Dalam keghairahan menyambut tahun baru 2020, kita dikejutkan dengan penyebaran virus COVID-19.
Wabak pandemik ini bukan sahaja berlaku di negara kita tetapi juga di seluruh dunia.
Sejak Mac lalu hingga kini bilangan kes terus meningkat di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terkecuali.
Sehingga hari ini negara kita mencatat 128 kes kematian dan kes terkumpul 9,810 (angka sehingga artikel ditulis).
Detik paling sukar
Bagi bekas pesakit COVID-19 yang berdepan pengalaman dijangkiti virus ini, pastinya ia menjadi detik paling sukar dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Salah seorang darinya adalah Puan Aiza Syafinaz Shahak, 34 tahun. Beliau antara pesakit terawal dikesan dijangkiti virus ini.
Bukan hanya dia, turut disahkan positif sebelum itu adalah suaminya sendiri, Inspektor Mohd Fairos Saberon, 36 tahun yang akhirnya meninggal dunia akibat COVID-19.
Ketika ditemubual secara eksklusif, Aiza memberitahu sudah hampir lima bulan dia kehilangan suami tersayang.
“Selepas kehilangannya, saya mengalami perubahan ketara 360 darjah. Saya jadi paranoid dan sangat takut untuk berada di tempat yang ramai orang.
“Tetapi saya cuba untuk kawal diri dan emosi supaya dapat menerima segala ketentuan Allah dengan tenang dan reda. Paling penting teruskan semangat berjuang untuk sama-sama menentang musuh utama dunia ketika ini,” ungkapnya memulakan perbualan.
Menurut Aiza lagi bukan saja dirinya dan arwah suami yang dijangkiti, tetapi seluruh ahli keluarga turut disahkan positif virus itu.
“Tidak dinafikan sampai sekarang saya masih trauma berdepan dengan pengalaman dijangkiti virus ini.
“Sebagai bekas pesakit COVID saya perlu menjalani kehidupan dalam norma baru. Perlu sentiasa memakai pelitup muka, bawa sanitizer ke mana-mana dan kerap basuh tangan.
“Saya perlu sentiasa berjaga-jaga. Walaupun sedikit kebebasan telah diberi, tetapi kita masih belum menang. Kita perlu berjuang untuk terus menentang virus ini.
“Oleh sebab itu saya terpanggil untuk mewar-warkan kepada orang ramai supaya terus menjaga diri dan persekitaran.
“Pentingkan keselamatan dan kesihatan kerana kita tidak tahu bila kita akan kena,” ujar Aiza yang tidak menyangka akan menjadi mangsa terawal dijangkiti virus ini.
Menceritakan kembali pengalamannya ketika dikesan mempunyai virus Covid 19, dia awalnya mengalami simptom sakit tekak dan hilang deria rasa dan bau.
Dia kemudian terus dimasukkan ke hospital untuk menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid 19. Kini sudah pulih sepenuhnya ujar Aiza, faktor kesembuhan turut bergantung kepada sistem imunisasi badan seseorang.
“Saya tinggal di hospital selama 10 hari. Apabila sudah bebas dari jangkitan kena pula kuarantin di Pusat Belia Antarabangsa untuk berehat selamat 28 hari.
“Hampir sebulan lebih saya menjalani proses rawatan dan kuarantin,” katanya lagi yang tidak berkesempatan untuk menatap jenazah suaminya sebelum dikebumikan.
“Sebelum itu doktor ada minta saya membuat video call dengan suami dan menyampaima pesanan terakhir untuk dirinya.
“Saya dapat bercakap kali terakhir dengannya. Dia mengucapkan dua kalimah syahadah dan minta saya kuat untuk harungi dugaan ini.
“Pesan suami dia minta saya sabar. Paling terkesan katanya saya adalah wanita terakhir dalam hidupnya,” cerita Aiza yang menganggap apa dilalui ibarat mimpi.
Trauma dengan pengalaman itu sehingga sekarang dia mengelak berada di tempat terbuka seperti pusat beli belah atau bercampur dengan orang ramai.
Aiza juga sebolehnya mengelak untuk berada di luar rumah, kecuali jika ada urusan penting. Dia cuba melakukan segala urusan secara online.
“Bagi bekas pesakit Covid trauma dan fobia akan dialami. Walaupun sudah disahkan negatif tetapi tidak ada istilah kebal dalam diri.
“Masa mula dijangkiti virus ini saya rasa hidup sudah berakhir dan hanya menunggu saat kematian.
“Tetapi bila doktor sahkan saya sudah bebas, saya rasa Allah beri saya peluang kedua. Waktu itu saya terfikir apa pula manfaat yang boleh diberi kepada orang di luar sana,” katanya yang sentiasa memberi ingatan dan pesanan kepada orang ramai melalui medium media sosial.
Tambah Aiza lagi ketika menjalani kuarantin di wad, ruang yang ada digunakan untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Setiap hari saya bangun jam 3 pagi untuk mendirikan solat tahajud. Mohon doa dan berbicara dengan Allah andai ini adalah takdir terakhir untuk hidup.
“Usai solat saya membaca surah Yasin dan alhamdulillah selama 10 hari saya berjaya hafal surah berkenaan dan terus diamalkan hingga ke hari ini. Saya juga turut mengamalkan bacaan ayat Kursi, 3 Qul dan surah At-Taubah.
“Kita tidak tahu bila masa Allah nak tarik nyawa kita. Apatah lagi dalam keadaan seperti itu,” ujarnya yang menganggap suami adalah sumber kekuatan untuk meneruskan kehidupan.
Aiza juga bersyukur kerana diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk terus bernafas di muka bumi ini.
Menjadi tanggungjawabnya untuk terus menyebarkan aura positif dan mengingatkan seluruh rakyat Malaysa mematuhi SOP ditetapkan.
“Jaga diri, sentiasa ambil tahu tahap kesihatan diri, sekiranya ada keraguan segera dapatkan rawatan.
“Lagi satu saya ingin berpesan, jangan keluar rumah jika tiada keperluan mustahak. Duduk rumah jauh lebih selamat kerana kita akan rendahkan risiko jangkitan,” pesannya sebelum mengakhiri perbualan.
Artikel berkait:
Buat Sementara Elak Pakai Cincin, Gelang Atau Jam Ketika COVID-19
Orang Yang Dijangkiti Corona Virus Boleh Jadi Tiada Simptom Langsung