Ada kala kita pergi ke restoren yang ramai pelanggan, tak dinafikan lauknya enak tapi hairannya nasi putih yang dimasak pun sedap.
Rupanya ada cara untuk masak nasi putih ini, bukan sekadar basuh, bilas dan tanak. Ada cara dan ilmu khusus perlu dibuat ketika tanak nasi supaya rasa nasi bukan tawar tapi sedap.
Terlibat dalam dunia perniagaan makanan selama 25 tahun Chef Shukri berkongsi ilmu yang dipraktikkan yang juga katanya diguna pakai oleh kebanyakan pengusaha kedai makan dan serta tukang masak lauk kenduri.
Ilmu masak nasi putih
Malam ni orang rumah sibuk. Saya dengan rela paksa masak nasi putih. Masak nasi putih ni pun ada rahsia besar. Bukan masak begitu saja.
Ads
Selama 25 tahun saya belajar, bekerja, bergelumang dan mencari rezeki melalui perniagaan makanan. Malam ini saya akan bagi ilmu yang paling penting sekali dalam bidang masakan.
Saya nak kongsikan ilmu pengasih yang digunakan oleh kebanyakan kedai-kedai nasi campur dan juga nasi lauk kenduri kawin. Kadang kadang bila kita makan nasi kat kedai memang sedap. Kemudian orang kata kedai tu pakai jin, pakai bomoh, pakai hantu dan macam-macam lagi.
Bismilllah dan selawat
Perkongsian ilmu pangasih untuk anda. Anda boleh gunakan ilmu ini supaya suami anda lebih sayang sebab masak lagi sedap. Setiap kali masak nasi putih, bacalah Bismilah dan selawat masa basuh beras. Ikutlah berapa kali nak dibaca.
Ads
Masuk sedikit garam, minyak dan daun pandan
Masa nak masak nasi. Masukkan sedikit garam dan minyak dalam nasi yang nak dimasak.Masukkan daun pandan. Kena pandai agak-agak supaya tak terlalu masin dan berminyak. Sukatan air nasi adalah seperti biasa. Apa tujuannya?
Minyak berfungsi supaya nasi tidak melekat dan sentiasa berderai. Garam pula untuk bagi nasi putih ada ” rasa” bila kita makan begitu saja atau dengan lauk berkuah. Daun pandan supaya nasi wangi satu dapur bila dah mendidih.
Ads
Letak gula batu kalau masak nasi tomato atau nasi minyak
Kalau masak nasi selain nasi putih : Nasi Tomato, Nasi minyak dan lain-lain. Ikutlah cara ini beserta masukkan 3 atau 4 ketul gula batu bertujuan mengilatkan nasi supaya lebih cantik.
Inilah rahsia besar kedai-kedai makan dan para tukang masak. Saya redha kalau lepas ni ada yang pm saya kenapa ” bodoh sangat” bagitau rahsia ni. Tujuan saya ilmu yang diamalkan, saya akan dapat pahala berterusan. Tak salah kan?:- Chef Shukri.
Selalunya bila kemas rumah kita akan angkat barang termasuk yang berat tanpa memikirkan risikonya. Angkat sofa, meja, kotak berat, almari, tong gas dan sebagainya.
Kalau tiada yang bantu kita terus angkat sendiri tanpa memikirkan kesan pada tulang belakang terutama jika diangkat dengan cara yang salah.
Memang kita berupaya angkat tapi ingat ia boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang dan memberi kesan pada jangka masa panjang.
Mengangkat barang atau beban dengan cara yang salah bukan saja menyebabkan sakit belakang tapi juga boleh mengakibatkan masalah Muskuloskeletal disease disorders (MSDs).
Cara salah, angkat sambil bongkok
Mengangkat barang berat sambil membongkok atau bahagian belakang melengkung. Cara inilah yang boleh menyebabkan menjejaskan bahagian belakang.
3 cara betul angkat barang berat
1. Lurus belakang angkat
Rapatkan tubuh dengan barang berat sedekat. Semakin jauh beban dari badan, semakin ianya ditanggung berat.Angkat barang sambil meluruskan bahagian belakang. Cara ini beban barang turut disokong oleh tangan.
2. Cangkung, lurus angkat
Teknik ini sama seperti senaman squad. Pastikan barang yang berat perlu diangkat dekat dengan badan. Duduk mengcangkung kemudian angkat sambil meluruskan bahagian belakang.
3. Bengkok lutut, belakang lurus
Bengkokkan satu lutut mencecah lantai, dan satu lagi dibengkokkan 90 darjah. Angkat barang dengan bahagian belakang diluruskan. Teknik ini sesuai untuk barang yang tidak berapa berat (rujuk video).
Perkara penting yang perlu diingat ketika mengangkat barang berat adalah memastikan bahagian belakang lurus bukan melengkung atau membongkok.
Jika dua hari lepas kita menyaksikan situasi pembelian panik di pasar raya, semalam pula lain keadaannya. Menjelang malam orang ramai berkumpul di balai polis terdekat untuk mendapatkan pelepasan keluar daerah/ negeri selepas diarahkan berbuat demikian apabila berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini.
Ramai yang mengambil kesempatan selama tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan untuk pulang ke kampung. Namun akibat kesesakan yang berlaku, arahan tersebut ditarik balik malam tadi.
Pun begitu sebagai tanggungjawab sosial kita kepada masyarakat supaya virus ini tidak menular, kita diminta untuk tidak keluar daerah/negeri. Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pengecualian pergerakan rentas negeri ini hanya dibolehkan untuk sebab berikut:
1. Kematian ahli keluarga terdekat 2. Sakit tenat ahli keluarga terdekat 3. Rawatan perubatan diri sendiri dan ahli keluarga
Meski permit pelepasan pergerakan antara negeri ditangguhkan sementara waktu diharap orang ramai mematuhi perkara ini.
Tempoh 14 hari kawalan pergerakan ini adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan virus Covid-19 yang telah menyaksikan dua kematian di Malaysia semalam.
Buah cempedak ini selain sedap dimakan terus, kalau digoreng lagilah enak. Tapi harganya boleh tahan juga mahal. Sebab itulah lebih berbaloi beli sendiri dan goreng di rumah. Bagaimanapun sebelum beli kenalah pandai pilih cempedak yang banyak isi dan manis supaya tak kecewa bila membukanya.
Untuk pilih cempedak yang begini ada lima perkara yang perlu kita perhatikan semasa memilih.
1. Perhati mata/duri kulit cempedak
Pilih yang tumpul, besar-besar dan jarang. Itu tanda isi di dalam banyak. Jangan pilih yang mata duri yang tajam dan rapat-rapat, itu bermakna jerami lebih banyak.
2. Tekan kulit
Tekan kulit cempedak perlahan-lahan untuk merasa isi dalamnya. Kalau masih keras atau tak berapa boleh ditekan, ia menandakan buah masih muda. Pilihlah buah cempedak yang bila ditekan, kulitnya lembut dan seakan empuk.
3. Warna kekuningan, tangkai coklat
Cempedak yang sudah masak, manis dan matang warna kuningnya lebih dominan. Elak ambil cempedak yang masih banyak warna hijaunya berbanding warna kuning, kerana di dalamnya masih muda. Boleh juga lihat warna tangkainya. Kalau dah berwarna coklat, maksudnya isinya sudah masak.
4. Bau wangi menyengat
Cempedak yang masih separuh masak pun sudah mula berbau wangi. Tapi bezanya, cempedak yang sudah betul-betul masak aromanya lagi menyengat dan wangi.
5. Pilih yang lebih berat
Sebab nak murah, kita pilih cempedak yang kecil atau ringan. Lebih selamat pilih yang berat kerana lebih banyak isi.