Ramai kalangan kita yang setiap minggu menggunakan khidmat dobi layan diri. Selepas basuh baju kita akan terus keringkan pakaian menggunakan mesin dryer yang ada.
Tapi selalu terjadi selepas guna dryer baju tak kering sepenuhnya bila diperiksa selepas kita pulang ke rumah. Sudahnya kita kena jemur pulak.
Salah satu penyebabnya kerana kita menggunakan mesin pengering ini dengan cara yang salah. Nak pastikan pakaian yang kita masukkan dalam mesin ini kering sepenuh ada cara yang perlu kita lakukan.
Perkara ini dikongsi oleh Salkukhairi Sukor.
Biasa tak anda menghadapi keadaan di mana kain yang dikering menggunakan mesin pengering (dryer) di dobi layan diri masih agak lembab dan tidak kering sepenuhnya, walaupun ianya telah di “spin” lebih daripada 30 minit.
Ini berkemungkinan disebabkan oleh cara pengeringan anda yang kurang betul. Misalnya saya dapati, ramai orang yang mencampakkan sahaja kain mereka terus ke dalam mesin pengering dengan keadaan kain yang masih basah dan berpuntal-puntal. (Sila rujuk Gambar 1)
Cara begini sebenarnya adalah SALAH.
Ini kerana, dengan cara mencampakkan kain terus ke dalam mesin, ia akan mengakibatkan kain anda tidak dapat kembang dengan baik sewaktu mesin pengering berpusing yang menyebabkan kain tidak dapat kering dengan sempurna, terutamanya kain yang agak tebal dan di bahagian pinggang dan kaki seluar.
Cara yang BETUL adalah seperti berikut:
1. Sila perah dan kibas kain anda terlebih dahulu. Ini bertujuan untuk memastikan tiada lagi sisa-sia air pada kain tersebut dan menjadikan ia dapat kembang dengan baik dan tidak berpuntal-puntal apabila dimasukkan ke dalam mesin pengering nanti.
2. Sila masukkan kain tersebut ke dalam mesin pengering sehelai demi sehelai dengan keadaan ianya dikembangkan. Sila susun kain tersebut secara berlapis. (Sila rujuk Gambar 2).
3. Cara ini menjadikan adanya ruang di antara kain anda yang membolehkan kain anda dapat berpusing dengan baik di dalam mesin pengering dan menjadikan proses pengeringan lebih sempurna.
4. Ianya dapat mempercepatkan proses pengeringan dan menjimatkan masa dan wang anda. Ini kerana kain boleh kering dengan sempurna dalam masa 30 hingga 35 minit sahaja (untuk satu bakul penuh kain).
5. Bukan itu sahaja, kain anda juga tidak akan berkedut dan mudah dilipat sebaik sahaja dikeluarkan daripada mesin pengering. Kalau tak percaya silalah cuba!
Lakukan langkah ini setiap kali guna dryer dobi layan diri supaya dapat jimat masa kita, tak perlu jemur balik atau tambah duit untuk panjangkan masa pengeringan.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Sakukhairi n Sons