Sebelum ini pernah viral foto satu kemalangan melibatkan seorang remaja di Pulau Pinang yang putus kaki.
Ketika kejadian salah seorang yang membantu remaja ini telah meletakkan ais pada kaki mangsa dan juga anggota yang terputus.
Tindakan ini mencetuskan tanda tanya ramai adakah ini cara betul untuk mengendalikan anggota badan yang terputus.
Jururawat Bel Nawhen berkongsi tindakan yang perlu kita lakukan jika terlibat dalam situasi ini.
Saya pernah baca cerita seorang rakan yang bekerja di jabatan kecemasan. Waktu syif yang tenang bergegar bila seorang warganegara asing hadir dengan memegang jari rakannya yang sudah terputus.
“Misi, tolong, tolong. Yinni jari kawan punya juga. Putus kena itu mesin putung kaiyu” ujarnya.
Jari yang putus itu ditunjuk-tunjuk dan disua-suakan ke muka rakan saya yang bertugas. Beberapa minit selepas itu, barulah muncul tuan punya jari. Dah mabuk darah dah.
Apa jadi pada jari yang dibawa oleh rakannya? Dah mati dah pun salur darahnya. Sebab apa? Sebab tidak diuruskan dengan betul.
Hah, anda pula, jika jumpa kes kemalangan putus jari atau anggota badan anda buat apa?
Ambil handphone dan ambil gambar? Atau angkat dan letak sebelah anggota terlibat Atau Panik dan buat-buat tak nampak Ataupun Memang tahu cara nak uruskannya.
Apa-apa pun jika berlaku kecemasan begini, anda jangan panik. Anda tarik nafas dalam-dalam, agar anda boleh fikir cara yang betul untuk uruskan jari/anggota tersebut supaya ia boleh diselamatkan.
1. Bersihkan bahagian terputus dengan air bersih/sterile dengan berhati-hati. Air bersih maknanya air yang bersih mengalir seperti air paip.
2. Balutkan bahagian terputus dengan kain yang bersih dan telah dilembapkan dengan air.
3. Letakkan bahagian yang dibalut tadi dalam beg plastik yang bersih.
4. Letakkan beg plastik tadi dalam bekas yang berisi ais. Pastikan beg atau bekas ini bersih dan selamat untuk dibawa. Tujuannya supaya salur darah terlibat tidak mati.
JANGAN LETAKKAN AIS SECARA LANGSUNG dengan jari atau bahagian yang terputus sebab sentuhan secara langsung ini akan menyebabkan salur darah terlibat mengalami kerosakan.
1. Bersihkan anggota itu dengan air yang bersih.
2. Pastikan perdarahan telah berhenti atau hentikan perdarahan dengan memberikan tekanan pada bahagian tersebut. Boleh guna kainan bersih untuk tujuan ini.
3. Tinggikan sedikit bahagian ini keatas untuk mengurangkan pendarahan.
4. Kurangkan pergerakan anggota terlibat.
5. Balut bahagian terlibat dengan kain bersih atau bandage.
Jangan letakkan ais pada bahagian ini sebab ia masih berfungsi, hanya pastikan perdarahan telah berhenti.
Bawa mangsa dan anggota/jari terputus itu ke hospital. Lagi cepat anda bawa ke hospital, lagi tinggi kemungkinan anggota terlibat boleh disambung semula itupun dengan pengurusan yang betul dan bersih.
Walaupun anda rasa jari atau anggota itu boleh disambung, penilaian doktor tetap perlu dilakukan. Jika masih kelihatan merah dan suam, ia merupakan petanda yang baik.
Jangan sesekali meletak atau sapu atau titis sebarang minyak atau krim ataupun serbuk apa-apa pun selain ikut petua sebarangan. Risiko jangkitan kuman terhadap anggota boleh berlaku selain kemungkinan anggota tersebut gagal disambungkan semula.
#BelNawhen
#SayaJururawat
Sumber: Bel Nawhen