Makan

Tip Buat Siakap Kengsom Yang Sedap, Kuah Pekat. Kisar Sekali Bahan Ini

Share

Macam masak singgang atau asam siakap kengsom ini memang kena dengan citarasa. Selain sihat penyediaannya pun mudah, lauk dan sayur sekali masak saja. Kalau nak kuah pekat, sedap dihirup kisar sekali nenas. Makan dengan nasi panas, satu lauk ni pun cukup dah!

Cara membuatnya dikongsi oleh Dr Kamarul Ariffin Saadan.Ada step by step, senang untuk yang kali pertama nak cuba masak.

Siakap Kengsom, kuah pekat

Bahan-bahan:
1 ekor siakap
½ biji nanas
6 biji bawang merah ros
3 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah
2 inci kunyit
1 inci belacan
2 inci lengkuas
1 batang serai
3 tangkai cili api/padi
1 biji limau nipis.
½ cekak kangkung
3 sudu sos ikan

Langkah demi langkah

1.Sediakan bahan-bahan dulu. Cili boleh tambah ikut citarasa masing-masing.

2. Kisar bawang merah, bawang putih, kunyit, cili belacan dan ¼ nanas dengan 2 cawan air. Saya kisar nanas sekali supaya kuahnya lebih pekat. Jika suka kuah yang cair, tak perlu kisar nanas.

3. Masukkan dalam periuk, reneh sehingga bahan-bahan masak terutamanya cili. Kalau kering sangat, tambah air dan sambung reneh. Biasanya saya reneh 10 minit. Sambil reneh saya sediakan bahan lain.

3. Masukkan serai dan lengkuas. Kalau tak ada lengkuas pun tak apa, cuma masakan jenis reneh macam ni memang bertambah lazat kalau ada lengkuas. Tambah 2 cawan air.

4. Masukkan nenas yang dah dihiris setebal 1 inci. Masakan ni sedap guna nanas yang masam sikit, jangan yang terlalu ranum dan manis. Biasanya, masakan berasaskan ikan, serasi rasa masam.

5. Masukkan ikan siakap yang dibelah 3 bahagian. Boleh tak guna ikan lain? Boleh sahaja. Kengsom ni memang aslinya guna ikan siakap, tapi kalau nak cuba ikan lain, maka silakan.

6.Sekarang boleh perasakan dengan sos ikan. Hati-hati, jangan banyak sangat, tadi kita dah letak belacan, takut termasin. Jika tak ada sos ikan, ganti sahaja dengan garam.

7. Perah limau nipis. Ada juga orang letak asam keping. Saya lebih suka guna limau nipis sebab ada rasa sitrus yang buat hidang ni rasa lebih segar (fresh).

8. Masukkan kangkung!

9.Tutup dan matikan api. Biar kangkung layu. Kengsom ni masakan Siam, tapi dia macam adik beradik jugalah dengan ikan masak asam atau masak singgang. Tak jauh beza, kan?

9. Siap! Rasa dia masam, masin, manis dan pedas. Siap ada ikan, sayur dan buah. Lengkap! Bau limau dan nanas tu buat kecur air liur. Kalau makan dengan nasi panas, memang bertambah.

Selamat mencuba.

Sumber: Kamarul Ariffin Saadan

 

Published by
VK