Cara Tanam Labu Tepi Rumah, Dah Berbunga Kenal Pasti Bunga Betina Supaya Boleh Bantu Jadi Buah

Share

Kalau rumah ada laman dan suka bercucuk tanam boleh masukkan labu sebagai salah satu tanaman dalam kebun.

Tanam sepokok dua pun dah mencukupi untuk makan sendiri, malah lebih dari cukup. Jika nak cuba tanam boleh guna perkongsian Weekend Baker ini sebagai panduan. Benih ambil saja dari labu yang kita beli untuk masak tu.

Beli labu, benih ambil untuk tanam sendiri

1. Labu ini benihnya dari labu yang saya beli untuk masak.

2. Benihnya saya semai, apabila tumbuh tunggu sehingga keluar daun sebenar. Bukan sekadar daun bulat atau tunas.

3. Bila dah ada empat daun dan cukup besar pindahkan dalam poli beg atau nak tanam atas tanah pun boleh. Bila tanam tanah hendaklah separas dengan daun bulat yang asal.

Pokok labu adalah tumbuhan menjalar dan akan pergi ke arah cahaya matahari. Jadi pastikan ada ruang untuk pokok menjalar.

4. Penjagaan seperti biasa kena siram setiap hari dan baja. Sebelum batang guna baja daun, bila dah cukup dewasa gunakan baja untuk buah.

5. Apabila pokok labu sudah berbunga rajin-rajinlah perhatikan bentuk bunganya. Bunga yang buncit seperti labu kecil adalah bunga betina. Bunga jantan lebih kembang tanpa labu kecil tu.

Inilah bunga betina, ada bulat di bawah kelopaknya.

6. Untuk memastikan bunga betina jadi buah kita boleh bantu proses pendebungaan. Caranya, ambil debunga jantan kemudian sapukan kepada bahagian stigma bunga betina untuk membantu proses pendebungaan. Kalau terlambat untuk proses ini buah labu tak akan menjadi dan bunga betina sangat cepat gugur.

Boleh saja kalau kita tak nak buat proses ini dan biarkan semut dan lebah bantu pendebungaan. Cuma kadang-kadang semut dan lebah tiada di kawasan rumah jadi kita kenalah bantu jadi ‘tok kadi’ kahwinkan bunga ini. Insya-Allah mana sempat mesti nampak buah membesar.

Ini cara saya tanam pokok labu ya, sekadar perkongsian.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Weekend Baker

 

Published by
VK