Kalau Beli Online Tapi Terima Barang Rosak Jangan Terus Redha. Buat Tuntutan Ikut Langkah Yang Dikongsi Peguam Ini

Share

 

Pembelian secara talian atau online memang sudah tak asing lagi dengan kebanyakan kita. Segalanya boleh dibeli di hujung jari saja.

Tapi ikut nasib juga, ada masa kita menerima barangan yang dibeli secara online ini dalam keadaan tidak memuaskan hati. Pecah, rosak, tidak boleh berfungsi dan sebagainya.

Memandangkan urusan pembelian online ini biasa dibuat maka ada baiknya kita tahu langkah yang perlu dilakukan sekiranya menerima barang yang dibeli dalam keadaan sebegini.

Peguam Nor Zabetha 

yang melalui sendiri pengalaman ini berkongsi apa yang perlu kita lakukan.

Pengalaman terima TV retak

Jumaat lepas saya ada terima bungkusan dari Lazada untuk pembelian Smart TV Samsung 49 inci, harga termasuk dengan penghantaran adalah RM1,607.00.

Kalau barangan bersaiz besar begini, saya memang yakin dengan Lazada sebab sebelum ini sudah pernah beli TV bersaiz besar untuk rumah saya, rumah emak saya dan untuk kegunaan pejabat. Tidak pernah ada isu dan penghantaran cepat dan selamat dengan harga yang berpatutan. Memang puas hati.

Tiba-tiba kali ini saya terima TV tersebut sudah pecah di bahagian kiri. Pecah, retak dibelakang TV dan skrinnya juga sudah retak. Jadi sebagai pengguna, saya akan mendapatkan hak saya semula. Saya kongsikan cara-caranya.

Langkah 1

Masuk aplikasi Lazada anda dan lihat di bahagian akaun anda. Pergi ke bahagian senarai pesanan barang ‘View all Orders’.

Langkah 2

Pergi ke barangan yang dipesan tetapi rosak dan tekan ‘return’. Nyatakan komen dan masukkan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari penjual atau pekedai yang menjualkan barangan dari Lazada.

Pada peringkat ini penjual yang akan memberi maklum balas. Penjual akan memutuskan sama ada akan pulangkan atau tidak atas alasan.

Memandangkan aduan dibuat hari Sabtu, jadi masa menunggu saya 5 hari. Sama ada akan dipulangkan atau tidak. Saya pun tunggu. Sehinggalah semalam, saya mendapat jawapan yang penjual ENGGAN untuk menerima semula barangan yang rosak ini atas alasan kesilapan dari syarikat penghantar dan bukan penjual.

Langkah 3

Selepas terima maklum balas teesebut. Lihat dibahagian yang ditulis ‘Request Rejected’. Tekan perkataan tersebut.

Langkah 4

Anda akan lihat ‘view decline reason’ dan ‘dispute’. Tekan dahulu view decline reason, lihat jawapan mereka. Sama ada munasabah atau tidak. Bagi kes saya, pihak penjual menyalahkan syarikat penghantar.

Langkah 5

Tekan perkataan dispute (pertikaian) dan pilih sebab-sebab pertikaian dalam senarai pilihan. Kemudian sekali lagi nyatakan komen dan gambar sokongan sebagai bukti. Kemudian hantar dan tunggu jawapan dari Customer Service Lazada.

Dalam proses ini kita perlu tunggu. Sama ada mereka akan benarkan untuk kita memulangkan barangan dan mereka membayar semula wang kita.

Kalau syarikat enggan terima barang

Jadi sebagai langkah persediaan awal, andai kata mereka enggan menerima barang tersebut dan memulangkan barangan kita. Saya telah bersedia dengan langkah-langkah seperti berikut:

1. Mendapatkan nama penuh syarikat pembelian online, alamat dan nombor syarikat.

2. Mendapatkan nama penuh syarikat penjual, alamat dan syarikat.

Butiran 1 dan 2 ini perlu untuk saya teruskan kepada nombor 3.

3. Merangka saman bagi tuntutan kecil di mahkamah bagi menuntut semula nilai kerugian. Sebenarnya boleh juga adukan kepada tribubal pengguna tetapi memandangkan saya selalu ke mahkamah, saya akan memfailkan di mahkamah. Lebih mudah untuk saya.

4. Menuntut sehingga saya berjaya mendapat hak saya.

Kita ini pengguna. Jangan kita berdiam diri tidak kiralah sama barangan bernilai puluhan ringgit atau ribuan ringgit, sekurang-kurangnya kita lawan. Kuasa pengguna. Zaman ini, zaman pengguna, hak kita akan didengar. Tidak macam dulu, kalau mengadu pun tiada siapa ambil tahu.

Kalau saya mendapat maklum balas dari khidmat pelanggan, saya akan maklumkan. Manalah tahu mereka hendak dengar aduan saya. Sebelum ini tidak pernah timbul isu.

Disaran periksa barang sebelum tandatangan

Dalam pada itu disarankan juga agar kita memeriksa barangkan yang diberi sebaik menerimanya. Periksa barang sebelum menandatangi borang.

Sekiranya barang rosak ketika penghantaran, pengguna boleh meminta syarikat tersebut memulangkan barang tersebut tanpa caj.

Sumber: Nor Zabetha

 

Published by
VK