Idea Spageti Bolognese Dalam Cup Untuk Jamuan Sekolah Anak. Mudah, Boleh Terus Gaul & Makan

Share

Minggu lalu dan minggu ini memang banyak jamuan sekolah diadakan. Mak-mak yang  ramai anak memang selalu pening fikir apa nak bawa. Kalau ada lagi yang sedang fikir apa menu yang hendak disediakan untuk jamuan sekolah anak, idea yang dikongsi Rose Senni ini boleh kita tiru.

Menyediakan spageti bolognese daging, ia memang menu biasa tapi cara penyediaannya yang menarik kerana praktikal untuk anak-anak makan. Spageti ini diisi dalam cup atau cawan plastik sekali dengan garfu memang memudahkan kerana tak perlu guna pinggan. Boleh terus gaul dan makan.

Spageti bolognese daging dalam cup

Alhamdulillah tengah sarat menunggu hari dapat siapkan menu untuk jamuan akhir tahun untuk 3 orang anak. Total untuk 120 orang makan. Terima kasih pada ahli group MAHN yang pernah berkongsi idea untuk hidang macam ni. Maaf sebab tak ingat siapa.

Saya masak 3 kali sebab waktu jamuan berbeza dan banyak sangat. Sekali masak untuk 40 cup. Dah hantar anak-anak akan letak siap garfu/chopstik. Mudah sebab tak perlu pinggan bagai dah. Boleh terus gaul dan makan.

Ni resipi Spagetti Beef Bolognese cara saya. Nak tukar Chicken Bolognese pun boleh. Boleh ubah ikut kesesuaian dan bahan masing-masing. Untuk yang nak buat jualan pun saya rasa ok. Resipi untuk 40 cup atau 40 orang.

Bahan-bahan:
2 pek spagetti (direbus dengan sedikit minyak)

Bahan kuah spagetti :
5 tin sos Prego cendawan
1 tin sos pasta cendawan Adabi
2 pek daging lembu kisar Ramly
1 tin cendawan butang (dihiris halus)
3 biji capsicum / cili benggala (3 warna dipotong dadu)
1 biji bawang holand (dipotong dadu)
1 batang lobak merah (dipotong dadu)
6 batang sosej (dihiris halus)
2 cawan air (ikut sukatan tin Prego)
Sedikit garam
2 ulas bawang merah (tumbuk halus)
1 ulas bawang putih (tumbuk halus)
5 batang sosej (direbus dan dihiris kasar untuk hias di atas. Kalau ada bajet lebih boleh letak meatball yang dah digoreng)

Cara membuat

1. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau

2. Masukkan daging kisar. Kacau sehingga daging masak akan bertukar ke warna coklat.

3. Masukkan sosej dan lobak merah kacau sebati.

4. Masukkan capsicum dan bawang holand dan kacau sebati.

5. Masukkan sos prego dan sos adabi. Kacau semuanya dan tambah air serta garam.

6. Biarkan menggelegak sekejap kemudian boleh tutup api.

7. Sediakan cawan plastik, masukkan kuah diikut dengan spageti di atasnya. Tutup dengan penutup cawan (pastikan spageti dan kuah sejuka terlebih dahulu).

Selamat mencuba.

Sumber: Rose Senni

Published by
VK