Orang berniaga mestilah nak untung. Kalau tak untung, penat sajalah jawabnya. Jual mahal salah, jual murah pun kadang-kadang ada yang pertikai.
Bagi peniaga kek bajet, Tengku Yusrisna bt Tengku Sulong Sahamddin, 32, tidak kiralah apa orang nak kata, dia tetap mengusahakan kek bajet. Ini kerana bagi dia, tidak semua orang berkemampuan beli kek premium.
Boleh untung ke
Menjual sebiji kek dengan harga cukup murah RM10, wanita yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan ini sering diajukan persoalan boleh untung ke?
Maklumlah zaman sekarang nak dapat kek sedap dengan harga RM10 memang mustahil. Home made pula tu.
“Orang kata baker yang jual kek bajet ni tak masuk akal sebab tak untung. Tapi bagi saya masih ada untung. Sebab itulah saya berani jual kek bajet. Harga RM10 saja sebiji kek. Margin keuntungan memang tak besar. Lebih kurang 30 peratus lepas tolak kos bahan mentah, gaji pekerja dan utiliti,” cerita Tengku Yusrina atau mesra dipanggil Ayud.
Semua pun setuju kalau kita kata barang dapur makin naik harganya. Apatah lagi barang membuat kek dan pastri. Selain itu, nak tarik pelanggan pun bukan mudah. Ramai orang buat kek di luar sana.
“Walaupun harga barang mentah makin mahal saya tak takut rugi jual kek bajet sebab permintaan tetap ada. Buat kek ni nak dapat untung kena jual banyak. Kalau jual sikit memang tak untung walau kek tu harganya mahal. Nak jual banyak, rasa kena sedap biar orang teringat-ingat. Sebagai orang bisnes, kadang-kadang kena fikir juga nak gembirakan hati orang dapat makan kek. Kalau semua kek mahal, ada yang kurang mampu nak beli,” kata Ayud.
Sebulan jual 1,000 biji kek
Ada yang beranggapan, bila jual kek murah, mesti bahan-bahan yang digunakan tidak bermutu. Ayud menafikan hal itu. Sebaliknya dia tetap menggunakan bahan yang biasa diguna pakai untuk membuat kek atau biskut yang ditempah pelanggan.
“Saya tak pernah kurangkan apa-apa bahan pun untuk buat kek bajet ni. Kecuali krim sahaja. Untuk kek bajet, saya gunakan fresh cream. Untuk kekalkan rasa, bahan yang digunakan juga perlu elok namun bukanlah bahan premium.
Target market saya ialah orang sekitar tempat tinggal saya ini. Ramai yang beli ialah kakitangan kerajaan untuk sambut birthday di pejabat dan ibu-ibu untuk sambut birthday anak di pusat asuhan. Sudah pasti saya jaga kualiti demi terus menarik hati pelanggan membeli kek masakan saya,” ujarnya.
Ayud turut mengakui, bukan semata-mata berbisnes sebaliknya dia ingin menggembirakan hati pelanggan.
“Ada juga yang beli daripada kalangan mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli kek mahal. Saya gembira dapat berikan keseronokan pada mereka yang sebegini,” akuinya.
Antara perisa kek yang saya jual ialah coklat, oreo, mangga, strawberi, red velvet, blueberry. Harga RM10. Kalau nak tambah dekorasi sikit, hanya tambah RM3 saja. Berat sebiji kek lebih kurang 300 gram dan saiz 5 inci. Setiap kek walaupun murah tetap disertakan dengan alas kek, kotak, lilin dan pisau.
“Saya konsisten jual 40 biji kek bajet sehari. Tapi pada hari sambutan tertentu misalnya Hari Ibu, saya boleh jual sampai 200 biji kek sehari. Rezeki tidak menentu. Tapi jualan kek bajet saya ni lebih RM10,000 sebulan,” tambahnya.
Inilah kek yang dijual
Blueberry
Mangga
Strawberi
Coklat
//vanillakismis