Aktor popular, Fattah Amin sah bergelar suami kepada aktres Nur Fazura dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan sekitar jam 9.50 malam yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara semalam.
Meski pun majlis pernikahan diadakan secara rahsia dihadiri hanya keluarga terdekat dan rakan pasangan, namun berita tersebut disambut dengan rasa syukur oleh peminat kerana keduanya akhirnya disatukan.
Penglibatan pasangan ini dalam drama Hero Seorang Cinderella, dikatakan menjadi titik tolak perhubungan mereka yang kemudian dilihat semakin rapat sewaktu menjalani penggambaran di Pulau Perhentian, Terengganu.
Dan sekitar Jun lalu, media sudah mula mengesan bibit percintaan antara keduanya. Malah Fattah ketika itu juga mengakui dia sedang mengenali hati budi Fazura dan sudahpun bertemu keluarga pelakon wanita itu.
Beberapa bulan berlalu rupanya, Fattah dan Fazura dalam diam merancang hari bahagia mereka.
Menguatkan desas desus perhubungan mereka bila keduanya mengambil keputusan pergi menunaikan umrah berdua diiringi keluarga.
Pemergian tersebut tidak dapat dinafikan meninggalkan peminat seni tanah air dengan penuh persoalan tentang hubungan mereka ketika itu.
Bagaimanapun semuanya terjawab bila sebaik pulang dari Tanah Suci Fattah dan Fazura membuat sidang akhbar menjelaskan tentang perhubungan mereka. Keduanya mengakui sudahpun bertunang pada 13 November lalu dua hari sebelum berangkat menunaikan umrah.
Dalam sidang media yang sama pada 23 November itu juga kedua pelakon ini membuat pengumuman bakal bernikah dalam masa terdekat namun majlis pernikahan akan diadakan secara tertutup.
Menjangka pasangan ini akan bernikah penghujung tahun, rupanya semalam tiga hari selepas kepulangan dari tanah suci Makkah mereka selamat diijabkabulkan dalam majlis tertutup.
Fattah, 27 tahun dan Fazura 34, tahun menoktahkan hubungan cinta mereka dengan lafaz ijab kabul sekaligus bergelar suami isteri.
Beza usia tujuh tahun antara mereka tidak menghalang untuk keduanya disatukan atas nama cinta. Semoga perkahwinan mereka kekal hingga ke jannah.