Lega rasanya bila pinjaman bank untuk kereta atau motorsikal selesai setelah bertahun-tahun terbeban hutang.
Tapi masalahnya ramai yang tidak buat satu perkara penting selepas selesai pinjaman dengan bank. Ramai belum maklum bahawa walaupun selesai pembayaran pinjaman kepada bank, kenderaan yang habis dibayar itu belum milik anda sepenuhnya lagi selagi anda tidak membuat E-Batal.
Apa itu E-Batal dan bagaimana cara untuk menyelesaikannya dikongsi oleh Nadia Izzati.
Pernahkah anda melihat pada bahagian bawah geran kenderaan anda yang terdapat satu ayat tertera hak milik dituntut oleh syarikat pinjaman kereta di mana anda membuat pinjaman?
Apa itu E Batal
Maksud E-Batal adalah kenderaan tersebut masih menjadi hak milik bank atau pemberi pinjaman kewangan. Jadi, kenderaan tersebut bukanlah hak milik anda sepenuhnya lagi.
Bagi mendapatkan hak anda sebagai pemilik kenderaan terbabit, langkah penting adalah dengan menghapuskan status hak milik dari pemiutang kepada hak milik anda secara mutlak.
Urusan menyelesaikan hak milik dari pemberi pinjaman dipanggil E-Batal. Syarat utama untuk E-Batal adalah anda perlulah sudah habis bayar ansuran pinjaman tersebut. Jika belum, selesaikan hutang-piutang kenderaan terlebih dahulu. Kebebasan bermula apabila sesiapa sahaja berjaya melangsaikan hutang pinjaman keretanya. Benar bukan?
Apa perlu dilakukan
1. Selesai sahaja pembayaran terakhir, anda akan diberikan geran asal oleh syarikat kereta yang anda berurusan. Kemudian, anda perlu hadir ke cawangan JPJ berhampiran untuk mematikan hak milik peminjam.
Jadi, untuk meneruskan prosedur berikut, pastikan pihak pemberi pinjaman telah mengeluarkan surat pelepasan. Namun, lebih baik lagi surat tersebut terus mereka hantarkan kepada JPJ.
2. Prosedur selesaikan E-Batal di JPJ amat mudah sebenarnya. Perkara yang paling penting adalah anda harus menghubungi pihak pemberi pinjaman wang untuk belian kereta.
Pastikan anda bertanya sama ada surat pelepasan sudah dikeluarkan dan telah dihantar ke JPJ ataupun tidak. Jika sudah dihantar, terus ke cawangan JPJ berhampiran tempat tinggal anda.
3. Di cawangan JPJ tersebut, jangan lupa mengecop geran kereta anda mengikut prosedur mereka. Jangan risau, proses mengecop E-Batal bukanlah perkara yang rumit. Selepas geran tersebut telah di cop, kereta tersebut telah menjadi milik anda sepenuhnya. Mudah kan?
Ramai belum tahu
Ramai yang masih belum mengetahui perkara yang perlu dilakukan selepas habis bayar pinjaman kereta. Ada juga sehingga bertahun-tahun masih tidak membatalkan hak milik. Jadi, bagi anda yang masih belum batalkan hak milik kereta, sila tukarkan sekarang untuk memudahkan urusan pada kemudian hari.
Sumber: Nadia Izzati