
Isi Kandungan
ToggleKalau sebelum ini buat mi hailam rasa biasa biasa saja, lepas ini ikut cara masak yang dikongsi Hasniza Hassan. Tengok mi hailam yang dimasak ini memang mengancam. Rahsia sedap katanya adalah dengan menggunakan lada hitam ketika menumis.
Tip ini diperoleh daripada ibu saudaranya dan dipraktikkan hingga kini jika memasak mi hailam. Malah perkongsian resipi saudari Hasniza Hassan ini pernah viral satu ketika dulu di Facebook, hantarannya dikongsi hampir 104k hingga hari ini. Jom kita cuba hari ni!
Cara masak mi hailam tumis lada hitam
Bahan-bahan
1-1 ½ paket mi
Bahan kuah
11 ulas bawang putih – kisar / tumbuk
1 sudu makan biji lada hitam – tumbuk kasar
Daging – rebus dan potong kecil
1 mangkuk air rebusan udang – jika ada
15 ekor udang – boleh dilebihkan
4 ekor sotong – hiris
1 biji tomato – belah 2
1-2 biji cili merah – potong
Kubis secukupnya – hiris
Sawi secukupnya – hiris
Kicap masin secukup rasa
Kicap manis secukup rasa
Sos tiram secukup rasa
Garam dan gula secukupnya
1-2 sudu makan tepung jagung – bancuh dengan sedikit air
Cara memasak
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih serta lada hitam.
2. Tumis hingga wangi dan bawang kekuningan.
2. Tumis hingga wangi dan bawang kekuningan.
3. Masukkan daging dan tambahkan air. Boleh tambahkan air rebusan kulit udang jika ada. Biarkan mendidih dan daging empuk.
4. Tambahkan kicap manis, kicap masin dan sos tiram secukup rasa.
5. Seterusnya masukkan udang dan juga sotong. Masak jangan terlalu lama kerana udang dan sotong akan kecut.
6. Kemudian masukkan hirisan cili dan tomato. Tambahkan juga garam serta gula secukup rasa.
7. Masukkan hirisan kobis. Masak seketika.
8. Bila kuah mendidih dan hampir diangkat, masukkan sawi. Tambahkan juga bancuhan tepung jagung untuk memekatkan kuah.
9. Gaul rata supaya semua bahan sekata.
10. Masukkan mi dan gaul rata. Hidangkan segera.
INFO: Masukkan mi apabila hidangan sedia untuk dinikmati. Jika tidak, mi akan menjadi kembang
Selamat mencuba.
Sumber: Hasniza Hassan
Cara Kurangkan Risiko Jangkitan Covid-19 Bila Berkongsi Kereta. Salah Satu Jangan Pandu Perlahan Sangat!

Isi Kandungan
ToggleTumpangkan rakan, saudara menaiki tanpa sedar rupanya yang dibawa itu adalah pembawa virus atau pesakit covid-19. Apatah lagi sekarang pesakit covid-19 ada yang tanpa simptom. Memang bahaya!
Lebih terdedah dengan risiko ini adalah pemandu e-hailing. Jadi bagaimana untuk mengurangkan risiko ini terkena jangkita bila berkongsi kereta? Panduan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang dipetik daripada Medical Mythbusters Malaysia ini perlu kita praktikkan.
Bagaimana kurang risiko Covid-19 bila berkongsi kereta
Anda mempunyai risiko untuk mendapat Covid-19 di dalam kereta jika ada penumpang lain yang membawa virus. Virus boleh hadir di dalam droplet yang keluar dari pernafasan, pertuturan, batuk dan bersin dari seseorang yang dijangkiti.
Droplet yang besar akan jatuh ke permukaan, tetapi droplet yang kecil dan aerosol akan berterbangan di udara sehingga 1 jam. Berikut adalah beberapa petua bagaimana anda boleh mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 apabila berkongsi kereta (hasil kajian penyelidik di Universiti Swansea).
1. Pakai topeng muka belum tentu selamat
Memakai topeng muka tidak memberi jaminan 100% anda tidak dijangkiti tetapi sangat bermanfaat. Pembawa virus yang memakai topeng muka dapat mengurangkan penyebaran partikel virus sebanyak 90% dan jika anda juga memakai mask, maka tentu kadar jangkitan dapat dikurangkan dengan banyak.
Memakai faceshield ataupun pelitup muka (face cover) dapat menurunkan lagi kadar penyebaran partikel virus dan jangkitan. Jadi anda ada hak untuk menyarankan penumpang lain memakai topeng muka.
2. Jarakkan kedudukan anda dengan penumpang lain.
Duduk pada kedudukan sejauh yg mungkin dari penumpang lain. Jangan kongsi kenderaan dengan ramai penumpang.
3. Cuci tangan
Cuci tangan anda sebelum dan selepas menumpang kereta dan jika itu adalah kereta anda, cuci permukaan dan bahagian-bahagian yang dipegang oleh penumpang termasuk handle dan tali pinggang keledar.
4. Buka tingkap kereta
Kajian menunjukkan membuka tingkap selama 10 saat sekali sekala dapat mengurangkan pengumpulan partikel virus sebanyak 97%. Apabila tingkap kereta dibuka, akan berlaku perbezaan tekanan di dalam dan luar kereta sehingga partikel di dalam kereta akan disedut keluar.
5. Jangan pandu perlahan
Memandu kereta secara perlahan memberi peluang yang lebih besar kepada partikel virus untuk berkumpul, jadi jika anda memandu kurang daripada 30 km/jam, adalah lebih baik membuka kesemua tingkap.
Pemanduan yang perlahan juga menyebabkan perbezaan tekanan luar dan dalam lebih kecil, jadi kesan sedutan lebih rendah. Tetapi perlu ingat bahawa membuka kesemua tingkap boleh pula membawa mudarat lain iaitu pencemaran luar yang masuk.
6. Kalau pandu laju
Jika anda memandu kenderaan lebih laju, tidak perlu membuka kesemua tingkap. Sudah memadai jika sekali sekala anda membuka dua tingkap yang bertentangan, contoh satu di depan kanan dan satu di belakang kiri. Ini dilakukan setiap 10-15 minit, selama 10 saat, ataupun semasa mana2 penumpang bersin dan batuk.
7. Duduk depan risiko jangkitan lebih rendah
Duduk di kerusi depan kereta mempunyai risiko jangkitan yang lebih rendah kerana arah pergerakan udara dari depan ke belakang akan mengumpulkan partikel di bahagian belakang kereta. Jika penumpang terpaksa duduk di belakang, pilih tempat duduk yang bertentangan dengan tingkap yang dibuka.
8. Risiko minimum jika sudah vaksin
Di samping kaedah-kaedah di atas, jika anda atau/dan penumpang lain sudah mengambil vaksin Covid-19, risiko jangkitan tentu sangat minima.
9. Jangan tumpang orang tak dikenali
Tidak berkongsi kereta dengan orang yang anda tidak kenali lebih-lebih lagi jika anda berada di tempat yang virus ini sudah merebak di dalam komuniti. Jika anda terpaksa juga, sebaik2nya pakai topeng muka berlapis ataupun digabungkan denga faceshield. Berdoalah semoga tidak ada penumpang lain yang membawa virus.
10. Kalau car pool lakukan dengan orang yang sama
CDC juga mencadangkan jika anda perlu amalkan “car pooling’, lakukan bersama orang yang sama dan lebih digalakkan tidak memasang penghawa dingin sebaliknya menggunakan aliran angin sahaja ataupun tingkap sentiasa dibuka.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Tata Cara Solat Dalam Kapal Terbang, Wajib Tahu Kalau Tempoh Penerbangan Lama

Travel menggunakan pesawat sudah jadi kebiasaan bagi kita pada masa kini. Justeru adalah perlu untuk kita memahami tatacara kewajipan bersolat dalam kapal terbang terutama jika tempoh penerbangan memakan masa yang lama.
Namun begitu untuk menunaikan solat dalam kapal terbang ada perkara yang wajib kita perhatikan supaya solat kita sempurna. Memetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan berikut adalah tata cara solat ketika berada dalam kapal terbang.
PERTAMA: MASA PERLEPASAN
Perkara pertama yang harus diambil kira sebelum menunaikan solat dalam kapal terbang adalah ialah masa pergerakan seseorang dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan menggunakan kapal terbang.
Sebagai contoh: Seseorang yang ingin menunaikan umrah ke Arab Saudi dari Malaysia dengan menaiki kapal terbang. Masa perlepasannya dari KLIA ke Jeddah adalah pada pukul 3 petang waktu Malaysia. Justeru, cara yang lebih mudah untuk dirinya dalam hal ini adalah dengan menunaikan solat jamak qasar secara taqdim zohor dan juga asar di airport KLIA.
Contoh lain: Jika seseorang berada di atas kapal terbang dalam keadaan waktu solat masih belum masuk dan waktu perlepasannya adalah dari Jeddah menuju ke Malaysia pada pukul 10 malam waktu Arab Saudi. Maka dalam hal ini, solat Maghrib dan Isyak boleh dilakukan secara jamak di airport Jeddah. Solat Subuh pula dilakukan di dalam perjalanan iaitu ketika berada di atas kapal terbang. Manakala solat zohor dan asar pula boleh dilakukan secara jamak di airport KLIA.
KEDUA: MASUK WAKTU SOLAT
Cara untuk kita mengetahui masuknya waktu solat adalah melalui pengumuman yang dibuat oleh pramugara atau krew kapal terbang. Jika tiada pengumuman, kita boleh bertanyakan kepada mereka tentang waktu tempatan di kawasan yang sedang dilalui oleh kapal terbang. Saya juga mengesyorkan agar kita mencari alternatif lain seperti menggunakan jam yang mempunyai masa tempatan khususnya waktu solat seperti al-fajr dan lain-lain.
KETIGA: PENENTUAN ARAH KIBLAT
Dalam hal ini, amatlah perlu bagi seseorang untuk menghadap ke arah kiblat ketika hendak menunaikan solat. Ini kerana, menghadap ke arah kiblat merupakan syarat sah bagi solat. Ia berdasarkan firman Allah S.W.T:
فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ المَسْجِدِ الحَرَام
Maksudnya: Maka palingkanlah wajah kamu menghadap ke arah Masjid al-Haram.
Surah al-Baqarah (144)
Kata al-Imam al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini: Palingkanlah urusan wajah kamu menghadap ke arah sudut Masjid al-Haram iaitu ka’abah. Lihat al-Jaamik Li Ahkam al-Quran, al-Qurthubi (2/148).
Namun ianya dikecualikan jika terdapat keuzuran untuk menghadap ke arah kiblat maka dibolehkan untuk menghadap arah yang paling hampir dengan kiblat. Namun jika ini juga tidak dapat dilakukan, maka saya syorkan agar solat tersebut diulang semula (i’adah) ataupun qadha sebaik sahaja sampai ke destinasi.
KEEMPAT: CARA MENGAMBIL WUDHUK
Di antara perkara yang perlu kita raikan ketika menaiki kapal terbang adalah sifat kapal terbang itu sendiri serta mematuhi peraturan penggunaan air dalam kapal terbang terutamanya dalam perjalanan jarak jauh. Saya mengesyorkan agar penggunaan air dilakukan dengan seminima mungkin sama ada dengan cara yang diajarkan oleh pihak Lembaga Tabung Haji iaitu dengan menggunakan spray dan menyapu keseluruhan muka ataupun dengan menggunakan air dengan sedikit. Seperti membasuh anggota wuduk dengan sekali basuhan sahaja.
KELIMA: TAYAMMUM
Pada pendapat kami, adalah tidak sesuai untuk menggunakan tayammum di atas kapal terbang sementelahan lagi dengan pasir yang dibawa ke dalam kapal terbang. Manakala, berkenaan isu melekapkan tangan ke dinding atau tingkap kapal terbang untuk bertayammum, saya lebih cenderung mengatakan bahawa ia tidak menepati syarat sebenar wujudnya debu dan tanah pada dinding tersebut. Firman Allah S.W.T:
فَتَيَمَّمُواْ صَعِيدٗا طَيِّبٗا
Maksudnya: Maka bertayammumlah kalian dengan debu yang bersih
Surah al-Maidah (6)
Kata al-Imam al-Syanqithi rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Menjadi ketetapan ketika tayammum adalah pada pasir yang mempunyai debu yang boleh melekat di tangan. Inilah pendapat Imam al-Syafie dan juga Imam Ahmad. Rujuk Tafsir Adhwa’ al-Bayan (1/354)
KEENAM: CARA SOLAT DI ATAS KAPAL TERBANG
Dalam hal ini, kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:
1. Kapal terbang yang mempunyai keluasan besar seperti Boeing 747, 757, 777, Airbus, dan seumpamanya. Justeru, jika terdapat ruangan untuk bersolat seperti kawasan yang berhampiran dengan tempat duduk pramugara, atau tempat hidangan makanan, maka pilihlah untuk bersolat di kawasan tersebut. Ini kerana, lebih banyak rukun fi’liyyah yang dapat kita lakukan dengan cara ini.
2. Sebaliknya, jika kapal terbang yang dinaiki itu bersaiz kecil seperti Boeing 737 dan seumpamanya dengan kapasiti penumpang yang padat serta tidak memungkinkan seseorang itu untuk berdiri bagi menunaikan solat maka dibolehkan untuk dia solat di tempat duduknya. Akan tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu untuk diraikan. Antaranya:
Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari mula solat.
Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud: Bertakwalah kalian kepada Allah sekadar kemampuan kalian.
(Surah al-Taghabun: 16)
Segala rukun qauli (perkataan) hendaklah dilaksanakan.
Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan dengan sebaik mungkin.
KETUJUH: SOLAT HORMAT WAKTU
Solat hormat waktu adalah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas (kerana tiada air untuk berwuduk atau tiada tanah untuk bertayamum) dan juga solat yang tidak dapat menghadap kiblat.
Solat ini wajib di qadha semula setelah beroleh air atau tanah ataupun dapat menghadap kiblat. Kita juga boleh mengqada solat hormat waktu ini secara jamak ataupun qasar dengan syarat kita masih berada dalam keadaan musafir.
Apabila kita telah kembali ke tempat asal maka solat hormat waktu mestilah di qada secara sempurna. Jika ditakdirkan kita meninggal semasa musafir dan kita masih belum mendapatkan air untuk berwuduk atau tanah untuk bertayamum bagi mengqada solat, maka memadai solat menghormati itu telah diterima Allah SWT.
Sebaliknya jika kita berpeluang untuk mengqada solat hormat waktu ini setelah adanya air atau tanah, tetapi kita masih melengah-lengahkannya maka kita dikira berdosa.
Aisyah menceritakan bahawasanya beliau telah meminjam daripada Asma’ seutas rantai, lalu ia hilang. Maka Rasulullah SAW menghantar beberapa orang sahabat baginda untuk mencarinya.
Lalu tiba waktu solat, dan mereka pun solat tanpa wuduk. Apabila mereka mendatangi Nabi SAW, mereka mengadu hal tersebut, lalu turunlah ayat pensyariatan tayammum.
Pendapat ulama:
Al-Hafiz Al-Iraqi (725-806 H.) menyatakan bahawa terdapat empat pendapat daripada fuqaha mazhab Al-Syafie berhubung solat tanpa taharah.
Pendapat yang paling sahih di sisi ulama mazhab (Al-Syafie) ialah: Wajib solat kerana menghormati waktu dan wajib mengulanginya jika mampu melakukan salah satu daripadanya (wuduk atau tayamum).
Ada juga pendapat wajib solat dan tidak wajib mengulanginya. Ini adalah pilihan Al-Muzani. Kata Abu Thaur: Inilah yang menepati qiyas dan ia disebut oleh Ibnu Abd Al-Barr daripada sebilangan fuqaha.
Imam Al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya ia adalah pendapat yang paling kuat dalilnya dan pendapat ini dikukuhkan oleh hadis ini iaitu mereka (para sahabat) solat tanpa wuduk sebelum turun ayat tayamum dan tidak dinukilkan bahawa Nabi SAW mengarahkan mereka untuk mengulanginya.”
KELAPAN: PERI PENTING DAN KEDUDUKAN SOLAT
Secara mutlak, solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula ? Nabi bersabda: Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan solat sebanyak tiga kali.
(Riwayat Ibnu Hibban)
Menebus dosa
Dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada menyatakan dua solat yang dilakukan seseorang Islam dengan betul akan menebus dosa-dosa yang berlaku di antara kedua-dua solat tersebut. Ini berdasarkan hadis, Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Dengan melakukan solat lima waktu Allah akan menghapuskan dosa-dosa.
(Riwayat al-Bukhari)
Hadis seterusnya, Uthman R.anhu berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah, maka semua solat fardu yang dilakukannya akan menebus dosa yang ada di antara solat tersebut.
(Riwayat Muslim)
Begitu juga orang yang cuai mengerjakan solat, sama ada sengaja melengah-lengahkan atau meninggalkannya akan membawa kepada kekufuran sekiranya dia berterusan begitu. Oleh itu, solat merupakan santapan utama bagi iman sebagaimana yang telah disebutkan.
Seterusnya hadis daripada Ummu Aiman, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jangan engkau sengaja meninggalkan solat, sesungguhnya sesiapa yang sengaja meninggalkan solat dia akan terlepas daripada mendapat perlindungan Allah dan Rasul-Nya.”
(Riwayat Imam Ahmad)
Sumber: Muftiwp
Cara Buat Stew Ayam Kuah Pekat Sedap Dihirup. Nampak Macam Sup Tapi Bukan

Nampak macam sup ayam tapi bukan. Yang ini adalah stew ayam bersama kentang dan lobak. Kalau dah biasa buat sup ayam boleh cuba buat hidangan stew ini pula.
Berbanding sup, stew ayam ini lebih pekat kerana turut dimasukkan bancuhan tepung jagung dengan air. Stew ini boleh masukkan sekali kentang dan lobak, jadi makan satu lauk ini saja dah cukup lengkap.
Jika nak cuba boleh ikut cara yang dikongsi oleh Eryn TJ
Cara buat stew ayam dengan kentang dan lobak
Bahan-bahan
1 ekor ayam -potong kecil
3 biji ubi kentang -potong empat
1 biji lobak merah -potong empat
1 biji bawang holland -hiris nipis
4 ulas bawang putih -diketuk
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap cair
2 tangkai daun bawang -hiris
2 sudu besar tepung jagung (bancuh bersama 4 sudu besar air)
1 sudu besar serbuk lada sulah
1 sudu besar serbuk lada hitam tumbuk
1 kiub stok ayam
Cara memasak :
1. Tumis bawang holland dan bawang putih hingga keperangan. Masukkan ayam dan gaul rata hingga ayam menjadi sedikit keperangan.
2. Masukkan kicap pekat, sos tiram dan kicap air dan gaul rata bersama ayam.
3. Masukkan ubi kentang dan lobak merah. Masukkan air biar ayam, ubi kentang tenggelam dan kiub ayam.
4. Perasakan dengan garam secukup rasa, serbuk lada putih & serbuk lada hitam tumbuk dan renehkan di api kecil selama 30 minit hingga ayam, kentang & lobak masak.
5. Masukkan air jagung sedikit demi sedikit untuk memekatkan kuah dan gaul rata. Tutup api dan taburkan daun bawang.
Selamat mencuba.
Sumber: Eryn TJ