis Cuma Goreng Garing & Kisar Guna Chopper

Share

Bagi peminat sambal yang rasa tak lengkap makan kalau tiada menu ini elok sangat buat stok sambal cili kering garing ini.

Dikongsi oleh Jona MJ sambal yang juga resepi keluarganya ini turut digelar ‘sambal kurang ajar’ kerana jika menu ini muncul katanya pasti akan makan nasi bertambah dan bagi yang berdiet mesti akan terbabas.

Menjadi kesukaan keluarga, beliau turut berkongsi cara membuat sambal sedap ini. Caranya mudah, cuma goreng empat bahan dan kisar dengan chopper. Tak perlu tumis lama-lama.

Cara buat sambal ‘kurang ajar’

1. Cili kering digunting untuk dibuang biji. Kemudian goreng garing tapi jangan sampai hangus.

2. Bawang merah, segenggam, jangan kedekut. Potong empat saja dan goreng hingga layu.

3. Bawang putih juga sama, potong dan goreng hingga layu.

4. Ikan bilis digoreng garing.

5. Semua bahan di atas digoreng berasingan menggunakan minyak yang sama. Nak mudah goreng ikan bilis > bawang merah & bawang putih > cili kering

6. Dah goreng semuanya, masukkan dalam chopper secara berasingan. Guna chopper kerana hasil yang kasar.

7. Kisar semua secara berasingan. Waktu kisar cili kering masukkan gula & garam sekali. Waktu kisar ikan bilis, bawang merah & bawang putih masukkan minyak masak anggaran dalam 3/4 cawan.

8. Selepas semua dikisar kasar, campurkan semua bahan. Tak perlu masak atas dapur semula.

INFO

  • Jika tiada chopper boleh tumbuk guna lesung batu, ini memang resipi asal tapi jangan guna blender.
  • Simpan dalam bekas kedap udara, tak perlu masuk dalam peti sejuk. Sambal ini tahan sampai sebulan.
  • Boleh makan dengan nasi bersama telur mata. Cicah dengan cekodok pun sedap.

Selamat mencuba.

Sumber: Jona MJ

 

Published by
VK