
Macam tak percaya pulak bila melihat penampilan baru pelakon Ardell Aryana ni. Mana kan tidak dulu gayanya memang macam tomboi, dengan jeans, T Shirt, berambut pendek lagi.
Tapi selepas melihat posting-posting terbaru pelakon berusia 26 tahun ini dalam instagram, semuanya sudah bertudung litup dengan penampilan penuh sopan, menutup aurat.
Pelakon yang pernah membintang telemovie Dorm Melati dan banyak lagi drama ini dilihat mula mengenakan hijab sekitar September lalu.
Malah dia juga sedikit demi sedikit dilihat memadamkan gambar-gambarnya tanpa tudung di laman sosial.


Buat keputusan lepas bercuti di Bali
Memetik laporan Mstar.com.my, pelakon berusia 26 tahun ini membuat keputusan itu selepas dia bercuti seorang diri ke Pulau Bali, Indonesia.
“Saya dah lama simpan hasrat nak berhijrah sejak ulang tahun kelahiran mak saya tahun lalau tapi tidak kesampaian.
“Terpaksa ditangguh sebab ada beberapa kontrak drama yang memerlukan saya tidak bertudung.
“Allhamdulillah, saya dapat kekuatan ketika bercuti seorang diri di Bali dan sejak itu saya terus bertudung,” ujarnya.
Dalam pada itu, melihat postingnya yang bertudung dengan penampilan sederhana ramai peminat mendoakan akan pelakon ini istiqomah.
Apapun pada VK Ardell memang nampak makin manis bila berhijab. Tak caya, cuba tengok ni!






Sumber: ardellaryana
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Boleh Ke Gabungkan Puasa Ganti Dengan Puasa Enam? Baca Penjelasan Mufti

Nak puasa enam tapi tak ganti lagi puasa. Ada yang kata boleh saja gabungkan puasa enam dengan puasa ganti. Betul ke boleh? Perkara ini menjadi persoalan kaum wanita hampir setiap tahun. Supaya tiada kekeliruan lagi kita baca penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri tentang perkara ini.
Soalan:
Assalamualaikum , Saya ingin bertanya , bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam). Terima kasih
Jawapan:
Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, terima kasih kepada saudara yang bertanya.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Taala, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
Berbuka Puasa Di Bulan Ramadhan Tanpa Ada Sebarang Keuzuran
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadhan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat syawwal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadhan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadhan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
Isu Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub. Sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada Bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha Bulan Ramadhan dan niat puasa 6 pada bulan syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
Gabung Niat Puasa Qadha Ramadan Dan Puasa 6 Syawal
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadhan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadhan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya.
Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadhan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadhan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadhan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadhan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadhannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadhannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadhan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut.
Hal ini berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim : “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak.
Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari A^syura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A—Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna
Kesimpulan
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif.
Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Sumber: www.muftiwp.gov.my
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Langsir DIY Tutup Ruang Bawah Sinki. Barulah Dapur Nampak Kemas

Bila rumah kemas barulah hati tenang. Tapi nak mengemas bahagian dapur paling mencabar terutama bahagian bawah singki yang tiada kabinet, hanya ada table top saja.
Semua barang tersimpan di bahagian ini akan terdedah dan nampak serabut kalau tak pandai menyusun atur.
Namun terima kasih pada perkongsian Ayzar Nur yang lalu di timeline Facebook admin. Menarik sangat untuk dikongsi terutama menjelang raya ini.
Bagi menyelesaikan masalah yang sama di dapurnya Ayza Nur mengubah suai shower curtain untuk menutup bahagian ini.
Hasilnya barang-barang di ruang ini terlindung dan dapur nampak teratur dan bersih. Selain itu langsir table top ini juga menceriakan suasana dapur.
Paling best modalnya sangat jimat tak sampai RM20 dan semua barang-barang ini boleh di dapati di kedai Mr DIY.
Caranya ikut langkah ini.
SEBELUM

SELEPAS

Barang yang diperlukan

2 keping shower curtain sekali dengan ring (2 keping x RM 14. 90)
4 batang curtain bar (4 batang × RM 3. 30)
Penyangkut jenis sticker (2 paket × RM 1. 30)
Cara membuat
1. Potong shower curtain ikut ketinggian table top.
2. Lekatkan penyangkut jenis sticker. Gamkan jika rasa tidak kukuh.
3. Selaraskan panjang curtain bar.
4. Masukkan curtain bar/rod tadi ke dalam curtain ring.
5. kemudian sangkut langsir siap dipasang pada rod tadi pada penyangkut.
6. Kemaskan dan siap!
Idea lain

Selamat mencuba!
Sumber: Ayza Nur
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
10 Perkara Kita Kena Buat Bila Usia Cecah 30 Tahun

Satu kajian telah dilakukan oleh satu laman web Quara mengemukakan satu persoalan kepada mereka yang berusia 50-an. Mereka bertanya apa yang sepatutnya mereka akan lakukan pada usia 30 tahun agar dapat menikmati hidup di usia tua.
Kebanyakan mereka memberikan jawapan yang sama seperti di bawah ini. Jadi bagi anda yang berusia 30 tahun tak kira wanita atau lelaki ambil nasihat ini kerana ia memang ada benarnya.
1. Simpan duit
Walau pun sikit. Memang kedengaran seperti nasihat biasa tapi pada usia ini karier selalunya sudah stabil, jadi jangan bazirkan wang gaji dengan perkara tak berfaedah. Anda dah matang.
2. Perbaiki hubungan keluarga
Walau pun ada sikap adik beradik yang anda tak suka tapi anda harus belajar menyayangi mereka. Ikatan keluarga paling penting. Di saat orang lain menentang anda, keluargalah yang selalunya memberi sokongan.
3. Jangan tangguh impian
Nak mendirikan rumah tangga, sambung belajar, tukar kerjaya sila buat sekarang. Usia dah 30 ok. Jangan berkata nantilah, nanti itu adalah sekarang. Begitu juga impian ke Makkah untuk menunaikan haji, lakukan ketika muda, waktu tubuh sihat dan bertenaga.

4. Berhenti makan benda mengarut
Anda boleh buat banyak duit pada usia 20, 30, 40 dan seterusnya. Tapi anda tak boleh beli kesihatan. Belajar kurangkan makanan segera dan jajan pada usia ini untuk manfaat kesihatan pada usia tua.
5. Bersukan
Mulakan gaya hidup sihat. Jadikan bersukan sebagai salah satu hobi seperti berbasikal, zumba atau sekadar joging. Tolong jangan tambah berat badan ketika ini kerana percayalah anda sukar untuk kembali kurus.
6. Jangan merokok
Ia mahal, bau busuk dan memang penyebab kepada masalah kesihatan. Tolong buang tabiat ini. Makin lama anda dengan tabiat ini makin berisiko kesihatan anda.
7. Pakai krim pelindung matahari
Sinaran matahari secara terus pada kulit antara punca kedutan Sila pakai krim pelindung matahari jika anda tidak mahu kelihatan lebih tua dari usia.
8. Melancong
Keluarlah melihat dunia sejauh mana yang anda boleh dan mampu. Ibarat kata jauh perjalanan luar pemandangan, melancong mampu mengubah cara pemikiran malah sikap diri.

9. Hargai teman
Seharusnya ketika ini anda sudah punya teman ketawa dan menangis bersama. Hargai mereka dan teruskan silaturahim. Sentiasa berhubungan walau tidak bersua dengan mereka kerana inilah teman anda ketika tua nanti.
10. Beli rumah
Sebaik keadaan kewangan stabil pada usia 30-an beli kediaman sendiri agar anda ada tempat yang selesa untuk pulang selepas seharian bekerja. Jika membeli rumah pada usia ini, besar kemungkinan menjelang umur anda 50-an hutang pun sudah hampir selesai.
Perkara terakhir ini sengaja tidak dimasukkan dalam senarai kerana tak perlu tunggu usia 30 tahun untuk melakukannya. Dalami agama, kembali ke pangkal jalan Pencipta kita kerana ajal dan maut mungkin datang sebelum usia 50 tahun.
Sumber: dailymail.co.uk
Foto: Pinterest
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!

