Guru Viral Dihempap Buaian, Kini Alami Sakit Mata Belah Kiri, Benjol dan Telinga Berdengung

Share

 

 

 

Baru-baru ini tular video orang wanita yang bermain buaian kemudian tiang buaian itu jatuh lalu menghempap wanita tersebut di bahagian kepala. Ada dua video. Pertama, wanita bermain buaian di sebelah kiri. Buaian tinggi membuatkan kakinya tidak sampai untuk menghayun buaian. Video kedua, wanita itu beralih ke buaian sebelah kanan dan dia mula menghayun. Namun tiang buaian itu tiba-tiba jatuh lalu menghempapnya.

Wanita itu ialah pengguna facebook yang bernama Dermalina Othman. Dia berusia 38 tahun dan bekerja sepenuh masa sebagai seorang guru. Menurut Dermalina, ketika itu dia bermain buaian di Pantai Teluk Ketapang, Terengganu.

VK menghubunginya untuk mengetahui kesan ditimpa tiang buaian itu.

Cuti sakit sehari, mungkin buat MRI

Menurut Dermalina, kepalanya masih lagi benjol dan sakit. Imbasan X-Ray sudah dibuat pada hari kejadian. Hasil imbasan tu menunjukkan tiada keretakan. Doktor menyarankan jika sakit masih berterusan, mungkin akan buat lagi imbasan atau MRI supaya lebih detail.

“Saya dapatkan rawatan di bahagian kecemasan hospital. Doktor beri cuti sakit selama sehari dan ubat penahan sakit. Memang ada rasa sakit pada sebelah muka dan telinga saya berdengung. Mata belah kiri yang kena tiang tu pun juga sakit tapi tak tau nak cakap sakit macam mana. Rawatan susulan tak ada. Cuma kalau sakit tak hilang, mungkin saya akan buat MRI.”

Periksa dulu

Berikutan kejadian dihempap buaian ini, Dermalina yang juga seorang guru Matematik menyarankan supaya orang ramai periksa dulu buaian sebelum bermain. Yalah, mungkin nampak kukuh tapi sebenarnya tidak.

“Inilah kesilapan saya. Saya tak check dulu buaian tu kukuh atau tak. Ingin saya beritahu pada semua, buaian yang tumbang tu bukan buaian yang sama dalam video pertama. Ketika kejadian saya cuba dulu buaian dalam video 1. Tapi kaki tak sampai. Jadi saya beralih ke buaian lain. Satu kali hayun terus tumbang.”

Rakan sekerja gelak, anak murid asyik nak bersalam

Ekoran kisah dihempap buaian yang viral di laman facebook, Dermalina kini bagaikan artis di sekolahnya.

“Kehidupan saya masih sama. Masih menjalani rutin macam biasa. Cuma sekarang ni anak-anak murid masih bercerita pasal cikgu viral dan asyik nak bersalam. Dah rasa macam artis pulak. Rakan sekerja pula masih tak habis gelak lagi pasal kejadian tersebut.”

Kisah viral

Mengimbas kejadian yang menimpa Dermalina, ketika itu dia sekadar suka-suka merakam video sedang asyik bermain buaian tidak menyangka kejadian malang itu akan menimpa dirinya. Masa tu dia sendirian dan letak kamera pada tripod untuk rakam video sedang bermain buaian. Dia terdengar bunyi dan pandang ke atas sebelum tiang itu terbalik lalu menimpa kepala.

VK mula-mula gelak tengok video ni. Tapi bila difikirkan semula, ini soal keselamatan pengunjung pantai tu. Takkan tak ada pemantauan daripada pihak berwajib, kan? Patut kenalah periksa. Jangan sampai jadi macam ni baru nak periksa. Kalau kena kat budak-budak macam mana? Apa pun, semoga Cikgu Dermalina sihat-sihat sahaja untuk meneruskan kerjayanya sebagai guru yang berbakti pada anak bangsa. Cikgu dah viral sekarang, mesti anak murid tambah sayang.

Sumber: Dermalina Othman

Published by
Maryam Elyas