
Selalu makan capati kat kedai mamak kan, sebab nak buat menu ni kena ada tepung khas iaitu tepung attar.
Tapi sebenarnya nak buat sendiri capati tanpa tepung attar pun boleh. Guna tepung gandum, dan rasanya lagi menarik kombinasi capati dan roti canai. Capati tepung gandum ini yang pasti tetap sedap untuk cicah dengan kuah kari, dhal atau sambal.
Nak cuba buat boleh ikut perkongsian Wan Atirah WM.
Cara buat capati mudah, guna tepung gandum
Capati gandum buat kali kedua, rasanya sedap 2 dalam 1 roti canai + capati . Cubalah, mudah dan menyihatkan sebab tak guna minyak. Anak-anak makan 2-3 keping sorang cicah susu atau gula , makan dengan sambal bilis pun padu. Bahannya pun ringkas saja.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
3 sudu besar marjerin Pelangi
1 sudu kecil garam
1 1/2 cawan air panas mendidih
Tepung untuk dusting
Cara membuat:
1. Satukan tepung gandum, marjerin dan garam.
2. Masukkan air panas mendidih dan kacau guna senduk. Kemudian uli jadi doh , canaikan sambil tabur dan sapu tepung gandum supaya tak melekat .
3. Goreng atas kuali nonstick tanpa minyak. Bila naik gelembung baru terbalikkan. Siap
Selamat mencuba.
Usia 51 Tahun Tapi Bacaan Kolesterol Perfect, Doktor Cungkil 10 Tip Yang Diamalkan Lelaki Ini

Ramai kalangan kita sekarang yang menghadapi masalah kolesterol tinggi. Dah tentu ia membimbangkan kerana ini yang menjadi punca banyak penyakit berbahaya. Masalah ini dialami baik yang muda atau yang sudah berusia. Malah sekarang yang bertubuh kurus pun ramai mengalami masalah kolesterol tinggi.
Namun perkongsian daripada seorang doktor ini mungkin boleh memberi panduan untuk mereka yang berdepan masalah ini. Bertemu dengan seorang pesakit yang mempunyai bacaan kolesterol yang sempurna pada usia 51 tahun dia turut mencungkil rahsia yang diamalkan oleh lelaki tersebut.
10 rutin miliki bacaan kolesterol cantik
Jarang sangat saya nak jumpa bacaan kolesterol perfect macam ni. Umur encik ni 51 tahun pulak tu. Kita yang muda belia pun takut nak tengok bacaan kolesterol sendiri kan.
Ini cerita setahun yang lepas. Tapi sampai sekarang saya masih kagum, dan masih ingat setiap nasihat dan saranan yang beliau beri. Bila pesakit dah ada depan mata, saya cubalah kutip apa yang patut.
Ada 10 perkara yang beliau kongsi dengan saya.
1. Puasa Isnin dan Khamis tak pernah tinggal, puasa-puasa sunat lain juga beliau amalkan.
2. Nasi hanya makan 1 kali sehari. Cukup untuk isi perut yang lapar, bukan untuk makan sampai kenyang.
3. Makan bila lapar, bukan sentiasa kena ada makanan untuk dimakan. Berhenti sebelum perut rasa kenyang.
4. Makanan favourite adalah ulam-ulaman, sejak kecil diajar makan ulam oleh ibu ayahnya.
5. Kopi, teh dan milo tak pernah ambil sejak usia muda remaja. Beliau tahu ada kopi dan teh yang baik, tapi beliau tak minat. Katanya, kopi 3 in 1 betul-betul rosakkan badan.
6. Jarang sangat ambil air manis bergula. Seminggu sekali pun susah.
7. Sentiasa ada buah di rumah walau 1 biji. Bila lapar, cari buah dan bukan biskut kering.
8. Setiap tahun beliau wajibkan diri buat ujian darah untuk lihat tahap kesihatan diri. Bila ada keputusan yang tidak cantik, beliau usaha belajar dan cari ilmu untuk kawal dengan pemakanan.
9. Beliau tak percaya langsung dengan iklan makanan dan minuman yang ada di TV, sebab kebanyakannya adalah makanan tinggi gula. Banyak mata telah dikaburi, terutama anak-anak kecil kesayangan kita.
10. Buat sesuatu, sentiasa fikir kebaikan dan keburukan. Apa kita nak makan dan minum, fikir dulu samada ia baik atau buruk untuk tubuh badan kita. Ini gaya ayah-ayah yang nasihatkan anak. Saya belum mampu buat sepenuhnya apa yang beliau berjaya buat sejak usia muda.
Seawal beliau masuk ke bilik konsultasi, saya siap tanya lagi, “Encik ada makan ubat kolesterol ke?” Sebab cantik sangat kolesterol beliau, sangsi pula saya kot ada ambil ubat kolesterol dari farmasi.
Rupa-rupanya, ada cerita menarik tentang gaya pemakanan beliau yang perlu sangat untuk kita contohi.
Kita perlu mula dari sekarang. Tak dapat buat semua, buat separuh pun jadi.
Ajak anak-anak kecil kita juga, untuk sama-sama mula ubah gaya pemakanan kepada yang lebih sihat.
Sumber: Mazliana Mazlan
Kalau Tanam Pokok Cili Pastikan Buang Tunas Air Supaya Cili Lebat & Subur

Pokok cili besar atau cili padi antara yang selalu kita tanam di kawasan rumah. Hatta duduk di apartment pun ramai saja yang menanamnya dalam pasu.
Banyak rungutan mereka yang tanam pokok cili ini, pokok tak subur, buah kecil dan sikit.
Antara perkara penting yang ramai tak tahu dalam penjagaan pokok cili adalah tentang pemotongan tunas air. Jika tidak dibuang atau dipotong ia akan mempengaruhi perkembangan pokok cili begitu juga buah cili.
Tok Serama berkongsi bagaimana mengenal pasti tunas air ini dan kenapa perlu membuangnya.
Kena buang tunas air pokok cili
Kali ini kita nak berkenalan dengan tunas air pada pokok cili.
Pertama, apakah tunas air?
- Tunas air adalah tunas yang tumbuh selepas pokok cili pecah cabang. Tunas air akan tumbuh pada batang pokok cili atau lebih tepat lagi sebelum cabang pertama pokok cili.
Bila masa nak buang tunas air?
- Tunas air selalunya dibuang selepas pokok cili pecah cabang. Lebih tepat lagi apabila pokok cili berusia 2 – 3 minggu. Pada usia ini tunas air akan tumbuh dengan rancaknya pada batang pokok cili.
- Buang tunas air kesemuanya sebelum cabang pertama.
- Kalau ada daun besar dalam 10 helai, buang dalam 8 helai, jangan melepasi Y (cabang utama)
Apa kesan tunas air pada pertumbuhan dan hasil tanaman cili?
- Tunas air tumbuh dengan cepat dan banyak. Pertumbuhan tunas yang rancak dengan bilangan yang banyak memakan banyak baja.
- Justeru itu secara fisiologinya, banyak nutrien pada baja akan digunakan oleh tunas – tunas air ini, berbanding kepada pertumbuhan cabang utama cili dan juga pertumbuhan buah (konsep sink and source).
- Kesannya, pokok cili akan menjadi rendah bukan saiz sebenar dan bilangan dan saiz buah berkurangan.
Bolehkah kita menyimpan buah cili pada tunas air?
- Tidak boleh. Ini kerana saiz buah pada tunas air adalah kecil dan bentuk buah selalunya abnormal.
Sesetengah pengusaha fertigasi turut membuang tunas air dan daun bawah selepas cabang pertama. Adakah kaedah ini betul?
- Berbalik kepada prinsip sink and source, daun merupakan tempat fotosintesis, iaitu proses menghasilkan makanan pada pokok. Pada peringkat awal, adalah digalakkan menyimpan daun tua bagi membantu proses pertumbuhan pokok cili.
- Selalunya, daun tua dibuang selepas penghasilan buah peringkat ke 3-4.
Adakah kaedah pembuangan tunas cili besar/merah sama dengan cili padi?
- Tidak. Tunas air dibuang kesemua sekali pada pokok cili besar/merah, manakala pada cili padi, tunas air disimpan 4-5 batang.
- Ini kerana tunas air pada pokok cili padi dapat menyumbang kepada penghasilan buah cili padi.
Sumber: Tok Serama
Tip Buat Ayam Buttermilk Makin Sedap, Letak Sikit Jus Ini. Confirm Kuah Pun Licin

Bahagian isi atau dada ayam selalunya memang kurang dapat sambutan kalau dibuat gulai, atau sambal.
Selalunya kena buat ayam goreng kunyit baru jalan. Tapi ada satu lagi lauk ringkas yang boleh disediakan menggunakan bahagian ini iaitu ayam buttermilk.
Cara membuatnya pun ringkas dan jika nak hidangan ayam buttermilk yang dibuat lagi sedap rasanya buat boleh ikut cara dikongsi oleh Ila Najwa. Cukup rasa, bukan saja ayam habis kuah pun licin.
Tip masak ayam buttermilk rasa lagi sedap
Bahan-bahan
-Ayam bahagian dada- dipotong kecil
-Tepung serba guna -apa jua jenama untuk salutan
-Mentega
-Bawang putih -dicincang
-Cili api -dicincang
-Daun kari
-Susu cair
-Sedikit jus lemon
Cara membuat:
1. Gaul ayam yang dipotong tadi dengan tepung serba guna. Boleh juga gaul sekali dengan kunyit.
2. Goreng ayam hingga masak dan tos.
3. Panaskan kuali, masukkan mentega secukupnya untuk menumis.
4. Bila mentega dah cair, masukkan bawang putih dan tumis hingga garing. Selepas itu baru masukkan cili api dan daun kari.
5. Bila semua bahan dah garing, masukkan ayam yang digoreng tadi. Ada yang buat kuah dulu baru masukkan ayam. Tapi cara saya masukkan ayam dulu.
6. Seterusnya masukkan susu cair. Kuantiti terpulang, jika nak kuah banyak lebihkan susu dan sebaliknya. Tapi kuah banyak baru sedap.
7. Biarkan kuah mendidih. Sebelum tutup api, masukkan sesudu kecil perahan jus lemon. Inilah tip supaya kuah ada rasa lemak, manis, masam dan pedas. Sikit saja ya. Kemudian kacau dan boleh tutup api.
Siap! Tengok pun tahu sedap.
Selamat mencuba
Sumber: Ila Najwa