Isi Kandungan
Toggle
Ruang untuk stor memang wajib ada. Kalau tak susah nak simpan barang-barang yang jarang digunakan atau barang lama yang sayang nak dibuang.
Tapi masalahnya tak semua rumah direka ada ruang stor. Bila tiada inilah yang membuatkan rumah nampak agak berserabut dan selalunya penyelesaian kita adalah dengan menjadikan salah satu bilik sebarang stor. Rugilah pulak kan.
Kalau ada pemilik rumah yang berhadapan masalah nak simpan barang tapi tiada ruang stor boleh ikut idea yang dikongsi oleh Syasya Safiyya.
Bagi menyimpan barang-barang dia dan suami membuat stor di luar rumah. Langkah membina stor ini juga cukup ringkas. Tak perlu skill pertukangan yang hebat pun.
DIY stor depan rumah
Dibuat di garaj depan rumah tapi orang takkan perasaan. Nampak simple tapi stor ini dah buat 2 tahun dibina. Kukuh, orang dewasa naik pun tak runtuh.
Sesiapa yang duduk rumah jenis teres sesuai untuk buat stor ini.
Bahan diperlukan:
Papan jenis plywood
Bracket – beli bracket untuk aircond
Engsel
Kunci
Langkah buat stor
1. Buat ukuran dulu panjang dan lebar stor barang yang hendak dibuat. Sesuaikan dengan keluasan dan ketinggian dinding.
2. Pasang bracket, saya guna bracket aircond. Harga satu dalam RM7. Berapa tingkat rak ikut cita rasa.
3. Lekatkan papan plywood pada dinding menggunakan engsel.
4. Kemudian potong plywood untuk buat pintu menutup setiap tingkat/rak. Pasang engsel.
5. Cat stor dan pasang kunci untuk memastikan keselamatan barang yang disimpan. Dah siap!
Macam-macam boleh simpan!
Sumber Syasya Safiyya
Kalau Periuk Atau Kuali Disambar Api Waktu Memasak Lakukan 2 Teknik Ini Untuk Padamkan Kebakaran
Isi Kandungan
Toggle
Selalu terjadi bila memasak kita terguna api yang besar hingga menyambar minyak panas dalam kuali.
Biasanya kita panik dan akan terus cari air untuk padamkan api. Tapi sebenarnya tindakan ini tak akan memadamkan api malah mungkin menyebabkan api semakin marak.
Berikut adalah cara betul untuk memadamkan api
1. Guna tuala basah
- Jika api menyambar minyak yang panas dalam periuk atau kuali cari tuala lalu basahkan.
- Letak tuala basah atas periuk atau kuali yang terbakar. Jauhkan bahagian badan dan kepala hanya hulurkan tangan untuk meletakkan tuala.
- Selepas letak tuala atas periuk yang terbakar, padamkan tombol api. Biarkan tuala kekal di atas kuali selama lima minit. Jangan angkat kerana kemungkinan api masih belum padam sepenuhnya.
- Selepas tutup tombol api, alihkan periuk ke singki atau ke luar rumah. Tutup juga kepala tong gas.
Boleh rujuk video di bawah
2. Guna penutup periuk
Satu lagi cara sekiranya api menyambar periuk, boleh juga menggunakan penutup periuk untuk memadamkannya.
Tapi pastikan jangan menutupkan dari atas sebaliknya sorong tudung periuk dari tepi untuk menutupnya.
Tindakan letakkan penutup dari atas hanya akan menyebabkan api dalam periuk makin besar. Malah air yang disimbah itu juga akan memercikkan minyak yang panas.
Lihat video di sini : Cara padamkan api guna penutup periuk
Cara Buat Apam Kampung, Guna Sukatan Sama Macam-Macam Jenis Boleh Dapat
Macam-macam kuih moden ada sekarang tapi kuih tradisi juga yang selalu jadi pilihan hati. Antaranya apam kampung ini. Lama sungguh tak makan.
Cicah dengan kelapa parut memang sesedap rasa. Buat yang rindu nak makan jomlah kita buat sendiri. Apam kampung ini ada beberapa perisa tapi yang selalu kita makan apam pandan dan gula merah. Kalau rasa teringin nak makan boleh cuba buat sendiri ikut perkongsian Salmah Shahidan.
Cara buat apam kampung, macam-macam jenis
Apam kampung cicah dengan kelapa parut, sesekali makan memang sedap. Dengan guna resipi yang sama kita buat pelbagai jenis apam sama ada apam ros, apam pandan, apam gula Melaka, apam biasa.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
1/2 paket (11 gm) mauripan + 1 sudu kecil gula dibancuh dengan 1/2 cawan air (biar sampai yis kembang)
3/4 cawan gula putih (jika suka manis guna 1 cawan)
1 1/2 cawan air
1 sudu teh garam
Sedikit perwarna dan perisa
Kelapa parut putih
Cara membuat:
1. Rendam yis sehingga kembang dahulu baru masukkan semua bahan ke dalam bekas. Kacau hingga gula larut & sebati menggunakan whisk.
2. Kacau rata dan perap lebih kurang 1- 2 jam. Bancuhan akan naik sekali ganda atau dua kali ganda.
3. Sapu loyang 10 inci dengan minyak dahulu kemudian tuang adunan ke dalam loyang dan kukus dengan api besar untuk tempoh 1/2 jam atau 45 minit.
4. Untuk tentukan apam dah masak, boleh cucuk ngan lidi jika apam tak lekat bermakna dah masak. Sejukkan dan bolehlah dipotong. Hidang dengan kelapa parut putih yang digaul dengan garam.
Apam pandan – Jika nak perisa daun pandan kisar 7 – 10 helai daun pandan dengan 1 cawan air dan pewarna hijau jika perlu.
Apam rose – Kalau nak buat apam rose, letak esen rose dalam 2 sudu kecil dan perwarna merah.
Apam gula merah – Untuk apam gula merah guna 1/2 cawan gula pasir dengan 1/2 cawan gula merah. Masak gula dengan 1 1/2 cawan air dan tapis.
Apam kuning dan ori – Jika nak buat apam kuning diraja tambah saja pewarna kuning. Untuk apam kampung ori tak perlu letak pewarna. Putih saja.
Selamat mencuba.
Sumber: Salmah Shahidan
Cara Makan Yang Betul Selepas Usia Masuk 40-an Untuk Elak Serangan Strok, Jantung!
Isi Kandungan
ToggleMati mengejut. Fuhh. Dengar pun rasa gerun. Inilah akibatnya jika badan sudah banyak penyakit namun empunya badan tidak perasan pun yang dia ada penyakit.
Luarannya nampak sihat, namun kesihatan dalaman tiada yang tahu. Kecuali jika empunya badan pergi menjalani pemeriksaan secara berkala.
Pengamal perubatan, Blogger, Penceramah Kesihatan dan Penasihat Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad menegaskan amalan pemakanan yang sihat membantu tubuh seseorang itu lebih sihat sekali gus boleh mengelakkan situasi risiko penyakit jantung yang boleh menyebabkan kematian mengejut.
Melalui instagram, beliau berkongsi amalan pengambilan yang beliau amalkan bila memasuki usia 40-an.
Sarapan minyak zaitun dan kopi
Selalunya saya terus melakukan kerja saya tanpa makan (bersarapan) berat. Saya cuma akan ambil selepas bangun pagi satu sudu minyak zaitun, suku sudu cuka Teen dan sedikit madu.
Itu pun sudah berikan antara 150-200kcal cukup untuk kerja-kerja membaca dan menghafal yang saya lakukan di awal pagi. Kemudian air kosong atau kopi plus stevia sepanjang pagi.
Sarapan yang ringkas sebenarnya sudah mencukupi mengikut kepada aktiviti fizikal yang kita lakukan.
Puasa 15 jam
Oleh kerana hari ini hari cuti, saya kena layan anak-anak di rumah. Mereka mahu bersarapan. Bila ada anak makan tak habis, jadi sayalah yang terpaksa menghabiskannya. Jadi terpaksa bersarapan.
Nasib baik masa terakhir makan semalam pukul 7pm. Maksudnya kalau saya makan pukul 10am, saya sudah ‘berpuasa’ selama 15 jam.
Sebab itulah kita disarankan ambil makan malam awal. Supaya perut kita mempunyai masa rehat yang agak panjang sebelum kita mula ambil makanan pada waktu pagi esoknya.
Kurangkan makan pada usia 40
Memang saya sudah kurang makan sejak beberapa tahun dulu. Kadang kala sudah ada rasa takut. Dulu pantang jumpa makanan, semua saya nak rasa. Sekarang masuk umur 40an, jadi takut terutama dengar macam macam cerita kawan-kawan.
Apabila usia sudah masuk 40 tahun, seseorang itu sepatutnya sudah mula ambil berat soal pemakanan. Tidak boleh lagi makan seperti usia muda-muda dahulu.
Meninggal ketika bersukan, itu tak pelik
Bukan lagi pelik kalau orang muda meninggal dunia ketika bersukan. Apatah lagi kawan-kawan saya yang berusia akhir 40an. Luaran nampak sihat. Tiba-tiba ada berita diserang strok, sakit jantung dan ada yang meninggal dunia semasa tidur.
Tubuh sudah bersarang dengan pelbagai penyakit. Seperti rumah yang tersergam kuat tapi bersarang anai-anai. Tiba-tiba runtuh tersembam ke bumi. Ramai yang tidak sedar penyakit yang ada dalam diri. Silalah rujuk kepada doktor.
Hati-hati dengan karbohidrat ringkas
Saya memang berhati-hati dengan makanan terutama karbohidrat ringkas.
Bila kita kurang makan, kita jadi lapar pula. Jadi nak kurangkan rasa lapar, saya cadangkan agar banyakkan makan sayur, minum air kosong dan ambil lemak sihat 20-30 peratus keperluan tenaga.
Karbohidrat ringkas akan menyebabkan seseorang itu cepat lapar kembali selepas makan. Elakkan pengambilan karbohidrat ini supaya anda tidak kerap asyik nak makan.
Jangan abai 3 makronutrien
Ketiga-tiga makronutrien ini iaitu air, karbohidrat kompleks (sayur-ssyuran) dan minyak sihat inilah yang membuatkan kita rasa puas (satiety) bila makan dan lambat lapar semula.
Kalau tidak, kita akan berasa cepat lapar, dan makan lagi dan lagi walaupun kita tak lapar, kerana kita tak ada rasa puas. Ada perbezaan antara puas dan lapar.
Dr Zubaidi Hj Ahmad
A post shared by Dr Zubaidi Hj Ahmad (@drzubaidi) on
Sumber: Dr ZUbaidi