Menjelang bulan puasa, satu perkara yang selalu menjadi kemusykilan kaum wanita adalah kiraan fidyah kerana tidak sempat menggantikan puasa.
Bagi yang ragu-ragu tentang perkara ini berikut di kongsi penjelasan cara kiraan fidyah yang diambil dari Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Tapi sebelum itu baca juga penjelasan mengenai fidyah untuk pengetahuan kita.
FIDYAH
Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan.
HUKUM FIDYAH
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.
PROSEDUR MEMBAYAR FIDYAH
Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri-negeri.
Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.
SEBAB-SEBAB DIKENAKAN FIDYAH
1. Uzur menunaikan puasa wajib
Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
2. Perempuan hamil
Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.
3. Ibu yang menyusukan anak
Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
4. Orang yang telah meninggal dunia
Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
5. Melambatkan ganti puasa (Qada’)
Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.
TAKSIRAN FIDYAH
(Hari yang ditinggalkan) X (Tahun gandaan) X (1 Cupak) = FIDYAH
KADAR BAYARAN FIDYAH
Kadar bayaran fidyah bagi satu hari puasa yang ditinggalkan ialah satu cupak beras yang boleh dibuat zakat fitrah (1/4 gantang Baghdad).
Dalam bentuk nilaian, berdasarkan kepada kadar yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sehingga tahun 1435H, secupak beras bersamaan dengan 567.5 gram dinilai dengan kadar RM1.80.
Contoh:
Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:
RM1.80 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM16.20
* Jumlah hari puasa yang wajib di qadha tetap 3 hari sahaja. Hanya bayaran fidyah sahaja digandakan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada semua.
Sumber: Facebook Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia.
Nota: Kiraan fidyah di Selangor adalah tidak berganda walaupun melangkau tahun (www.zakatselangor.com.my)