Bagi kaum wanita mesti ada kuali kegemaran di dapur ataupun memang ada satu saja kuali. Biasanya kuali ini dah lama digunakan.
Dipanggil kuali legend. Disebabkan terbiasa dengan guna kuali ini saja rupanya ada yang dah hitam legam. Meskipun suka dengan kuali ini tapi nasihat ahli kimia Fatimah Salim ia sebaiknya tidak gunakan lagi.
Menurut beliau peralatan memasak yang sudah hitam begini adalah berbahaya. Berikut dalam penjelasan beliau.
Ramai yang mungkin tidak kisah dengan keadaan kuali atau periuk yang hitam legam. Legend katanya. Tahukah anda peralatan memasak sebegini berbahaya?
YA. Lapisan hitam ini sebenarnya terbentuk daripada mendakan bahan masakan dan minyak yang terhangus dan dibiarkan lama sebati tanpa disental atau dikikis.
Lapisan ini berpotensi menyebabkan kanser kerana ianya mengandungi bahan-bahan kimia seperti polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs), heterocyclic amines (HCAs) acrylamide dan furans. Bahan-bahan kimia ini akan bercampur dalam masakan kita setiap hari yang kita hidangkan kepada anak-anak.
Maka, usah berfikir panjang lagi. Segera bersihkannya bagi mengelakkan masalah kesihatan di masa hadapan. Benar, bahan-bahan kimia ini memang sentiasa ada dalam makanan yang dipanggang atau dimasak dengan suhu yang tinggi sehingga hangus, namun usahlah sengaja menambah punca.
• Panaskan peralatan memasak dengan api. Tuangkan air perlahan-lahan dan biarkan air di dalam peralatan ini mendidih selama 10-15 minit. Kemudian tuangkan setengah cawan baking soda dan biarkan ianya mendidih seketika. Matikan api dan kikis perlahan permukaan ini dengan menggunakan senduk bersesuaian. Tunggu sejuk dan sental.
• Boleh juga gantikan bes lain seperti sabun cuci baju. Setelah biarkan periuk mendidih selama 10-15 minit. Matikan api, alihkan dan tuangkan sabun cuci sesetengah cawan. Rendam sekitar 1 jam atau lebih lama bergantung kepada tahap kekotoran. Apabila kelihatan mudah dikikis, buangkan air sabun rendaman dan sental.
• Jika kesan hitamnya tidak teruk, boleh saja tuangkan baking soda tanpa pemanasan dan sental. Atau gantikan bahan berbes dengan bahan berasid seperti cuka makan, air asam jawa, asam keping… Namun baunya agak kuat jika dibandingkan baking soda.
Pemanasan membantu menanggalkan kesan hangusan dengan lebih mudah kerana bertambahnya tenaga kinetik molekul-molekul dalam ikatan metalik peralatan memasak dan lapisan hangusan itu juga.
Nota
1) Dalam keadaan yang pekat, bahan-bahan kimia ini bersifat menghakis, maka boleh membantu dalam proses pembersihan. Cuma berhati-hati dengan air panas dan sifat yang boleh merengsa.
2) Peralatan yang telah berkilat tadi perlu dibentuk lapisan oksida untuk mengurangkan risiko bocoran logam. Maka, boleh lah merebus air beberapa kali sehingga lapisan kelihatan pada permukaan, sebelum digunakan seperti biasa.
Sumber:
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia