Selalu nak buat sandwic telur untuk makan waktu pagi, kita kena rebus dan kupas telur. Kemudian hancurkan pulak. Ambil masa juga untuk membuatnya.
Tapi sebenarnya ada cara pantas nak buat sandwic telur ini. Tak payah rebus pun. Masak dalam microwave saja. Setakat nak makan 2 orang memang guna cara ni lagi senang. Dikongsi oleh Kamarul Nor Sadan ini caranya.
Ada orang yang minta saya cadangan macam mana nak buat sandwic telur yang cepat, sedap dan tak mudah terabur bila anak-anak makan. Baiklah! Sandwic ni, dalam 2-3 minit boleh siap (tak termasuk masa untuk membasuh peralatan memasak).
Bahan-bahan
1 butir telur
2 keping roti
1 sudu besar mentega
1 sudu besar mayonis
2 sudu besar keju mozarella
Garam secukup rasa
(Bahan ini untuk hidangan 1-2 orang makan)
Cara membuat
1. Masukkan 150-200ml air panas dalam cawan, pecahkan telur di dalam air berkenaan. Kita nak masak gunakan microwave. Pecahkan kuning telur sikit kalau bimbang ia meletup.
2. Kalau gunakan air panas, bubuh masa dalam 1 minit. Kalau gunakan air suhu bilik, bubuh dalam 1½-2 minit. Masa ni sebenarnya bergantung pada gred telur, isipadu air, dan jenis microwave yang digunakan.
3. Toskan telur yang dah masak. Hati-hati, panas! Apapun, tengok telur tu. Elok kejadiannya, kan?
4. Panas-panas lagi ni, masukkan mentega. Mudah ia nak mencair. Nak letak marjerin, mayones? Silakan. Masukkan mayonis. Tak perlu banyak sangat.
5. Akhir sekali masukkan keju mozarella yang diparut. Nak gunakan kepingan keju cheddar pun boleh sahaja. Saya gunakan mozarella sebab dia mudah cair dan boleh “ditarik”. Anak-anak suka.
6. Gaulkan sehingga tahap hancur yang kalian mahukan. Ada orang suka telurnya tu hancur halus-halus, ada suka kasar-kasar. Saya nak buat kasar sedikit supaya ada “bite” bila makan nanti.
7. Letakkan atas roti. Isi sandwich ni pekat dan likat sebab ada keju, jadi bila makan nanti ia tak mudah berterabur keluar. Kalau tak ada keju, sandwic telur macam ni, isinya suka melarikan diri ketika makan. Haha!
Selamat mencuba
Sumber: Kamarul Nor Sadan