
Menjelang waktu berbuka kebanyakan kita sibuk dengan persiapan menyediakan hidangan malah masih ada yang di bazar Ramadan ketika 15 minit sebelum iftar.
Sedangkan pada pada masa ini seharusnya kita tenang dan lapangkan diri untuk berdoa. Ini kerana menjelang waktu berbuka dan juga sahur adalah termasuk dalam waktu yang mustajab untuk berdoa.
Perkongsian ini diambil daripada Facebook Ustaz Iqbal Zain
Waktu yang mustajab untuk berdoa
Ada suatu waktu yang mustajab untuk berdoa, di mana doa tersebut tidak akan ditolak oleh Allah SWT, iaitu berdoa saat menjelang berbuka puasa dan menjelang makan sahur.
Tetapi sayangnya banyak kaum muslimin tidak mengetahuinya atau tahu tapi mengabaikannya.
Di Mekkah dan Madinah, satu jam sebelum azan Maghrib orang-orang sudah menadahkan tangan ke langit berdoa untuk kemudahan dari segala hajat, baik hajat dunia mau pun akhirat, mereka berdoa dengan syahdu sepenuh keyakinan, sampai air mata mereka mengalir deras.
Kesalahan yang dilakukan kaum muslimin ialah dengan menyibukkan diri pada waktu yang sangat mustajab ini dengan cara sibuk bersiap utk berbuka menjelang azan Maghrib kemudian berkumpul menghadapi hidangan berbuka dan mereka sudah merasa cukup dengan hanya membaca “Allahuma lakasumtu… atau dzahaba zhoma’u padahal hanya mencakupi maknanya berupa ucapan syukur sahaja.
Luangkan sedikit masa untuk menadah tangan
Nabi SAW :
“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak” (HR Ibnu Majah)
Ketika kita sibuk-sibuk menyediakan juadah berbuka pastikan kita luangkan sedikit masa, antara 3-5 minit sebelum masuk waktu berbuka, untuk menadah tangan berdoa kepada Allah SWT. Ayuh kita amalkan doa ringkas ini setiap kali kita berbuka puasa.
Cadangan doa ini sebagai panduan sahaja, boleh diubah mengikut hajat masing-masing.
Cadangan doa ketika berbuka puasa
1. Bertambah iman
2. Sihat tubuh badan
3. Mati yang baik.
4. Murah rezeki.
5. Anak soleh.
6. Keluarga bahagia.
7. Rahmat Allah.
8. Jauh azab kubur.
9. Lapang dada.
10. Kekalkan iman.
11. Ampunkan dosa.
12. Anak2 berjaya.
13. Perniagaan yg diberkati.
14. Jauhi segala penyakit.
15. Ibadat diterima.
16. Mudah segala urusan.
17. Diterima taubat.
18. Lapangkan kubur.
19. Mudah bayar hutang.
20. Lailatulqadar.
21. Syafaat Nabi SAW.
22. Syurga Firdaus.
23. Jauhi neraka.
24. Terima kitab tgn kanan.
25. Selamat meniti Sirat.
26. Selamat fitnah Dajal.
27. Ketenangan hati.
28. Doa ibubapa.
29. Keluarga yg dirikan solat.
30. Diterima puasa Ramadhan
Semoga memberi manfaat buat semua.
Sumber: Ustaz Iqbal Zain
3 Perkara Perlu Kita Tahu Di Sebalik Pelantikan Neelofa Sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia

Ramai yang kagum dengan aktres dan usahawan muda Neelofa atas pelantikannya sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia baru-baru ini.
Namun di sebalik pelantikan itu sebenarnya ada banyak persoalan yang jadi tanda tanya ramai. Contohnya adakah Neelofa membeli saham Air Asia, apa sebenarnya jawatan itu dan beberapa lagi persoalan.
Bagaimanapun melalui perkongsian Guru Pengurusan Bisnes, Abdul Basit yang juga Pengarah Eksekutif Beyond Holding Sdn Bhd, sebuah syarikat pengendali seminar perniagaan beliau merungkap persoalan ini.
Ikuti penjelasan menarik beliau di sebalik pelantikan aktres berusia 28 tahun itu.
Kisah Directorship Neelofa
Terbaru kita mendapat berita terkini Neelofa baru sahaja dilantik menjadi Pengarah Bebas Bukan Eksekutif AirAsia. Pencapaian luar biasa anak muda yang sama usia dengan saya 28 tahun.
Adakah beliau sudah membeli Airasia?
Adakah beliau akan bekerja di Airasia?
Banyak persoalan yang bermain diminda ramai orang yang kurang jelas dengan jawatan tersebut. Begini sebenarnya, saya kongsikan berkenaan jawatan terlebih dahulu.
Pengarah Bebas atau Independent Director
Independent maknanya bebas dari mempunyai kaitan dengan mana-mana pemegang saham atau pihak-pihak berkepentingan dalam syarikat. Ini bermaksud beliau tidak semestinya memiliki saham dalam syarikat AirAsia. Cuma beliau di lantik untuk berada dalam barisan pengarah.
Bukan Eksekutif atau Non Executive
Bukan Eksekutif bermaksud, beliau bukanlah staf AirAsia yang terlibat dalam urusan kerja harian dan bukanlah staf yang menerima gaji dan perlu punch in setiap hari. Mesyuarat bulanan pun beliau belum tentu kena hadir,kecuali memang diminta hadir.
Untuk jawatan di atas,saya mudahkan ia dipanggil Non Executive Director atau NED. Apa kelebihan NED ini?
– Mendapat elaun tetap sebagai Pengarah setiap bulan.
– Kemungkinan mendapat beberapa kelebihan directorship lain,seperti elaun perjalanan,hiburan, penginapan. Ada banyak lagi manfaat-manfaat lain, sekiranya mendapat persetujuan pengarah yang lain.
Kenapa Neelofa?
Kenapa Neelofa yang dipilih, kenapa bukan kita?? Ada beberapa kemungkinan besar beliau di pilih.
1. Kos Sebagai Duta
Neelofa antara artis yang dibayar mahal untuk menjadi Ambassador/Duta,nilainya melibatkan jutaan ringgit. Terutama setelah beliau dilantik Duta Swarovski,jenama antarabangsa. Neelofa kini mencapai standard antarabangsa,sudah semestinya nilai beliau bukan murah.
AirAsia mengambil langkah bijak,dengan melantik sebagai NED, Neelofa hanya di bayar elaun bulanan sahaja sebagai pengarah. Kos directorship ini kemungkinan memakan belanja ratusan ribu sahaja setahun berbanding kos DUTA yang memakan belanja jutaan ringgit untuk artis yang mencapai level antarabangsa.
Sudah pasti AirAsia boleh menggunakan wajah Neelofa semahunya,sebab beliau adalah salah seorang pengarah.
2. Pengaruh dan Kredibiliti
Follower IG Neelofa 5.3m manakala AirAsia cuma 506k,nisbahnya adalah 1:10. Kos untuk menaikkan nama di media sosial bukan perkara yang semudah membeli follower,ianya lebih daripada itu. Airsia akan menggunakan mileage di sosial media untuk mencipta pengaruh baru.
Kenapa pilih Neelofa,bukan artis lain. Sebab Neelofa satu2 artis yang mendapat anugerah Forbes 2017, mileage ini menjadikan beliau Artis yang berkredibiliti dan berpengaruh.
3. Pemasaran High Impact Airsia
Belum pernah dalam sejarah Malaysia Artis diangkat menjadi Board Of Director dalam syarikat penerbangan,walaupun sebagai Non Executive Director. Berita ini orang akan ingat AirAsia sampai bila-bila dan mungkin tercatat dalam sejarah dunia.
Lepas ini muka Neelofa orang akan ingat AirAsia sahaja. Bijaknya Tony dalam mengatur brand AirAsia itu sendiri. Dijangka Neelofa akan menerima lebih banyak anugerah selepas ini. Rentetan dari marketing sebagai NED AirAsia. Mileage ini sudah pasti AirAsia mendapat tempiasnya Sekali.
Sekian sahaja,perkongsian buat kefahaman tentang ilmu pensyarikatan ini,mkita ada kongsikan lebih banyak ilmu persyarikatan di Seminar My Documents nanti.
Untuk kita pula yang mendapat berita ini, kita kena bekerja lebih kuat. Beliau mencipta kejayaan,kita pula banyak mencipta alasan.
“Beliau boleh lar,retis.” Bhai,beliau kerja keras bhai. Kita nie, alasan sahaja yang keras. Buat Neelofa, syabas anak muda sama usia dengan den. Den bukan peminat lofa, den cuma minat bisnes. Bantu saya kongsikan posting ini,supaya lebih ramai faham ilmu pensyarikatan.
Abdul Basit
Guru Pengurusan Bisnes.
Executive Director
Byond Holdings Sdn Bhd.
Sumber: Abdul Basit
6 Tahun Di Perantauan, Ibu Bapa Gadai Tanah Untuk Sambung Belajar, Dr. Saidatul Husna Kongsi 20 Formula Asas Untuk Raih Kejayaan

Perkongsian cerita jalan hidup Dr. Saidatul Husna atau lebih dikenali sebagai Dr. Sai Munger di Facebook memang menarik. Bukanlah berasal daripada keluarga berada. Malah ibu bapanya sanggup menggadai tanah demi melihat anaknya itu berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.
Tidak pernah keluar dari tanah kelahirannya, Kelantan, namun beliau berjaya melalui kehidupan selama 6 tahun di perantauan demi berjaya dalam pengajian. Beliau ialah salah seorang daripada 12,000 penuntut yang dibawa pulang ke tanah air ketika Mesir dalam keadaan darurat akibat rusuhan pada kejatuhan Presiden Mubarak dulu.
Sebagai doktor muda, Dr Sai Munger meraih perhatian di laman sosial dengan perkongsian yang bukan sahaja mengenai sakit puan, namun mengenai motivasi-motivasi yang sangat santai.
Antara perkongsian beliau di laman sosial ialah mengenai jati diri kewanitaan. Ini kerana beliau sendiri pernah melalui kehidupan yang amat sukar kerana fitnah. Tidak sanggup melalui kehidupan yang penuh getir, pernah tertekan sehingga hampir meragut nyawa sendiri.
Tekanan demi tekanan sedikit pun tidak melelahkan. Dia bangkit setelah puas berdoa kepada ALLAH sehingga ditemukan dengan motivator yang merobah mentalitinya. Kini, dia berjaya bergelar doktor dan ingin menjadi manusia bermanfaat kepada lebih 10,000 pengikutnya di Facebook serta seluruh masyarakat.
Baru-baru ini beliau memuat naik 20 formula asas wanita berjaya. Ternyata formula asas itu lebih kepada bagaimana wanita lebih mudah positifkan diri untuk mencapai kejayaan dalam hidup sekali gus lebih bahagia melalui kehidupan di muka bumi ini.
20 FORMULA ASAS WANITA BERJAYA
1.Jelas dengan tujuan hidup.
2.Segera membayar hutang.
3.Berhenti salahkan orang.
4.Mengaku kesalahan diri sendiri.
5.Agihkan baju yang tidak terpakai kepada orang miskin.
6.Buat kebaikan dan cuba sembunyikan dari pengetahuan orang lain.
7.Kurangkan bercakap, banyakkan mendengar.
8.Bersenam 30 minit setiap hari.
9.Kerja keras bukan untuk sempurna, tapi untuk cemerlang.
10.Tepati masa. Jangan beralasan.
11.Hentikan pergaduhan, selesaikan masalah.
12.Buat baik sekalipun tidak dibalas baik.
13.Ambil masa untuk bersendirian, hargai diri sendiri.
14.Semai akhlak yang baik. Sentiasa rendah diri.
15.Terima hakikat yang hidup ini tidak adil. Tapi hukum karma tetap ada.
16.Kunci mulut pada waktu yang tepat.
17.Hidup sepanjang hari tanpa mengumpat sesiapa.
18.Belajar dari pengalaman, merancang lebih baik untuk masa depan.
19.Hal remeh tolak tepi.
20.Nikmati hidup sekarang.
1) Pada hari ini, wanita perlu tekun menetapkan matlamat untuk hidup berjaya. Pada pendapat doktor, apakah penanda aras kejayaan bagi seseorang wanita?
Definisi kejayaan berbeza bagi sesetengah bangsa dan masyarakat. Wanita yang berjaya pada pendapat saya adalah mereka yang sekurang-kurangnya lengkap dengan dua jenis kriteria ini iaitu:
1) Patuh pada perintah agama.
2) Bijak menempatkan diri dalam masyarakat dan menambah nilai kepada keluarga serta orang luar.Wanita yang berjaya tidak hanya berada di dalam rumah. Skop tugasan mereka sebenarnya luas. Mereka bijak berdikari, mengurus masa, kewangan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pendapatan mak ayah atau pasangan.
Tanggungjawab kepada karier dan keluarga perlulah seimbang di samping berkhidmat kepada masyarakat.
Peranan yang besar dan berat tidak menyebabkan dia lupa untuk mencintai dan menghargai diri.
Wanita berjaya adalah hero untuk dirinya sendiri dan orang sekeliling.
2) 20 Formula Asas Wanita Berjaya ini perlu diamalkan setiap hari untuk berjaya. Saya tertarik dengan formula kunci mulut pada waktu yang tepat. Boleh doktor jelaskan?
Setiap wanita tidak akan terlepas daripada pelbagai jenis ganguan perasaan. Emosi yang tidak stabil akan menghasilkan tindakan yang kurang rasional. Jadi mereka perlu lebih bijak mengawal emosi pada masa hadapan.
Ada kalanya frasa kunci mulut atau diam itu lebih baik daripada bersuara kerana dibimbangi percakapan kita banyaknya datang daripada emosi dan perasaan, bukan daripada rasional dan lojik.
3) Jika gagal, jangan salahkan orang. Apa yang doktor boleh jelaskan mengenai sikap sikit-sikit salahkan orang ini?
Walaupun payung tidak mampu menghalang hujan dari jatuh ke bumi, sekurang kurangnya ia mampu menghalang kepala kita daripada kebasahan.
Begitulah analogi hidup. Hujan itu kita anggap sebagai ujian, manakala payung pula sebagai penyelesaian.
Setiap kejayaan dalam hidup pasti akan menempuh pelbagai jenis jatuh bangun. Justeru penting kita mencari punca kepada setiap masalah. Menuding jari dan menyalahkan mana-mana individu tidak akan menyelesaikan masalah.
Cuba berfikir secara rasional dan bertindak secara bijak. Bantu rakan sekerja atau pasangan menyelesaikan kemelut yang melanda adalah lebih baik daripada melepaskan mereka sendiri dan terus menyalahkan sebelah pihak.
Jika perkara sebegini berlaku kepada kita, sewajarnya kita refleksi di mana salahnya dan cuba betulkan. Namun sekiranya kita dituduh salah sedangkan kita di pihak yang benar, anggaplah tohmahan itu seperti batu bata. Sakit bila dilempar, namun bermanfaat jika batu bata itu kita susun menjadi tapak asas kepada kekuatan diri sebelum membina sebuah bangunan yang gah.
4) Mind set kena jelas. Nak berjaya tak boleh malas. Macam mana nak kikis sifat malas dalam diri seseorang?
Saya teringat satu frasa dalam bahasa Inggeris, There is no elevator to success, you have to take the stairs. Maksudnya lebih kurang begini. Tiada lif menuju ke arah kejayaan, kamu perlu menaiki tangga. Ini bermakna kejayaan yang relevan dan berterusan memerlukan perjuangan ‘mendaki tangga’ yang bertingkat dan bertahap.
Maka, dalam proses kita mendaki ke atas, pasti ada sifat-sifat lemau, malas yang memperlahankan perjalanan. Hasilnya kita jadi kurang bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang kita inginkan. Cara untuk atasi semua ini, ada 3 pesanan yang boleh saya kongsikan iaitu
1) TETAPKAN MATLAMAT YANG JELAS. Seeloknya tampal segala jenis visi misi, siapa kita dalam 10, 30 dan 50 tahun akan datang. Lakarkan dalam bentuk peta minda. Boleh mulakan lakaran impian kita dengan ‘WH Questions’ seperti dengan Siapa, Apa, Bagaimana, Di mana, dan Bila kita akan menikmati suasana kejayaan yang diimpikan.
2) KENALI POTENSI DIRI. Kita semua istimewa. Elbert Einstein pernah berkata,
” Kita semua adalah genius. Tetapi jika ikan di dalam kolam disuruh memanjat pokok, pasti ikan itu tidak mampu. Cuba kita minta dia berenang sejauh mana yang mungkin, pasti berjaya. Itulah yang ingin saya fokuskan, kenali dan kaji apa potensi diri.
Ramai di antara kita yang minat menulis, melukis, menjahit, berpotensi membuat ucapan yang berpengaruh, bersukan, memasak, berseni, dan sebagainya.
Bakat itu ada, cuma kita jarang beri peluang kepada diri untuk meneroka lebih lagi. Kita cenderung untuk berjaya jika apa yang kita usahakan adalah berdasarkan minat dan keghairahan.
3) CARI GURU ATAU MENTOR. Walaupun guru bisu datangnya daripada pengalaman, kita masih memerlukan guru yang boleh berkata kata, supaya bila mana motivasi jatuh dan kurang produktif, guru atau mentor ini boleh bantu untuk jalan terus.
5) Setiap wanita boleh berjaya sama ada bujang mahupun isteri orang ataupun janda. Bagaimana suri rumah turut boleh buktikan mereka boleh berjaya walau hanya dengan duduk di rumah?
Suri rumah atau wanita berkerjaya, kedua-duanya adalah karier. Suri rumah juga bekerja dan berkhidmat untuk keluarga. Jadi wajar kita senaraikan ia sebagai satu daripada pilihan pekerjaan.
Ramai suri rumah di luar sana yang berjaya mengekalkan prestasi yang baik sebagai ibu, isteri, malah ada yang mula bergiat dalam dunia bisnes.
Ramai suri rumah sepenuh masa yang memegang status jutawan ketika masih muda. Kagum bukan. Berjaya dalam usia belia. Inilah wanita luar biasa yang boleh dijadikan inspirasi untuk suri rumah khasnya dan semua wanita umumnya. Apa yang penting, status bukan ukuran, tetapi azam, tekad dan usaha penentu bagaimana kita berakhir.
Sumber: Facebook https://www.facebook.com/SyarifahSayeda
Hidap Kanser Payudara Tahap 4, Aimi Anggap Ia Satu Rahmat!

Menghidap kanser payudara tahap 4 sejak 2015 bukanlah menanda aras untuk dia kalah dengan ujian yang Allah sudah tentukan buatnya. Malah dia dengan penuh positif menganggap ujian ini sebagai satu rahmat yang tiada pada orang lain. Begitulah kuatnya semangat wanita berusia 34 tahun ini, Aimi Yusoff.
Umum mengetahui, tahap 4 adalah tahap terakhir bagi kanser. Tiada lagi tahap yang lebih teruk selepas itu. Justeru, apabila disahkan menghidap kanser tahap terakhir seperti itu, ramai individu yang beranggapan itulah pengakhiran sebuah kehidupan. Namun tidak bagi Aimi. Ibu kepada 3 anak lelaki ini menganggap kanser yang dihidapinya adalah sebuah rahmat.
Aimi bersama suami dan 3 anaknya.
“Jika dulu saya dan suami menjalani kehidupan biasa-biasa, namun selepas saya disahkan ada kanser, hubungan kami sangat rapat. Begitu juga dengan anak-anak. Kami jadi lebih menghargai momen perhubungan kami dan menikmati setiap detik dalam hidup secara bermanfaat. Saya juga menghargai hubungan dengan kawan-kawan. Ada yang datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Jika bukan kerana kanser, mungkin sampai bila-bila saya tak jumpa diorang,” cerita Aimi.
Suntik hormon tiap bulan
Meski cukup positif melalui hari mendatang namun kata Aimi sel kansernya sudah merebak ke tulang belakang, tulang pinggul dan paru-paru. Malah pada usia 30an dia sudah pun menopaus. Oleh itu dia perlu datang ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan suntikan hormon.
Minyak terapi untuk ketenangan
Aimi ketika ini masih dalam rawatan kemoterapi yang bertujuan membunuh sel-sel kanser, namun katanya sering kali sesi ini dimomokkan dengan rasa sakit. Akhirnya ramai pesakit kanser rasa takut untuk melalui rawatan tersebut.
“Sebenarnya kemoterapi taklah seteruk yang diceritakan. Yang perlu diberi perhatian ialah kesan daripada kemoterapi itu sendiri. Tapi kesan itu pun berbeza ikut diri seseorang. Macam saya sendiri, setiap cycle tu kesannya berbeza. Misalnya, cycle pertama saya kena gastrik, cycle kedua saya sakit kepala, cycle ketiga saya cirit-birit. Kesan umum daripada kemoterapi ialah kepala jadi botak dan segala bulu yang ada pada tubuh akan gugur, misalnya kening.”
Tidak dinafikan, Aimi pernah juga berasa putus asa setiap kali perlu melalui rawatan demi rawatan untuk memastikan dia terus sihat. Jika perasaan itu wujud, Aimi akan menggunakan rawatan alternatif untuk menenangkan jiwanya. Selalunya Aimi akan gunakan minyak terapi untuk disapu pada tubuhnya demi mendapatkan ketenangan, perbaiki mood dan rilekskan minda. Setiap kali selesai kemoterapi, Aimi pastikan dirinya mendapat rehat yang cukup.
Statistik stage 4 jangka hayat kurang 5 tahun
Mengikut statistik perubatan, pesakit kanser tahap 4 dijangka mempunyai jangka hayat kurang daripada lima tahun. Frust dengan statistik itu? Bagi Aimi itu hanyalah sekadar nombor.
“Kenapa saya perlu biarkan fakta itu mengganggu kehidupan saya. Saya tak nak fikir benda yang tak perlu. Walaupun saya perlu lupakan minat saya, tapi secara positif saya boleh buat banyak lagi aktiviti yang sesuai dengan kesihatan saya.”
Lupakan minat sukan lasak
Menurut Aimi, agak menyedihkan apabila dia terpaksa melupakan minat terhadap sukan lasak kerana kesihatan tidak mengizinkan. Namun kata Aimi untuk apa dia terus bersedih. Sebaliknya dia positif dan fokus pada benda lain yang dia boleh buat.
“Saya manfaatkan banyak masa dengan anak-anak. Saya tak nak fikir pasal sakit. Anak memang tahu saya sakit. Saya terangkan kalau saya dalam bilik, sedang sakit, jangan ganggu. Mereka boleh faham.”
Orang lelaki perlu tingkatkan kesedaran juga
Walaupun kanser payudara lebih dikaitkan dengan penyakit wanita, namun kesedaran mengenai penyakit ini bukanlah terhad pada wanita sahaja. Ini kerana lelaki juga perlu tingkatkan kesedaran mengenai penyakit ini. Perlu!
Aimi aktif memberikan perkongsian di majlis ilmu dan sesi sharing berkenaan kanser kepada orang ramai. Terbaru Aimi adalah salah seorang panel yang berkongsi kisah kanser dihidapi di Malayian International Sport & Fitness Fair 2018 (MisFit) bersama Vanilla Kismis.
“Orang lelaki perlu peka dengan kanser payudara. Jika anda sayangkan orang sekeliling anda, anda perlu ingatkan pasangan atau adik beradik perempuan anda untuk pergi buat pemeriksaan secara berkala. Jika suami pula, sila peka dengan sebarang perubahan bentuk pada payudara pasangan.” pesan Aimi.
Kesedaran kaum lelaki sangat perlu kerana ada kala wanita takut untuk pergi buat pemeriksaan. Jika ada sokongan daripada lelaki yang terdekat dengannya, maka ianya akan menjadi lebih mudah.
Impian
Tiada perkara lain yang menjadi impian Aimi selain mengharapkan keajaiban daripada Allah agar dia sembuh dan bebas kanser. Malah setiap malam, sebelum tidur dia selalu terfikir masih adakah hari esoknya untuknya. Untuk itu, Aimi selalu bersolat sebelum tidur. Selepas solat, dia akan terus pejamkan mata dan tidur.
“Saya akan shut down semuanya selepas solat malam. Saya elakkan fikiran menerawang mengenang nasib kerana jika saya buat begitu, lebih macam-macam akan datang dalam fikiran. Saya berdoa supaya Allah panjangkan umur saya kerana ingin saya nikmati hidup bahagia dengan suami dan anak-anak.”
Petua Hindar Stres Cara Aimi
1) Berwuduk
2) Perbanyakkan solat
3) Berbincang jika ada masalah
4) Elak pendam perasaan