Jadi perkara biasa bagi ibu hamil mengalami alahan. Datuk Sri Siti Nurhaliza juga tidak terkecuali. Beliau yang mengejutkan peminat dengan berita kehamilan bulan lalu sudahpun masuk lima bulan berbadan dua.
Sekiranya sebelum ini mengalami alahan yang teruk, ujar kakak ipar Datuk Siti iaitu Rozi kini penyanyi kesayangan ramai itu semakin kurang alahannya.
Kalau nak tahu Rozi yang juga pengurus Datuk Siti ini selalu menjadi tempat mengadu penyanyi ini bila muntah-muntah atau tak lalu makan. Perkara ini diceritakan sendiri oleh Rozi dalam entri di instagramnya.
Malah dia juga sempat berkongsi perbualan comel dan lucu bersama Datuk Siti yang mengadu tentang alahan yang dialami.
Menginjak ke usia 5 bulan kehamilan @ctdk, semakin hari semakin hilang alahan, mual, tidak selera makan dan fasa dari bulan ke bulan berubah dan akan terus berubah.
Setiap wanita yang sudah bergelar ibu, pasti melalui pengalaman hamil tersendiri serta berbeza pengalaman pula bagi setiap seorang anak yang dikandung.
Saya tahu ini adalah pengalaman baru bagi @ctdk dan tentunya beliau memerlukan sokongan dari ramai pihak terutama keluarga terdekat.
Saya pula sudah seperti anggota polis dengan slogan ‘ Setia Berkhidmat’. Kadangkala memang lucu membaca mesej-mesej beliau sewaktu hamil tetapi saya faham perasaan itu kerana saya juga telah dikurniakan tiga orang zuriat sebelum ini.
Sekadar perkongsian dengan para peminat @ctdk yang seronok mendengar cerita serta pengalaman saya bersama @ctdk.
Alhamdulillah, ramai yang mendoakan, menitip nasihat, berkongsi tips dan pengalaman, tak kurang yang menghantar pelbagai hadiah, barangan, makanan dan sebagainya buat @ctdk, ramai yang sayang sebenarnya. Terima kasih semua.
Seronok ada kakak ipar yang nak melayan macam ni. Apa pun kita doakan moga kehamilan Datuk Siti dipermudahkan sehinggalah selamat bersalin.
Sumber: rozisangdewi