Elyana Tak Menangis Dapat Tahu Hidap Kanser, Dia Lawan Kerana Anak!

Share

 

Semalam penyanyi Elyana mengejutkan kita semua bila membuat pengumuman beliau merupakan pesakit kanser tahap empat. Pengumuman spontan tersebut dibuat dalam ucapannya selepas tersingkir dari program Gegar Vaganza minggu kelima.

Dalam diam rupanya sudah tujuh tahun dia menyimpan rahsia mengidap kanser limfoma. Ujar penyanyi yang popular dengan lagu Kalis Rindu ini, penyakit tersebut dikesan selepas dia melahirkan anaknya Cinta Summyyah.

Meski sedih dengan berita tersebut namun akui Elyana dia tidak menitiskan air mata saat menerima berita tersebut.

“Saya dapat tahu mengidap penyakit ini 7 tahun lepas waktu baru bersalin. Ketika happy dapat anak, saya diberi tahu saya mengidap kanser tahap 2.

“Sedih waktu itu tapi saya tak menangis langsung sebab saya kena fight untuk anak saya sampailah hari ini,” jelas Elyana.

Ketika ini ujar penyanyi berusia 30 tahun kanser limfoma yang dihidapi sudah masuk ke tahap empat dan sel kanser itu juga sudahpun berada di seluruh tubuhnya termasuk jantung dan paru-paru.

Seakan pasrah dengan rawatan kemoterapi kata isteri kepada Khairul Anuar Husin dia kini sudah berhenti dari melakukan rawatan tersebut dan mencuba perubatan alternatif.

“Saya dah berpuluh kali membuat rawatan kemo dan terakhir pada awal tahun ini. Saya dah tak tahan dan akhirnya saya ambil keputusan untuk stop dan berserah kepada Allah,”ceritanya selain memberitahu kos rawatan kemo yang dijalaninya juga menelan belanja yang banyak juga menjadi sebab dia berhenti dari melakukannya.

 

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan segala kemungkinan apabila penyakit kansernya di tahap serius, kata Elyana ia sememangnya susah untuk digambarkan.

“Ketika ini saya rasa selalu lesu dan sukar tidur. Dan setiap malam saya jadi seorang yang susah untuk tidur. Sebab saya takut saya tak dapat jumpa anak saya esok pagi.”

Dalam pada itu ujar Elyana anaknya Cinta Sumayyah sudahpun mengetahui tentang penyakit kanser yang dihidapi malah dia setiap hari mengingatkan anaknya tentang perkara itu

“Setiap hari saya akan cakap, ‘Cinta, bonda sakit kanser.’ Biasalah budak-budak akan tanya balik kanser itu apa?

“Saya ada kemo board dan dia akan pegang kemo board tu. Saya pesan pada Cinta  supaya jaga kesihatan Cinta. Jangan buat bonda stres sebab bonda kena happy selalu. Setakat ini dia faham,”cerita Elyana.

 

Ujar penyanyi ini lagi penyertaan dalam Gegar Vaganza juga umpama penguat semangatnya untuk berdepan dengan penyakit yang dihadapi sendirian namun akhirnya dia akur untuk berkongsi berita itu dengan peminatnya.

“Malam ini, inilah masa untuk saya tidak menyembungikan lagi apa apa dari peminat. Saya tak nak sembunyikan apa-apa kesedihan saya bermula dari hari ini,”ujarnya.

Selepas mengumumkan berita mengejutkan itu, melalui perkembangan terbaru Elyana juga telah membuat setting private pada instagram miliknya.

Sumber: Berita Harian Online & Facebook Sayang Sayang DSV

 

 

Published by
VK