Murid kelas belakang selalu dianggap tiada masa depan. Malah ada persepsi bahawa murid itu lemah dalam akademik dan lemah juga dalam segala hal. Pun begitu, sebenarnya ramai lagi murid yang lemah dalam akademik namun mereka mempunyai ‘kekuatan’ dalam hal lain.
Inilah sebenarnya yang perlu dicungkil. Cari apa kekuatan mereka berdasarkan minat dan kecenderungan seseorang murid itu.
Seorang guru yang menggunakan akaun facebook Mohd Fadli Salleh mencerita perbezaan seorang murid kelas belakang berbanding rakan-rakan yang lain. Tatkala murid lain menonton kartun, murid ini menonton dokumentari sejarah peperangan. Malah mampu mengingat fakta peperangan tersebut dengan baik.
Satu hari, aku kena masuk relief kelas tahun 4. Kelas paling belakang. Kebetulan mereka kena duduk dalam makmal komputer memandangkan kelas mereka digunakan untuk UPSR.
Bila aku masuk, semua murid tengah melayan YouTube. Semua mereka layan cerita kartun. Upin Ipin, Boboiboy dan sebagainya. Kecuali murid ini.
Aku mendekati dan lihat apa cerita yang dia lihat. Rupanya dia lihat dokumentari tentang peperangan.
Lebih aku takjub, dia bercerita pula dengan aku.
“Cikgu tahu tak, Hiroshima kena bom atom pada tahun bila?”
“Tak tahu,” jawabku berpura-pura. Saja aku nak dia terangkan lagi. Eh jap, aku memang lupa dah bila tarikh sebenar. Haha.
“Hiroshima kena bom pada 6 Ogos 1945. Cikgu tahu tak kenapa dia kena bom? Siapa bom dia?” Jawabnya teruja.
“Entah. Kenapa ya?”
Dia pun bercerita pasal sejarah Jepun kena bom. Cerita pula pasal peperangan dan peristiwa Pearl Harbour.
Terkesima aku mendengarnya. Memanglah kisahnya tidak selengkap dalam buku Sejarah. Namun aku sangat kagum dengan minat dia pasal bom, peperangan dan Sejarah.
Yang paling buat aku kagum, murid ini antara murid paling perlahan dalam kelas. Tahun 1-3 dia berada di kelas pemulihan sebab tidak kuasai baca kira.
Tahun 4 ini pun dia masih lemah lagi dalam Matematik sebenarnya.
Aku sangka murid begini hanya minat cerita kartun sahaja. Langsung tak terbayang murid ini sukakan dokumentasi malah menghafal fakta dengan tepat!
Kadang-kadang, kita tersalah membuat penilaian. Kadang-kadang kita hanya memandang luaran dan atas kertas sahaja. Sedangkan anak-anak kita punyai potensi besar dalam bidang lain.
Teringat aku peristiwa lebih 20 tahun lepas.
Masa tu abah aku menjadi pengetua di SMK Hamzah, Machang. Sekolah ini di bawah bimbingan beliau menjadi sekolah ternama di peringkat kebangsaan.
Salah satu kejayaan paling besar ialah menjuarai pertandingan drama peringkat kebangsaan.
Aku masih ingat, waktu aku kecil-kecil dulu abah bawa aku tonton pertandingan drama peringkat negeri. Masa itu dramanya bertajuk ‘Singapura Dilanggar Todak’. (Jika aku tak silap)
Watak anak muda bijak Hang Nadim dibawa oleh seorang pelajar yang sangat berbakat. Lakonannya real sungguh, mesti menjadi dan penuh dengan perasaan.
Abah berbisik pada aku,
“Hang Nadim tu kat luarnya pelajar yang biasa sahaja. Bahkan boleh dikatogerikan pelajar perlahan juga dalam pelajaran. Namun dia sangat berbakat dalam lakonan.”
Aku yang masih di sekolah rendah masa tu hanya menganggukkan kepala sahaja.
Kata-kata abah lebih 20 tahun lalu aku mengerti kini.
Jangan sesekali pandamg rendah pada keupayaan anak-anak kita. Mungkin dia lemah pada satu perkara, tapi mungkin dia sangat bagus dalam perkara yang lain.
Jangan lagi merendah-rendahkan kelemahan mereka. Sebaliknya pujilah kelebihan mereka. Kita cungkil apa yang terbaik dari mereka dan tonjolkan.
Teruslah beri sokongan padu pada mereka. Kerana dengan sokongan kita, mereka pasti lebih bermotivasi dan bersemangat lagi. ?
Begitulah.
Mohd Fadli Salleh III
#MFS
VK percaya setiap orang ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tak semua berjaya dalam akademik. Namun kegagalan dalam akademik bukanlah bermaksud seseorang murid itu sudah gagal dalam hidupnya. Semoga adik ini berjaya dalam kehidupan dan masa depannya. Amin.
Sumber: Mohd Fadli Salleh