Jadi perkara biasa sofa jenis fabrik bila dah lama akan timbul kesan tompokan dek air tertumpah, kotoran dan macam macam lagi.
Ada yang dah macam peta keadaannya, lagi jelas kelihatan kalau sofa warnanya cerah. Ramai yang beli macam-macam produk pembersih untuk hilangkannya malah ada yang panggil tukang cuci untuk selesaikan masalah ini.
Sebenarnya cara untuk hilangkan kesan tompokan di sofa ini sangatlah mudah, tak perlu beli apa-apa pencucuk cuma guna air suam yang panas. Caranya dikongsi oleh Diya Ibrahim berdasarkan pengalaman beliau.
Cuma guna air suam panas hilang tompok kotor pada sofa
Terima kasih kepada yang share tips hilangkan kesan tompok pada sofa guna kain lap dan air suam panas. Memang berkesan. Sebelum ini guna foam wash tapi rupanya ada tip yang lebih jimat. Caranya;
Ads
Sediakan air suam yang panas, agak-agak tangan boleh pegang.
Lembapkan kain lap dengan air suam panas tadi, perah sedikit supaya lembap kemudian tonyoh atau gosok pada kesan tompokan.
Kemudian lap atau tekan-tekan sofa tadi dengan kain yang kering.
Tak perlu jemur, cuma biarkan sofa tadi di bawah kipas untuk keringkan.
Ini hasilnya
Sebelum – Maaf gambar sebelum sebelah kanan tu saya dah lap guna kain basah tak kering lagi. Bahagian hujung kini tompokan asal pada sofa.
Ads
Selepas– ini hasil selepas kering, memang hilang kesan tompok pada bahagian yang digosok dengan air panas.
Ramai yang cuba buat udang mentega atau butter prawn di rumah tapi masalahnya sarangnya selalu tak menjadi macam yang kita makan di restoren. Tak halus.
Lepas boleh cuba lagi, kali ini ikut teknik yang dikongsi oleh Marina Ismail ini ya. Yang penting katanya guna senduk bulat, kuning telur tuang tinggi.
Udang goreng mentega dengan sarang telur
Bahan Sarang Telur
2 biji kuning telur
1 senduk butter
1senduk minyak masak
Cara membuat:
1.Pukul kuning telur. Panaskan butter dengan minyak masak. Guna senduk bulat tau. Bila minyak dalam kuali tu dah betul-betul panas, pusing pusingkan minyak dengan senduk laju-laju bentuk bulatan sehala, jangan berhenti.
2.Kemudian tuang kuning telur tadi, tuang tinggi ya supaya bancuhan telur jatuh dalam kuali halus saja. Maintain pusing minyak dengan senduk laju laju dan tuang sampai habis. Jangan berhenti pusing senduk sampai telur masak warna keemasan.
3. Dah masak, tuang dalam tapis besi untuk toskan minyak.
Bahan Udang Butter:
500gm ekor udang
Sedikit garam
Sedikit lada sulah
Minyak untuk goreng
3-4 ulas bawang putih – dicincang
6-8 tangkai cili padi – hiris
4 tangkai daun kari
1/4 cawan susu cair
Sedikit butter untuk tumis
Sedikit serbuk lada sulah
Cara membuat
1. Memula goreng dulu udang yang dah gaul dengan garam dan lada sulah hingga berubah warna dan masak. Jangan goreng lama sangat nanti udang tu akan mengecut sangat dan jadi tak cantik selain keras bila makan. Angkat, toskan. Keluarkan minyak dari kuali.
2. Panaskan butter dalam kuali, tumis bawang putih, cili padi dan daun kari sampai garing dan naik bau.
3. Masukkan susu cair dan masak sekejap. Masuk pulak udang yang dah goreng tadi, sedikit serbuk lada sulah dan garam secukup rasa. Jangan bubuh banyak sangat garam sebab butter dah ada masin.
4. Dah masak semua, masuk dalam pinggan dan tabur sarang atau floss telur yang buat tadi. Dengan pantas dah siap. Senang kan.
TIP
Boleh juga letak telur dalam plastik dan buat lubang yang kecik atau letak dalam acuan roti jala untuk lebih senang tuang ke dalam kuali supaya lebih halus.
Sentiasa kacau minyak secara membulat dengan senduk masa tuang telur dalam minyak supaya sarang telur jadi halus cantik.
Jangan goreng udang terlalu lama untuk elakkan udang keras.
Ramai yang tanam jagung di rumah tapi masalahnya, bila dituai isinya tak penuh. Memang frust. Perlu diketahui untuk dapatkan hasil jagung yang penuh isi dan besar ada teknik yang perlu dilakukan.
Caranya dikongsi oleh Farah Aisyah Ahmad yang turut memberi panduan mudah untuk menanam jagung di rumah berdasar pengalaman selepas lima kali menanamnya.
Cara mudah tanam jagung di rumah
Bina sedikit batas, semampunya sahaja. Buat lubang sedalam lebih kurang 2 cm dengan jarak 1 kaki. Setiap lubang letakkan 2 biji benih. Kambus biji benih dengan tanah hitam. Untuk jagung ini benihnya saya beli di kedai Eco Bicolor corn jenama Grabbit.
3 perkara penting ketika menanam jagung
1. Air
Siram pagi dan petang lebih kurang 250ml untuk setiap lubang.
2. Baja
Mulakan pembajaan pada hari ke-10. Konsisten membaja seminggu sekali. Tukar kepada baja buah apabila bunga jantan keluar.
3. Buat pendebungaan manual, untuk dapat isi jagung penuh
Disebabkan saya tak menanam banyak. Jadi pendebungaan manual sangat membantu untuk mendapatkan jagung yang penuh isinya.
Caranya, secara ringkas ketika bunga jantan mengeluarkan debu, petik setangkai bunga jantan dan golekkan atau oles pada bunga betina.
Waktu paling sesuai untuk pendebungaan ketika cuaca panas dan pukul 11.00 pagi -2.00 petang.
Untuk lebih faham bunga jantan dan bunga betina boleh lihat gambar rajah di bawah. Bunga jantan berada di atas manakala bunga betina bunga betina celah daun yang bakal jadi buah jagung.
Kalau ditanya rahsia mereka yang dah berusia tapi nampak awet muda, salah satu amalan mereka adalah makan ulam atau sayur.
Amalan mereka itu pula bukan sehari dua selalunya sejak zaman muda lagi.
Bagi anda yang mahu tampil awet muda 15 jenis ulam tempatan ini bolehlah diamalkan terutama bila usia dah memasuki 30 tahun.
Kaitan ulam/ sayur dengan nampak muda
Tapi sebelum itu serba sedikit khasiat sayur dan ulam-ulam ini dalam membantu memudakan wajah kenalah kita tahu. Jangan tahu makan saja!
Sebenarnya bukan saja ulam tapi apa saja sayur segar baik untuk kelancaran proses penghadaman dan pencernaan yang pada masa yang sama sangat berkait dengan kesihatan kulit wajah.
Kebanyakan sayur dan ulam ini kaya dengan vitamin C yang mana penting untuk penghasilan kolagen. Unsur kolagen inilah yang membuatkan lebih elastik dan kurang kedutan.
Kebanyakan sayur turut mengandungi karotenoid seperti beta karotin. Ia berfungsi melindungi kulit dari kesan sinar matahari dan radikal bebas yang menjadi punca penuaan kulit.
Ini senarai ulam untuk awet muda & kesihatan
Dah tahu kaitannya jom amalkan ulam-ulam ini yang khasiatnya bukan saja untuk awet muda tapi lebih daripada itu.
1. Pegaga
Ini ulam yang paling mudah sekali kalau nak amal. Ada saja di pasar atau di kedai makan. Selain buat ulam pegaga boleh dibuat jus atau dijadikan kerabu. Amalan minum air rebusan pegaga dikatakan boleh menaikkan seri wajah.
2. Ulam raja
Ulam raja hanya perlu dicuci bersih dan boleh terus dimakan mentah. Elok diamalkan oleh ibu dalam pantang. Antara khasiat ulam raja, bantu meremajakan kulit. Bolehlah diamalkan untuk awet muda.
3. Jantung pisang
Yang ni tak boleh makan mentah, ia perlu dicelur atau direbus terlebih dahulu. Jantung pisang ini tinggi serat dan mampu bantu elak sembelit.
4. Daun selom
Daun selom ini macam pegaga, banyak dihidangkan di kedai makan.Mengandungi pelbagai nutrien antaranya kalsium dan vitamin C.
5. Kacang botor/kelisa
Kacang botor boleh dimakan mentah atau dimasak. Tapi kalau nak lebih khasiat elok dijadikan ulam. Pilih yang muda dan segar untuk rasa yang lebih enak. Kaya dengan protein dan mineral.
6. Timun
Timun Jepun pun boleh. Ini antara ulam yang rangup. Boleh dimakan dengan apa jua menu. Dipercayai timun dapat mengatasi masalah sembelit dan gastrik.
7. Petai
Ini ulam kegemaran ramai.Biarpun bau petai kurang menyenangkan, tapi khasiatnya banyak. Kaya antioksidan dan serat.Boleh dimakan mentah, direbus atau dibakar tapi lagi sedap dimasak sambal.
8. Cekur
Ulam cekur ini sering juga digunakan oleh ibu yang sedang berpantang untuk kecutkan rahim dan membuang angin.
9. Bendi rebus
Selain untuk awet muda, khasiat bendi adalah menguatkan ingatan dan kecergasan memori. Ia juga sumber makanan yang baik untuk mereka yang mengalami masalah sembelit, merawat ulser, mengurangkan darah haid berlebihan, untuk meningkatkan kesuburan, melegakan bengkak dan radang.
10. Pucuk ubi
Khasiat lain pucuk ubi antaranya dapat mengurangkan sakit kepala manakala air rebusannya pula dapat meredakan masalah cirit-birit.
11. Kaduk
Ramai yang keliru dengan daun kaduk kerana bentuknya seperti daun sirih. Boleh dimakan mentah atau pun dicelur.Air rebusan daun kaduk pula dikatakan dapat melawas kencing, melegakan selsema, sakit pinggang dan sengal tulang.
12. Jering
Bau ulam jering ini lebih menusuk dari petai tapi mempunyai khasiat tersendiri kepada kesihatan. Antaranya mengawal kadar gula dalam darah, bantu kurangkan masalah anemia dan reput tulang. Tapi jangan amalkan berlebihan.
13. Terung pipit
Rasanya sedikit pahit, jadi sedap jika dimakan bersama makanan pedas. Boleh direbus hingga lembut dan amalannya dikatakan dapat melegakan sakit perut dan mengurangkan rekahan tumit kaki.
14. Rebung
Walau pun selalu dibuat masak lemak tapi, rebung juga boleh dijadikan ulam. Rebus dan hiriskan. Khasiat rebung membantu turunkan kolesterol, menyihatkan sistem pencernaan dan bantu proses detoksifikasi badan.
15. Peria katak
Ulam ini tak ramai yang suka kerana pahit. Tapi pahit itulah ubat. Ia dipercayai dapat bantu rendahkan tekanan darah tinggi dan kawal paras gula darah pada pesakit diabetes.
Dah tau khasiat dan kelebihan ulam ini jadi apa tunggu lagi, terus amalkan. Tapi apapun nasihatnya bagi yang ada masalah kesihatan eloklah dapat nasihat daripada doktor dahulu dan amalkan secara sederhana.