Masalah mulut berbau ini juga kerap berlaku ketika bulan puasa. Kita mungkin tak perasan tapi mereka yang ada di sekeliling dan selalu berbual dengan kita memang akan menghidu jika mulut kita berbau busuk.
Jika ada yang sudah menegur mulut anda berbau atau anda perasan ada rakan yang seakan cuba menutup hidung ketika berbicara dengannya maka eloklah mencari cara untuk mengelakkan masalah mulut berbau ini.
Anda boleh praktik tip yang dikongsi oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan ini.
1. Minum air secukupnya
Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.
2. Elakkan minum kopi atau teh di waktu sahur
Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.
3. Kurangkan bercakap
Kurangkan makan bawang dan membawang. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang boleh buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap(membawang) pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.
4. Makan karbohidrat secukupnya
Ada sesetengah orang cuba untuk mengurangkan berat badan secara intensif semasa bulan Ramadan. Mereka berpuasa dan tidak mengambil karbohidrat dan gula, dan ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis. Keadaan ini menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit ya!.
5. Gosok gigi dan bersihkan lidah
Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Oleh itu, jangan lupa gosok gigi sebelum tidur dan selepas sahur. Gunakan juga floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan memberusnya. Boleh juga guna larutan pembersih mulut.
6. Pastikan tiada masalah mulut dan hidung
Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada hidung, sinus, gigi, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Biar doktor periksa ya!
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan
Cara nak uji nafas berbau
Kalau nak tahu dengan lebih cepat bau mulut anda, ada cara lain iaitu uji dengan menghidunya.
- Caranya adalah dengan menjilat belakang tapak tangan anda, biarkannya kering seketika, kemudian hidu bau di tempat tadi.
- Anda juga boleh cungkil atau flos diantara gigi ke bahagian belakang mulut dan hidu bau flos itu.
- Atau anda juga boleh mengikis dengan lembut lidah anda dengan menggunakan pengikis lidah, kemudian hidu baunya.