Seronok bila tengok pokok buah berbunga, tanda tak lama lagi akan dapat merasa hasil.
Tapi malangnya dah berbunga dan berputik buah tak lekat, asyik gugur. Ada pokok yang bertahun-tahun hadapi masalah yang sama tapi dibiarkan.
Sebaiknya kalau ada pokok buah begini cari punca dan rawat supaya dapat berbuah. Boleh ikut tip dari Asri Atan,
pekebun Sepang Farmvile yang berkongsi punca dan juga cara merawat pokok sebegini.Pokok berbunga tapi buah tak lekat. Cuba perhatikan dua faktor berikut:
Pasu/bekas yang kecil menyebabkan akar terkumpul dalam pasu dan tidak dapat terus berkembang. Boleh cuba tebuk bahagian bawah pasu. Atau gantikan dengan bekas yang lebih besar. Atau tanam terus ke dalam tanah.
Saya ada satu pokok lemon yang sebelum ini hanya sempat berputik, kemudiannya luruh. Setelah saya keluarkan dari pasu, saya dapati akarnya telah terlalu padat. Setelah dipindahkan ke tanah, alhamdulillah banyak buah yang lekat.
Terdapat semut hitam yang merosakkan bunga dan akhirnya bunga tersebut gugur.
Boleh cuba letak ubat semut untuk menghalau. Atau gunakan kerengga. Yaa. Kerengga boleh menghalau semut dan membantu sebagai agen pendebungaan.
Saya ada satu pokok bidara epal yang berbunga lebat, tapi tiada satu pun buah yang lekat. Saya dapati ada semut kecil yang berkampung di sekitar bunganya.
Saya ambil satu sarang kerengga dan letakkan pada pokok tersebut. Alhamdulilah berhasil dan sekarang banyak putik buah yang ada.
Tuan/puan boleh mencuba jika mempunyai masalah yang sama. Moga berjaya!
Sumber: Asri Atan